14 April 2009

Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK): Versi Asal

Masukan terdahulu:
Kaedah Gabungan Bunyi-Kata: Bicara Permulaan

KGBK bertolak daripada sistem ejaan bahasa Melayu yang berasaskan bunyi dan suku katanya jelas. Setiap huruf mewakili hanya satu bunyi, kecuali huruf e yang mewakili bunyi e pepet dan e taling (é). Satu suku kata ditandai oleh satu vokal. Huruf vokal yang kerap digunakan ialah a, i, dan u.

KGBK ini bermula dengan memperkenalkan huruf vokal kepada murid, diikuti dengan pengenalan huruf konsonan, pembentukan suku kata, dan pembentukan perkataan yang bermakna dalam satu atau dua pelajaran sahaja. Murid akan dapat membaca beberapa perkataan dengan cepat serta faham apa-apa yang dibaca.


Tiap-tiap pelajaran memperkembang lagi kemahiran yang lalu. Guru boleh menggunakan bilangan pelajaran yang sesuai mengikut keadaan murid-muridnya.
Susunan penyampaian KGBK adalah seperti yang berikut:
1. Murid diperkenalkan dengan bunyi vokal. Dua atau tiga huruf vokal diperkenalkan dalam pelajaran pertama. Pengenalan hendaklah dilakukan berdasarkan susunan a, i, u dan dengan pelbagai teknik latih tubi yang menarik agar murid dapat mengingat bunyi vokal itu. Vokal e dan o hanya diperkenal setelah murid dapat membaca perkataan asas dengan menggunakan vokal a, i, u dan beberapa konsonan.
2. Kemudian perkenalkan bunyi satu huruf konsonan. Dahulukan konsonan letupan yang dapat membentuk perkataan yang bermakna seperti konsonan k yang dapat membentuk perkataan “kaki” dan “kuku” atau konsonan b yang dapat membentuk perkataan “baba” dan “bubu”. Lakukan latih tubi yang pelbagai agar murid dapat mengingat bunyi konsonan itu.
3. Gabungkan bunyi konsonan itu dengan huruf vokal supaya menjadi suku kata ka, ki, ku. Lakukan latih tubi sebutan suku kata ini dengan pelbagai teknik, termasuk teknik nyanyian.
4. Cantumkan suku kata-suku kata itu supaya menjadi beberapa perkataan yang bermakna seperti ka + ki menjadi “kaki” dan ku + ku menjadi “kuku”.
5. Adakan permainan mencantum huruf menjadi suku kata dan mencantum suku kata menjadi perkataan. Pelbagaikan jenis permainan agar murid berasa seronok belajar.
6. Sebagai peneguhan, adakan latih tubi menulis huruf, suku kata dan perkataan dengan pelbagai cara. Pengajaran penulisan hendaklah berdasarkan peringkat-peringkat dan teknik yang betul, termasuk penggunaan kertas bergaris dan alat tulis yang sesuai.
7. Dalam pelajaran kedua, ulang penggunaan vokal a, i, u dan perkenalkan satu atau dua konsonan lagi. Gunakan pola pengajaran yang sama, tetapi dengan teknik yang pelbagai, iaitu huruf → suku kata → perkataan → aktiviti penulisan. Sebagai contoh, suku kata dan perkataan yang berikut dapat dibaca oleh murid setelah dua konsonan diperkenalkan:
ka + ki → kaki
ku + ku → kuku
ba + ba → baba
bu + bu → bubu
ba + bi → babi
bi + bi → bibi
bu + ku → buku
u + bi → ubi
i + bu → ibu
a + bu → abu
8. Buatkan ayat dan latih tubi murid membacanya. Contohnya: ibu baba, ibu abu, bubu abu, kuku kaki abu.
9. Murid boleh melakukan aktiviti membina perkataan tambahan berdasarkan suku kata yang telah dipelajari. Dalam pelajaran seterusnya guru dapat mencipta beberapa ayat lagi untuk dibaca oleh murid. Contohnya: buku abu dan abu buka buku. Jika konsonan s telah diperkenalkan, ayat “abu suka buku” dapat dicipta. Perkataan “abu” dapat digantikan dengan “baba”, “ibu” dan lain-lain sebagai latih tubi.
10. Seterusnya, di samping mengulang bunyi vokal guru boleh memperkenalkan dua atau tiga konsonan lagi seperti t, m, d. Ikuti pola penyampaian pelajaran yang lalu. Antara perkataan yang dibina dan dibaca ialah dada, muda, uda, mata, mama, titi, tadi, madu. Dengan menggunakan perkataan-perkataan ini dan perkataan yang terdahulu, lebih banyak frasa dan ayat dapat dibina dan dibaca oleh murid.

