13 April 2009

Tukar Bahasa Melayu kepada Malaysia, Keputusan Politik Tanpa Rujuk Pakar

Nyza Ayob, Harakahdaily, 13 Julai 2007

Jemaah Menteri pada April lalu mengambil keputusan menukarkan istilah bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia, dikatakan bertujuan mewujudkan semangat bahawa bahasa Malaysia milik semua tanpa mengira kaum.

Menteri Penerangan, Dato' Seri Zainuddin Maidin pula menyatakan keputusan Kabinet menggunakan semula bahasa Malaysia sebagai istilah rasmi bagi merujuk kepada bahasa kebangsaan.

Rentetan itu semua kementerian dan institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta diarah memaklumkan kepada jabatan serta agensi masing-masing untuk menggunakan istilah bahasa Malaysia dalam surat-menyurat, notis dan dokumen, berkuat kuasa serta-merta.

Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak pula berpendirian, langkah itu juga bertepatan dengan hasrat kerajaan yang mahu bahasa kebangsaan itu menjadi milik semua rakyat Malaysia serta bertujuan mengelakkan polemik daripada pihak yang menganggap ia hanya untuk kaum tertentu sahaja.

Tukar Tanpa Rujuk Pakar Bahasa

Dalam hal ini, dikatakan keputusan dibuat dengan tidak dimaklumkan atau merujuk terlebih dahulu kepada golongan yang mahir dalam perkara ini seperti pakar bahasa. Apakah penukaran ini memang "perlu" dalam konteks Malaysia yang berbilang kaum yang tujuannya dikatakan untuk menjaga keharmonian kaum?

Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, Dr. Awang Sariyan menegaskan penukaran istilah bahasa Melayu menjadi bahasa Malaysia untuk kegunaan rasmi tidak perlu, malah bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 152 yang menetapkan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Hal ini demikian katanya taraf dan kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan berasaskan kontrak sosial sebelum kemerdekaan lagi, iaitu penerimaan semua rakyat tanpa mengira keturunan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa negara.

Justeru katanya, tidak timbul isu kaum-kaum bukan Melayu tidak menerima bahasa Melayu sebagai bahasa milik semua rakyat.

"Jika sekarang timbul rasa tidak memiliki bahasa itu, maka salahnya pada golongan yang berkenaan, bukan pada istilah 'bahasa Melayu'," katanya.

Usaha Memperluas Bahasa Melayu dalam Segenap Bidang

Jelasnya lagi penukaran istilah bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia tidak mempunyai perkaitan dengan pemartabatan bahasa Melayu, kerana nama bahasa Melayu telah lebih dua alaf menjadi bahasa yang bermartabat dan menjadi tonggak tamadun.

"Untuk memartabatkan sesuatu bahasa, yang penting ialah usaha meluaskan penggunaannya dalam segala bidang kehidupan masyarakat, bukan menukar namanya," tegasnya lagi.

Penyandang pertama Kerusi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU) ini juga berpendapat sebagai sinonim bagi bahasa Melayu, istilah bahasa Malaysia tidak salah digunakan, tetapi bukan untuk dirasmikan sebagai istilah pengganti bagi bahasa Melayu. Bagaimanapun katanya, Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara mesti dihormati kerana dalam Perlembagaan yang sah dan rasmi ialah "bahasa Melayu".

Tambahnya, jurang antara kaum tidak disebabkan istilah "bahasa Melayu". Bahkan apabila Allahyarham Tun Abdul Razak dalam Penyata Razak (1956) menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama, untuk perpaduan kebangsaan.

"Negara kita telah memberikan sekian banyak kelonggaran dan kebebasan kepada kaum-kaum bukan Melayu. Kita tidak seperti Indonesia atau Thailand yang mensyaratkan nama semua rakyat menurut nama dalam bahasa negara.

Pokoknya terlalu banyak keistimewaan yang telah diberikan kepada rakyat bukan Melayu dan tidak ada sebab sehingga nama bahasa negara pun perlu ditukar untuk memenuhi cita rasa golongan tertentu," katanya.

Istilah Bahasa Malaysia Tiada dalam Perlembagaan dan Akta

Pengerusi Karyawan, Dato' Hassan Ahmad dalam kolumnya dalam akhbar tempatan berpendapat "bahasa Malaysia" tidak semestinya menunjukkan bahawa itu adalah bahasa Melayu.

Jelasnya, dalam Perlembagaan, dalam Akta Bahasa Kebangsaan (1963/1968) dan dalam Akta Pendidikan disebut bahawa bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan Persekutuan Malaysia. Istilah "bahasa Malaysia" tidak digunakan dalam dokumen-dokumen perundangan akta tersebut.

Situasi ini katanya menggambarkan taraf politik-legalistik bahasa Melayu yang membezakan taraf bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa lain. Dasar ini katanya untuk kepentingan negara, bukan untuk kepentingan etnik.

Dengan memberi contoh Indonesia, katanya bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan Indonesia disebut "bahasa Indonesia" walaupun dari segi genetiknya "bahasa Indonesia" itu sebenarnya ialah bahasa Melayu, bukan bahasa Jawa, bukan bahasa Minangkabau, bahasa Bugis, Aceh dan lain-lain lagi.

Jelasnya bahasa Melayu juga telah lama menjadi bahasa pemersatuan atau lingua franca di Indonesia sejak zaman pemerintahan Belanda. Bahasa inilah yang akhirnya diterima sebagai bahasa "bebas etnik" untuk menyatupadukan penduduk Indonesia. Ini bermakna bahasa Melayu di Indonesia tidak dikaitkan lagi dengan etnik Melayu atau dengan kuasa Melayu.

"Di Malaysia, kita tidak perlu menciptakan istilah baharu yang kononnya 'neutral' atau bebas etnik untuk menggantikan nama `bahasa Melayu'. Istilah yang lebih bersifat supraetnik dan supradaerah atau wilayah sudah ada dalam Perlembagaan, iaitu bahasa kebangsaan," katanya.

Nik Safiah Kecewa dengan Keputusan Kerajaan

Sementara itu pakar bahasa, Prof. Emeritus Dr. Nik Safiah Abdul Karim dalam satu kenyataannya juga melahirkan kekecewaan dengan keputusan kabinet itu.

"Saya sedih dengan keputusan Kabinet. Kita selalu tukar fikiran, apa salahnya kekal dengan istilah bahasa Melayu. Saya harap Kabinet kaji semula perkara ini kerana sudah jelas dalam Perlembagaan yang merujuk bahasa kebangsaan sebagai bahasa Melayu," katanya.

Jelasnya lagi, bahasa Melayu sekarang bukan lagi merujuk orang Melayu tetapi umum mengetahuinya sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi pertuturan harian rakyat.

Pakar Undang-undang Sifatkan Keputusan Bermotif Politik

Profesor undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr. Abdul Aziz Bari pula berpandangan, keputusan kabinet itu mungkin bermotifkan politik sebagai strategi pilihan raya bagi menunjukkan keprihatinan Barisan Nasional (BN) terhadap masyarakat bukan Melayu.

Istilah tersebut juga katanya menggambarkan seolah-olah Umno hendak mengkhianati kontrak sosial memandangkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di bawah Perkara 152 adalah sebahagian daripada kontrak sosial.

Jelas Abdul Aziz, Perkara 152 yang "merumahkan" kedudukan bahasa Melayu tidak pernah dipinda sejak 31 Ogos 1957 lagi. Manakala ungkapan bahasa Malaysia katanya timbul selepas peristiwa 13 Mei untuk mengambil hati golongan bukan Melayu.

Justeru katanya, kenyataan Menteri Penerangan, Dato' Seri Zainuddin Maidin bahawa istilah bahasa Malaysia diperkenalkan oleh Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj selepas negara mencapai kemerdekaan adalah diragui.

"Saya ragu bila masa Tunku berbuat seperti yang didakwa oleh Zam itu. Cukuplah dengan nasib tulisan Jawi yang mati di tangan mereka. Kononnya sistem ejaan jawi dipermudah untuk memudahkan bukan Melayu.

