10 November 2010

Kad Undangan Perkahwinan, Wacana Terindah

Hari Raya Aidilfitri sudah kita tinggalkan. