07 September 2009

Pandangan Pakar Bahasa tentang “1Malaysia”

Masukan yang berkaitan: (1) Konsep Perpaduan dalam Gagasan Satu Malaysia (2) Pembudayaan Bahasa Kebangsaan

Sari makalah “Lakuan Bahasa dalam Satu Malaysia” oleh Ismail Dahaman dalam majalah Dewan Masyarakat, September 2009, halaman 58 – 59.

1. Frasa nama khas “1Malaysia” dianggap janggal malah menyalahi hukum tatabahasa. Perkataan “satu” lebih sesuai digunakan daripada nombor “1”.

2. Nombor “1” sesuai digunakan sebagai logo Satu Malaysia yang dilancarkan pada 28 Jun lalu.

3. Matlamat perpaduan nasional terungkap dalam slogan “Satu Bangsa Satu Negara” dan “Satu Bahasa Satu Negara”. Malaysia dapat mencapai matlamat ini sekiranya semua rakyat mengamalkan bahasa kebangsaan dalam seluruh kehidupan. Perkara ini perlu mendapat perhatian yang serius kerana kualiti perpaduan nasional yang sedia ada kelihatan rapuh. Malaysia perlu menyuntik sinergi pendekatan bahasa kebangsaan untuk meningkatkan kualiti perpaduan nasional itu.

4. Urusan pembangunan bahasa kebangsaan pada peringkat negara sewajarnya dikawal oleh Jabatan Perdana Menteri dan tidak seharusnya dibebankan semata-mata kepada Dewan Bahasa dan Pustaka yang begitu terbatas fungsi dan tanggungjawabnya. Penyelarasan undang-undang perlu dilakukan segera untuk membolehkan bahasa Melayu membangun secara terarah.

5. Semua pemimpin peringkat tertinggi diseru mengamalkan “kepimpinan melalui teladan” sebagai pengamal misali bahasa kebangsaan apabila mempromosikan matlamat Satu Malaysia.

6. Dari sudut bentuk, bahasa kebangsaan yang digunakan berupa bahasa standard yang betul tatabahasanya, tepat perbendaharaan katanya, serta tidak dicemari dengan unsur-unsur tidak baku seperti pelat, dialek setempat, pengaruh bahasa pasar, dan bahasa rojak.

Nota
Encik Ismail Dahaman berpengalaman luas dalam bidang bahasa, khususnya dalam aspek ejaan dan sebutan. Beliau menjawat pelbagai jawatan yang berkaitan dengan penyelidikan dan pengurusan bahasa Melayu. Jawatan terakhirnya (1999) ialah Pengarah Jabatan Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka. Beliau menulis beberapa banyak buku dan makalah. Antara bukunya termasuklah Ejaan Rumi Sepanjang Zaman (2007). Antara makalahnya di akhbar termasuklah yang di bawah:

1. Ceramah Ejaan Baru Khusus kepada Pekerja RTM, Berita Harian, 11 Ogos 1978.
2. Bahasa Kita, The Malay Mail, 9 Ogos 1984.
3. Bahasa sebagai Jati Diri, Utusan Malaysia, 10 Oktober 1985.
4. Sistem Ejaan Bahasa Malaysia yang Kemas Kini: Pedoman dan Pelaksanaan, Sabah Times, 9 November 1985.
5. Daripada Bulan Bahasa kepada Gerakan Bahasa, Watan, 28 Mac 1988.
6. Pemantapan Bahasa Kebangsaan, Berita Harian, 16 Julai 1994.
7. Peralihan Paradigma Bahasa, Berita Harian, 8 Ogos 1994.
8. Pasaran Program Bahasa Melayu DBP, Utusan Malaysia, 9 Oktober 1995.
9. Bengkel Penghakiman Puisi Usaha yang Baik, Utusan Malaysia, 22 Julai 1997.

Tiada ulasan: