08 Oktober 2009

Gerakan Bahasa Kebangsaan Memerlukan Transformasi dengan Strategi Alternatif – Ismail Dahaman

Dalam tempoh 52 tahun merdeka, kita sudah mengadakan berbagai-bagai gerakan untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Namun, matlamat gerakan itu belum tercapai sepenuhnya, baik dari segi penggunaan mahupun kualitinya. Bahasa kebangsaan kita masih mengalami kepincangan fungsi.

Kepincangan fungsi itu berpunca daripada persaingannya dengan bahasa Inggeris. Faktor sikap rakyat, krisis jati diri, latar belakang pendidikan dwialiran dan matlamat komuniti bahasa yang berbeza-beza turut menyumbang kepada kendala memperkasa bahasa kebangsaan.

Di bawah gagasan Satu Malaysia, pelaksanaan gerakan bahasa kebangsaan memerlukan transformasi dengan strategi alternatif. Gerakan baharu itu penting untuk memperteguh atau memperkasakan perpaduan nasional, iaitu “perpaduan dalam kepelbagaian”, dalam negara bangsa Malaysia.

Transformasi itu pasti melibatkan perancangan semula pembangunan bahasa kebangsaan dalam semua aspek. “Apa-apa kempen atau gerakan bahasa kebangsaan hendaklah dirancang dan dilaksanakan dalam rangka transformasi proses pemerkasaan bahasa Melayu dalam konteks perpaduan nasional menuju gagasan Satu Malaysia itu.”

Ismail Dahaman, “Transformasi Gerakan Bahasa”, Dewan Bahasa, Oktober 2009, halaman 12 – 15.
Pedoman Bahasa (JPEG) 064. Minda Tokoh/Pejuang/Ahli/Pencinta Bahasa Melayu.

Tiada ulasan: