21 April 2010

Frasa “Bergantung Pada” Gramatis

Sari “Soal Jawab Bahasa” (SJB), majalah Pelita Bahasa, April 2010.

1. Ayat contoh:
(1) Sila kembalikan borang itu kepada kerani pejabat.
(2) Peserta bengkel dibahagikan kepada dua kumpulan.
(3) Suhu badannya meningkat kepada 39 darjah Celsius.

2. Kata sendi nama kepada terletak di hadapan kata nama atau frasa nama. Dalam ayat pertama, perkataan kepada merujuk manusia. Selain itu, perkataan kepada dapat juga merujuk haiwan dan unsur mujarad. Dalam ayat kedua, perkataan kepada menyatakan pecahan. Dalam ayat ketiga, perkataan kepada menyatakan perubahan keadaan. Ketiga-tiga ayat ini tidak gramatis jikalau kita tukar perkataan kepada menjadi perkataan pada.

3. Ayat contoh:
(1) Bas kami bertolak pada pukul tujuh pagi.
(2) Ahli gimnastik itu berpaut pada palang besi.
(3) Wau itu tersangkut pada tiang.
(4) Wang itu ada pada ibu.

4. Perkataan pada dalam ayat pertama menunjukkan keterangan waktu. Perkataan pada dalam ayat kedua dan ketiga menunjukkan tempat. Perkataan pada dalam ayat keempat berpola ada + nama (manusia atau haiwan). Perkataan kepada tidak boleh menggantikan perkataan pada dalam ayat-ayat ini.

5. Kerani pejabat, dua kumpulan dan 39 darjah Celsius ialah sasaran. Tegasnya, kata sendi nama kepada menunjukkan sasaran. Pukul tujuh pagi, palang besi dan tiang ialah sandaran.Tegasnya, kata sendi nama pada menunjukkan sandaran. Ada + nama ialah pola yang tersendiri.

6. Sebagai kesimpulannya, frasa *bergantung kepada tidak gramatis. Frasa yang gramatis ialah bergantung pada.

Tiada ulasan: