31 Ogos 2009

Kebakuan Didahulukan, Kesempurnaan dan Keindahan Diutamakan

Kad undangan perkahwinan menyerlahkan cita rasa pihak yang mengundang. Cita rasa itu menyerlah melalui pelbagai aspek. Antaranya termasuklah reka bentuk kad, penggunaan fon, pemilihan warna dan tidak ketinggalan juga penggunaan bahasa.

Sesungguhnya, kad undangan perkahwinan adalah antara wacana terindah dalam ranah bahasa Melayu tinggi. Pengundang menggembleng segala keupayaan untuk melahirkan rasa hati melalui pemilihan tajuk, perkataan atau ungkapan. Pemilihan itu bukan sahaja sesuai dengan cita rasa masing-masing bahkan menggambarkan kesopanan gaya bicara dan ketulusan hati pengamal budaya tinggi.

Tajuk seperti “raja sehari”, “majlis perkahwinan” dan “walimatulurus” jelas mengandung cita rasa dan dapat menggambarkan jati diri pengundang. Perkataan atau ungkapan seperti “mempelai”, “berteraskan agama”, “izin berwali”, “ijab bersaksi”, “mendirikan mahligai kasih” dan “dengan hormatnya kami mempersilakan” pula ketara memperagakan kesopanan bicara dan ketulusan jiwa. Perkataan atau ungkapan yang indah itu juga memancarkan sinar kegembiraan daripada hati pengundang.

Dalam kad undangan perkahwinan, pengundang juga menintakan sayang. Antaranya termasuklah dengan menggunakan nama manja seperti Anis untuk Siti Hanisah atau nama timang-timangan seperti Along untuk anak yang sulung. Selain itu, si anak juga mendapat gelar “putera” atau “puteri” sesuai dengan status mereka sebagai raja sehari.

Dalam kad undangan perkahwinan, pengundang sangat memelihara kesempurnaan bahasa. Kata sapaan untuk orang yang diundang perlu lengkap seperti “Dato’/Datin”, “tuan/puan” dan “saudara/saudari”. Tarikh mesti penuh dan diikutsertakan dengan tarikh hijrah. Penggunaan perkataan mesti yang terpilih dan baku.

Selain itu, mereka juga menonjolkan ajaran agama dengan menyisipkan petikan ayat al-Quran dan al-hadis yang berkaitan dengan perkahwinan. Ada juga pengundang mengetengahkan puisi sebagai penyata penghargaan yang tinggi terhadap kesusasteraan.

Pendeknya, kad undangan perkahwinan adalah antara wacana contoh yang baku dan indah. Gambarannya umpama ungkapan gagasan Satu Malaysia, iaitu “kad undangan perkahwinan: kebakuan didahulukan, kesempurnaan dan keindahan diutamakan”.

Hal lain yang wajar kita perhatikan dalam kad undangan perkahwinan ialah penggunaan perkataan “undang”. Pengeluar kad prihatin tentang perkara ini. Mutakhir ini amat sukar untuk kita menemukan perkataan “jemputan” dan “menjemput” dalam kad undangan perkahwinan. Perkataan atau ungkapan yang mudah kita temukan ialah “undangan”, “kad undangan” dan “mengundang”. Mengapalah perubahan ini berlaku?

Lazimnya, walimatulurus bermula sesudah Hari Raya Aidilfitri dan berterusan hingga hujung tahun Masehi. Pada masa itu kad undangan perkahwinan akan masuk ke dalam peti surat atau pintu rumah kita. Masukan blog ini molek diingat kembali apabila kita membaca kad itu.

Nota. Masukan ini adalah sebagai pelengkap masukan “Genosid Bahasa Masih Mengintai” dan “Hang Tuah Lebih Gagah daripada Superman” dan ada kaitannya dengan makalah “Bahasa dalam Kad Undangan Perkahwinan” oleh Anis Shahirah dalam majalah Dewan Bahasa keluaran Ogos 2009.

Tiada ulasan: