12 Mac 2010

Ada Rakyat Malaysia Memperlekeh Bahasa Kebangsaan

1. Selepas merdeka lebih 52 tahun, masih ada rakyat Malaysia tidak boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan (BK) dengan baik.

2. Ada guru mempersoal penggunaan BK untuk laporan rasmi kerana laporan sudah dibuat dalam bahasa Mandarin. Mereka kata, pegawai pelajaran perlu memahami bahasa Mandarin. Mereka tidak menghormati BK. Patutkah Jabatan Pelajaran membenarkan mereka terus menggunakan bahasa Mandarin dalam laporan rasmi?

Lampiran

1. Ketika melalui pekan Tronoh, Perak, baru-baru ini, yang diamati ialah bahawa masih ada rakyat Malaysia yang tidak dapat bertutur dalam bahasa Melayu. Hal tersebut tentu sekali amat mengecewakan kerana bahasa Melayu bahasa kebangsaan. Maka timbul pertanyaan: Mengapakah hal tersebut berlaku? (Bingkisan Editor oleh Armin Azhari Saleh, “Dua Puluh Tahun Menyempurnakan Bahasa”, Pelita Bahasa, Mac 2009, halaman 3.)

2. Sebuah rancangan televisyen mendedahkan ketidakupayaan rakyat negara ini bertutur dalam bahasa kebangsaan di Pulau Ketam. Pada bulan Mac yang lalu, Pelita Bahasa mendedahkan hal yang sama yang berlaku di Tronoh. Maka timbul pertanyaan Penduduk kawasan manakah lagi yang tidak mampu bertutur dalam bahasa kebangsaan?

Situasi tersebut menunjukkan bahawa seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Setelah melalui sistem pendidikan sekurang-kurangnya 11 tahun, tentu tidak munasabah jika masih ada rakyat negara ini yang tidak berupaya bertutur dalam bahasa kebangsaan. (Bingkisan Editor oleh Armin Azhari Saleh, “Mengubah Tanggapan Masyarakat tentang Bahasa Kebangsaan”, Pelita Bahasa , September 2009, halaman 3.)

3. Setelah 52 tahun merdeka, yang didapati ialah bahawa masih ada rakyat negara ini yang tidak mampu menggunakan bahasa kebangsaan yang betul, baik lisan mahupun tulisan. Yang lebih mendukacitakan ialah ada rakyat yang tidak dapat bertutur dalam bahasa kebangsaan. Keadaan di Tronoh dan Pulau Ketam membuktikan hal tersebut. Keadaan tersebut seolah-olah memberikan gambaran bahawa gerakan mendaulatkan bahasa kebangsaan tidak mendatangkan hasil seperti yang dikehendaki. (Bingkisan Editor oleh Armin Azhari Saleh, “Gerakan Mendaulatkan Bahasa Kebangsaan”, Pelita Bahasa, Oktober 2009, halaman 3.)

Tiada ulasan: