18 Disember 2009

“Sebagai Kesimpulannya” Tepat - Munsyi Dewan

Sari “Soal Jawab Bahasa” (SJB) oleh Munsyi Dewan, Pelita Bahasa, Disember 2009.

1. “Gejala sosial merupakan gejala yang perlu diambil perhatian oleh semua pihak sebagai kesimpulannya.” Ini ialah ayat susunan biasa. Penggunaan frasa sendi nama “sebagai kesimpulannya” dalam ayat ini tepat. Apabila disongsangkan, ayat ini menjadi “Sebagai kesimpulannya, gejala sosial merupakan gejala yang perlu diambil perhatian oleh semua pihak”.

2. Ayat boleh bermula dengan perkataan “dengan”. Ayat contoh: “Dengan menggunakan pisau plastik, saya memotong kek hari jadi saya”. Ini ialah ayat songsang. Susunan biasa bagi ayat ini ialah “Saya memotong kek hari jadi saya dengan menggunakan pisau plastik”.

3. Frasa nama “kata alu-aluan” tepat dan dapat dianalogikan dengan perkataan “mengalu-alukan”. Frasa *kata-kata aluan silap.

1 ulasan:

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Petikan:
“Banyak orang yang keliru tentang penggunaan frasa sendi nama kesimpulannya dan sebagai kesimpulannya. Frasa yang tepat ialah sebagai kesimpulannya. Hal itu dikatakan demikian kerana sebagai kesimpulannya ialah frasa sendi nama yang mengalami pendepanan atau yang disongsangkan.” – Munsyi Dewan, “Soal Jawab Bahasa”, Pelita Bahasa, Disember 2009, halaman 48.