"Tetapi berapa ramai yang belajar dan minat? Yang jelas orang Melayu lupa tulisan Jawi dan ini mendatangkan kesan negatif kepada pendidikan al-Qur'an yang rapat dengan tulisan Jawi. Begitu juga dengan jati diri bangsa Melayu," tegasnya dalam satu kenyataan kepada Harakah.

Jelasnya lagi, persoalan bahasa tidak perlu dikaitkan dengan negara. Beliau memberi contoh beberapa buah negara seperti Brazil yang menggunakan bahasa Portugis tapi tidak menggelarnya dengan "bahasa Brazil".

Begitu juga dengan Mexico tetap mengekalkan bahasa Sepanyol, tidak menjadikannya bahasa Mexico. Begitu juga dengan Amerika Syarikat dan Scotland dalam konteks bahasa Inggeris, katanya.

"Kita tidak harus terikut-ikut dengan kekeliruan di Indonesia. Kita harus melihat Brunei yang tegas mempertahankan bahasa Melayu. Kita tidak harus melakukan sesuatu yang amat dangkal dan superfisial seperti yang dilakukan oleh kabinet itu.

Rujuk Pakar Bahasa atau DBP

"Kabinet harus merujuk hal ini kepada pakar bahasa seperti DBP dan mereka yang berkaitan. Mereka juga harus berani meminda Perkara 152 yang mana pindaan ini mesti diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja," katanya yang kesal dengan tindakan tersebut.

Keputusan kabinet menggunakan istilah bahasa Malaysia yang antara lain dengan alasan untuk memperkasa bahasa kebangsaan juga disifatkan Abdul Aziz akan lebih mengelirukan orang Melayu serta belum tentu dapat diperkasakan.

"Yang penting kembalikan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu. Lain yang bermasalah lain pula yang ditangani. Ini ibarat kepala yang sakit, tetapi kaki pula yang dirawat," katanya.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Dr. Syed Husin Ali pula berpendapat tindakan menukar nama sahaja tidak akan menyelesaikan masalah, kerana apa yang lebih penting ialah soal kedaulatan bahasa yang perlu diberi keutamaan di samping perlunya kestabilan dasar politik dan ekonomi untuk menjamin perpaduan yang utuh.

Mampukah Pertukaran Ini Mantapkan Perpaduan?

"Apakah dengan hanya menukar nama kepada bahasa Malaysia maka automatik akan meningkatkan keyakinan rakyat atas perpaduan kaum?" katanya dalam satu komentar terhadap isu tersebut.

Kata Syed Husin, elemen perpaduan mesti melihat kepada dasar politik dan ekonomi, selain bahasa dan pendidikan. Menurutnya, dasar politik Malaysia masih lagi mengamalkan dasar pecah dan perintah, justeru perpaduan hanya boleh dicapai dengan mengubah dasar yang sedia ada. Justeru langkah meniup semangat perpaduan tanpa perubahan hanyalah retorik semata-mata, katanya.

Sebagaimana yang dinyatakan Abdul Aziz, Teras Pengupayaan Melayu juga melahirkan kekesalan kerana keputusan tersebut ditukar kembali tanpa ada rujukan dan perbincangan dengan ahli bahasa.

"Adakah pihak kerajaan lebih melayani tuntutan pihak tertentu untuk mencairkan identiti bahasa itu? Adakah bahasa Melayu yang telah diterima tanpa sungutan oleh kebanyakan rakyat dirombak semula hanya atas alasan perpaduan, walhal tidak ada bukti menunjukkan orang bukan Melayu rasa kurang selesa dengan bahasa Melayu," kata presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Sungguhpun isu penukaran istilah bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia ini dianggap remeh oleh sesetengah pihak khususnya golongan yang "tipis" semangat Melayu, pandangan pelbagai pihak harus diambil kira agar "pusaka" asli ini tidak terkubur dan penukarannya tidak hanya bersandarkan istilah semata-mata. (wann)

Tiada ulasan: