09 Oktober 2012

Naskhah Kenang-kenangan

Laporan Panel Hakim
Peraduan Cerpen Badan Bahasa Sabah Cawangan Tawau, 1973

Daripada 26 buah cerpen yang masuk dalam pertandingan ini hanya lapan buah yang dapat diterima sebagai karya sastera yang boleh diketengahkan. Karya yang selebihnya belum dapat melepaskan diri daripada karangan sekolah dari segi tema mahupun dari segi bahasa yang menjadi pendukungnya.

Dalam mengadili cerpen-cerpen ini kami telah mengambil perkara yang tersebut di bawah ini sebagai dasar pertimbangan:
• Tema
• Perwatakan
• Plot
• Bahasa
• Sudut Pandangan

Tema
Tema cinta paling banyak ditulis. Tema ini walaupun sudah menjadi kebanyakan tema tulisan sejak manusia lahir ke dalam dunia ini, tetapi dapat digubah sedemikian rupa sehingga ia tidak kelihatan terlalu stereotaip, terlalu lumrah. Cinta tidak tertentu kepada kelamin sahaja, tetapi cinta kepada kemanusiaan dapat dijadikan bahan tulisan yang paling menarik dan tidak akan habis-habisnya ditulis, antaranya seperti yang terdapat pada cerpen “Bunga-bunga Hidup”, walaupun tidak berplot tetapi amat menarik lukisannya. Cinta kelamin hanya sedikit nian tetapi cinta kepada kemanusiaan nampak jelas. Demikian juga pada “Ibu Jari”, cinta kepada kemanusiaan begitu menonjol.

Perwatakan
Perwatakan dalam semua cerpen yang diadili ini terlalu kabur, hampir tidak dapat dikenali. Hal ini amat besar pengaruhnya kepada kekuatan sesuatu daya kreatif. Betapa sesebuah cerpen itu akan dapat berdiri teguh apabila wataknya sendiri tidak teguh, tidak dapat dikenali? Betapa kita akan tertarik dengan cerita daripada watak yang kita tidak kenal? Betapa kita akan menceritakannya dengan baik apabila orang yang kia ceritakan itu, kita tidak pernah bersua muka?

Plot
Hampir semua cerpen ini amat sedikit sekali plotnya, sebab itulah "Ibu Jari" dipilih sebagai yang terbaik kerana plotnya yang agak kuat. Demikian juga “Kalung Kenangan”, plotnya begitu menarik.

Bahasa
Cerpen “Ibu Jari”, “Kalung Kenangan” dan “Bunga-bunga Hidup” dipilih kerana bahasanya baik, ejaannya walaupun ada yang salah tetapi tidak terlalu banyak seperti cerpen-cerpen yang lain. Kebanyakan cerpen yang lain bukan sahaja bahasanya simpang-perenang, tetapi juga ejaannya banyak yang salah, tidak dijaga, boleh jadi (besar dugaan) tidak disemak kembali. Hal ini memperlihatkan ketidaktelitian penulisnya. Nampak sekali memasuki peraduan lebih penting daripada keutuhan karyanya sebagai karya seni.

Sudut Pandangan
Banyak sekali penulis memakai sudut pandangan serba tahu, sehingga jalan ceritanya tidak lancar. Penulis-penulis itu lebih tahu daripada perjalanan watak-wataknya. Ia dapat dihitamputihkan sesuka hatinya.

Kesimpulan
Daripada pandangan umum yang ringkas di atas, maka kami dengan segala senang hati mencadangkan supaya cerpen di bawah ini diberikan hadiah:
Hadiah pertama “Ibu Jari” karya Mohd Isa Abd Razak, Kota Kinabalu
Hadiah kedua “Kalung Kenangan” karya Sabri Anjong, Tawau
Hadiah Ketiga “Bunga-bunga Hidup” karya Hussin Qassau, Kota Kinabalu

Cerpen ini dapat diberi sagu hati:
“Tidak Kuduga” karya Supandi Mahmud, Tawau
“Cintaku di Simpang Jalan” karya Noor Hady Sahied, Tawau
“Orang Buta yang Menuntunnya” karya Ismail Hussin, Tawau
“Beras dan Gula” karya K. Bali, Kota Kinabalu
“Sisa Perjuangan” karya M. Yusof Panak, Tawau

Abdullah Hussain dan A. Samad Ahmad
bagi pihak GAPENA

Ibu Jari

Pius gembira. Sebentar sahaja dia sudah dapat rotan sepemeluk. Harganya cukup untuk sehari makan anak-beranak. Tiba-tiba Nanak terluka jarinya kena duri bertam. Waktu dia mahu memberitahu bapanya, parang bapanya kena pula di dahinya.

Nanak tersungkur. Pius mengangkat anaknya dan membawanya ke Pusat Kesihatan Kecil. Dia melintasi sawah. Jururawat menasihatinya supaya Nanak dibawa ke hospital. Pius tidak ada wang. Jururawat menyuruh dia berjumpa Bongkos. Pius terpegun. Dia baru sahaja bergaduh dengan Bongkos. Dia kemudian malu sendiri kerana sebab ibu jari anaknya putus bukan salah Sumin, anak Bongkos, tetapi salah Nanak sendiri.

Bongkos datang. Bongkos membawa Nanak ke hospital bersama-sama Pius dan diiringi oleh Agnes. Nanak kekurangan darah tetapi darah Pius tidak cocok. Ia khuatir anaknya mati lalu pengsan. Anaknya selamat setelah menerima darah Bongkos.

Tema: 10/10
Perwatakan: 9/10
Plot: 9/10
Bahasa: 9/10
Sudut Pandangan: 9/10
Jumlah: 46/50

Tiada ulasan: