Perkataan apakah yang tinggi kekerapan penggunaannya? Jawabannya pasti berbagai-bagai. Ahli tatabahasa mungkin berpendapat kata ganti nama seperti saya tinggi kekerapan penggunaannya. Pelajar akan memilih perkataan belajar. Guru pula pasti mengetengahkan perkataan mengajar.
Perkataan mengajar adalah antara perkataan yang tinggi kekerapan penggunaannya dalam kalangan pengguna bahasa Melayu. Antara ayat yang biasa kita dengar termasuklah ayat 1, 2 dan 3. Golongan yang paling kerap menuturkan ayat seperti ini ialah pelajar.
1. Cikgu Fuad *mengajar bahasa Melayu.
2. Ustaz Muaz *mengajar bahasa Arab.
3. Cikgu Ghazali akan *mengajar karangan esok.
Hanya segelintir pelajar menyedari bahawa binaan frasa *mengajar bahasa Melayu, *mengajar bahasa Arab dan *mengajar karangan dalam ayat-ayat ini tidak gramatis. Binaan yang gramatis ialah mengajarkan Bahasa Melayu, mengajarkan Bahasa Arab dan mengajarkan karangan.
Kita dapat mengesan sebaran frasa yang silap itu di Internet. Sebagai contoh, hasil carian dengan Google menunjukkan terdapat 136,000 frasa *mengajar bahasa Melayu dan hanya 41,000 frasa mengajarkan bahasa Melayu. Jumlah frasa *mengajar mata pelajaran pula ialah 216,000 berbanding dengan mengajarkan mata pelajaran sebanyak 3,000 sahaja. Kadar kesilapan gabungan kedua-kedua frasa ini ialah 89 peratus. Kadar kesilapan ini sangat tinggi. Oleh hal demikian, perkara ini perlu mendapat perhatian pengguna bahasa Melayu, khususnya pelajar, agar kesilapan seperti ini dapat dibendung.