11. Dalam pelajaran keenam, suku kata tertutup dapat diperkenalkan. Dengan ini lebih banyak perkataan dan ayat dapat dibentuk, dibaca dan ditulis.

12. Dalam pelajaran ketujuh, guru boleh memperkenalkan konsonan r, p, n dan melaksanakan pengajaran seperti pola pengajaran sebelumnya.
13. Dalam pelajaran kelapan guru boleh memperkenalkan bunyi vokal e dan o. Bina suku kata yang menggunakan vokal o dahulu. Adakan latihan perbezaan bunyi e pepet dengan e taling dengan pasangan perkataan seperti emak-esok, emas-ekor, beras-besok. Latihan membaca frasa dan ayat seperti “kotak besar itu di situ”. Pelbagai permainan yang berkaitan dengan huruf, suku kata dan perkataan diadakan.
14. Pelajaran seterusnya memperkembang kemahiran murid membunyikan huruf lain seperti l, g, h, f, j, c, y, z, w, q, dan x.
15. Seterusnya perkenalkan bunyi gabungan ng, sy, gh dan ny dalam beberapa pelajaran.
16. Nama huruf diajarkan secara tidak langsung. Penggunaan papan tulis sangat penting. Huruf besar disisipkan dari semasa ke semasa. Latihan mengeja dilakukan sebagai pengukuhan setelah murid boleh membaca. Latihan menulis dianggap sebagai pengukuhan.
Rumusannya, KGBK menggabungkan aktiviti membunyikan huruf, membunyikan suku kata dan dengan membina (membaca) perkataan dan seterusnya frasa/ayat dalam satu unit pengajaran. Pada akhir pelajaran kedua dan seterusnya murid boleh membaca perkataan, frasa atau ayat yang bermakna. Hal ini akan menyebabkan murid berasa seronok belajar.
Apabila diikuti dengan aktiviti menulis dalam setiap akhir pelajaran, murid akan menguasai kemahiran membaca dan menulis serentak. Tegasnya, murid tidak perlu mengenal dan menghafal semua huruf sebelum belajar membaca dan menulis.
KGBK membolehkan pembinaan dan susunan bahan pengajaran-pembelajaran dibuat secara berturutan dan berkembang secara sistematik daripada yang mudah kepada yang sukar. Hal ini memudahkan murid belajar membaca dan menulis.
Contoh bahan terdapat dalam buku Mari Membaca terbitan Utusan Publications (1982), Bahasa Melayu 1 – 3 terbitan Fajar Bakti (2003), Mudah Membaca Bahasa Melayu terbitan Fajar Bakti (2006), dan Ceria 2M Buku 1 dan 2 terbitan Ilmu Bakti (2007).

Perlu diingat bahawa KGBK ialah kaedah bacaan permulaan. Setelah kita membina asas, murid boleh membaca sendiri ayat dan cerita mudah. Selepas itu, kita perlu mendorong murid membaca berbagai-bagai bahan bacaan. Dorongan itu dapat membantu mereka meningkatkan minat dan tabiat membaca serta menjadikan pembacaan sebagai aktiviti sepanjang hayat.

Tiada ulasan: