01 Jun 2009

Masyarakat dan Alam Borneo Utara 1940-an

Banyak perkara menarik terdapat dalam buku Memoir Anak Sisa Peperangan karya R.M. Jasni. Antaranya termasuklah gambaran masyarakat dan alam Borneo Utara pada tahun 1940-an. Contohnya adalah seperti yang tersurat dan tersirat dalam petikan yang di bawah ini.

Masyarakat
1. Kerbau jantan itu nampak bodoh, tetapi patuh menerima arahan untuk melakukan kerja-kerja berat. Kawan-kawan ayah yang ramai itu hanya patuh apabila mendengar gong dipalu, menandakan ada jamuan akan terhidang dan sumazau akan ditarikan. (halaman 9)

2. Budaya penduduk di sepanjang Sungai Kinabatangan amat luhur. Tetamu diberi makan ketika singgah di rumah mereka. Jika tetamu itu meneruskan perjalanan, mereka diberi beras atau sagu ubi sebagai bekalan dalam perjalanan. Mungkin ada orang mati dimakan buaya, tetapi yang pasti tidak pernah berlaku orang mati kebuluran di sepanjang sungai ini disebabkan tiada orang lain mahu membantu. (halaman 67)

Alam
3. Ketika kapal kecil rapat ke lanting atau jeti terapung, pangkalan Kuamut nampak sibuk dengan orang ramai yang menunggu di situ. Di pangkalan terdapat hasil hutan seperti damar dan rotan dilonggokkan untuk diangkut ke Sandakan. Tidak jauh dari kawasan lanting, saya melihat beberapa ekor buaya di tepian sungai. Orang ramai tidak ambil kisah dengan kehadiran buaya-buaya itu, kerana ia berlaku setiap hari di tempat yang sama. Buaya suka timbul pada waktu pagi untuk mendapat cahaya matahari. (halaman 60)

4. Saya hampir lemas apabila tergelincir dan jatuh ke tepi lanting. Saya terkapai-kapai dan mujurlah saya sempat berpaut pada seutas tali yang terikat di lanting itu. Dalam beberapa saat yang mencemaskan itu, seorang daripada anak buah kapal itu pantas menarik tangan saya keluar dari air. Tanpa pertolongannya, saya mungkin sudah menjadi habuan buaya lapar. (halaman 61)

5. Di sepanjang perjalanan dari Tangkulap ke Kuala Tongod, pokok-pokok balak sedang berbunga pada masa itu. Baunya berbaur dan semerbak harum menusuk hidung. Udara rimba pagi itu terasa dingin dan suasananya riang oleh siulan dan kicauan berbagai-bagai jenis burung. Bunyi merak dan enggang bersahut-sahutan. Siamang melaung kuat memanggil kekasih. Kicauan burung bertingkah dengan mergastua yang lain seolah-olah membentuk simfoni yang mengasyikkan di sungai rimba itu. (halaman 63)

6. Gajah, rusa, kijang, orang utan dan berbagai-bagai jenis monyet boleh dilihat di tepian sungai. Ada yang melompat dari dahan ke dahan dan melarikan diri. Pemandangan yang mempesonakan ini, sebanyak sedikit dapat meringankan penderitaan ibu. Saya sungguh tertarik melihat sekumpulan gajah sedang mandi kerana saya tidak pernah melihat gajah dari dekat sejak saya dilahirkan. (halaman 63)

Tiada ulasan: