07 September 2012

Televisyen Bersepadu Keemasan Metalik

Sabah Tempat Bermain


Kita sudah biasa menggunakan ungkapan perakam radio kaset, iaitu alat elektronik yang mampu menerima siaran radio dan boleh juga berfungsi sebagai alat perakam. Rasanya kita belum pernah atau jarang-jarang menggunakan ungkapan televisyen radio perakam kaset, iaitu alat elektronik yang terdiri daripada televisyen, radio dan perakam kaset. Saya memiliki alat itu.

Televisyen bersepadu saya itu dapat juga berfungsi sebagai pembesar suara macam pemain cakera padat bersepadu alaf ini. Selain itu, gelombang radio FM dapat dimanfaatkan sebagai pembesar suara dengan menggunakan mikrofon khas. Saya memanfaatkan semua kemudahan itu untuk tujuan hiburan, pembelajaran kendiri, pengajaran dan kegiatan luar.

Televisyen bersepadu saya itu jenis hitam putih. Lebarnya empat inci. Penerimaan siaran di tempat seperti pekan Papar dan bandar Sandakan baik. Apabila penerimaan siaran baik, paparan gambarnya jelas dan tajam. Penerimaan siaran radio juga baik. Perakam kasetnya pula mempunyai fungsi yang pelbagai dan rasanya setaraf dengan fungsi perakam alaf ini. Pengendalian rakaman mudah dan hasil rakamannya bermutu. Rakaman pertama dan terpenting saya lakukan dalam Kursus Dakwah Islamiah anjuran Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri (BAHEIS) dan Angkatan Belia Islam Sabah (AKBIS) di Sekolah Menengah Agama Islamiah, Papar pada awal Disember 1979. Apabila alat itu digunakan sebagai pembesar suara, kelantangan suara dapat didengar sejauh lima puluh meter di dalam kawasan yang tertutup.

Bentuk alat itu kemas. Tiada bahagian berbucu tajam. Warnanya keemasan metalik. Sejak bulan November 1979 hingga bulan Disember tahun 1981, televisyen bersepadu itulah kawan karib saya yang bukan manusia selain mesin taip, buku dan skuter. Alat itu bukan sahaja berjasa kepada saya bahkan kepada pelajar dan ahli usrah.

Televisyen bersepadu keemasan metalik itu saya beli di Labuan pada pertengahan November 1979. Dalam perjalanan pulang dari Labuan ke Menumbok, bot tambang yang kami tumpangi berhenti di suatu kawasan. Jeti Menumbok masih jauh. Bot itu menghampiri pantai yang dilatari oleh kebun kelapa dan berlabuh di kedalaman paras pinggang berhampiran dengan dua orang lelaki yang berdiri di laut. Saya tertanya-tanya.

Jurumudi mengarahkan semua penumpang turun ke laut dengan membawa beg atau barang-barang kecil sahaja. Barang-barang besar atau berharga hendaklah ditinggalkan di dalam bot. Saya mematuhi arahan itu dan meninggalkan televisyen bersepadu itu di dalam bot. Saya dan semua penumpang tiba di pantai yang kehitaman dan bersampah dalam keadaan basah. Seorang lelaki yang menunggu bot di laut tadi mengarahkan kami untuk menaiki sebuah van yang menunggu di atas jalan berpasir.

Van itu membawa kami ke suatu tempat. Pemandu van meminta kami turun di simpang pertemuan jalan berpasir dengan jalan utama berbatu kelikir. Van itu meneruskan perjalanan ke jeti Menumbok.

Saya mendengar percakapan para penumpang. Saya tidak memahami butiran percakapan mereka kerana mereka bertutur dalam bahasa sukuan. Saya terpinga-pinga. Saya risau. Bukan nasib televisyen bersepadu yang bernilai hampir sebulan gaji itu yang menyebabkan saya risau. Hal yang merisaukan saya ialah, apabila berlakunya rampasan, pembelinya mungkin akan didakwa. Seorang mak cik menyedari kerisauan saya.

Dia berkata, “Pihak imigresen mengadakan gerakan. Jangan risau, anak. Tahulah mereka mengatur urusan barang-barang dan perjalanan kita.”

Saya mengangguk. Rasanya, mak cik itu pernah mengalami keadaan yang sama.

Tidak berapa lama kemudian sebuah lori kecil dari jalan yang berpasir tiba dan berhenti di simpang itu. Saya cam wajah dua orang lelaki yang menunggu di laut tadi. Mereka menurunkan barang-barang kami daripada lori. Saya nampak kotak yang mengandungi televisyen bersepadu milik saya. Lelaki yang kurus meminta kami memeriksa barang masing-masing. Setelah dianggarkannya pemeriksaan selesai, dia meminta pengesahan kami. Tiada sesiapa mengadu ada barang hilang atau tercicir.

Lelaki kurus itu berkata, “Tunggu di sini. Ada bas akan datang.”

Kedua-dua orang lelaki itu menaiki lori. Lori itu berpatah. Penungguan kami hanya sebentar. Sebuah van putih dari arah Menumbok berhenti. Kelindan van meminta kami menaiki van itu. Itulah bas yang dikatakan oleh lelaki kurus tadi.

Pada hujung tahun 1981 saya dan dua orang rakan mencari ikan di hulu Sungai Sugut dalam Kampung Mangkapoh, kira-kira 90 kilometer dari Pekan Ranau. Penduduk kampung itu suku kaum Dusun. Kedua-dua orang rakan saya itu suku kaum Dusun juga. Mereka berbual dengan orang kampung. Saya tidak memahami perbualan mereka. Seorang rakan saya memberikan ringkasan perbualan itu.

Menurut rakan saya, asalnya penduduk kampung itu beragama Kristian. Pada tahun enam puluhan, pendakwah United Sabah Islam Association (USIA) berjaya mengislamkan mereka. Oleh sebab dakwah susulan kurang, ada antara mereka kembali kepada Kristian.

Untuk ke sungai, kami melalui kawasan sekolah rendah. Bangunan sekolah itu diperbuat daripada kayu hutan dan beratapkan daun rumbia atau daun bertam. Kembalinya sebahagian penduduk kampung itu kepada Kristian dan keadaan sekolah itu mengusik perasaan saya. Saya berazam untuk membantu mereka yang sesuku kaum dengan isteri saya. Cara yang saya fikir sesuai ialah menggalakkan guru pelatih yang bersemangat tinggi untuk ditempatkan di sekolah itu.

Allah mempermudah pelaksanaan azam saya. Pada awal tahun 1982, seorang bekas pelajar saya yang bertugas di Sandakan diarahkan untuk menjalankan tugas sebagai guru besar di sekolah itu. Dia ialah Awang Sani Anong. Dia mantan Presiden Persatuan Guru Pelatih Islam maktab kami dan pendakwah yang bersemangat tinggi. Saya memang akrab dengannya. Dia penyokong penting saya dalam pertemuan khas untuk membincangkan tuntutan Persatuan Bahasa Cina pada akhir tahun 1980.

Awang Sani datang ke rumah saya. Saya mahu dia memanfaatkan televisyen bersepadu keemasan itu untuk tujuan dakwah di Mangkapoh.

Saya tahu isteri saya sayang akan televisyen bersepadu itu. Saya yakin, dia tidak akan membenarkan saya menjual televisyen bersepadu itu, apalagi memberikannya kepada orang secara percuma. Alat itu rakan baiknya ketika saya tiada di rumah.

Dia tergamam apabila saya menyerahkan televisyen bersepadu itu kepada Awang di ruang tengah pangsapuri kami. Setelah dia mendengar kata-kata semangat yang saya ucapkan kepada Awang, dia masuk ke dalam bilik. Dia faham, televisyen bersepadu itu sudah bertukar tangan. Dia enggan menyaksikan kami berpelukan. Dia tidak melihat air jernih meleleh di pipi kami.

Saya tidak pasti sama ada air jernih dan suam membasahi pipinya atau tidak. Saya hanya melihat matanya merah apabila saya meminta agar dia keluar bagi menyaksikan Awang meninggalkan rumah kami sambil membimbit televisyen bersepadu keemasan metalik itu.

Bersambung: Batang Gaharu Buruk

Tiada ulasan: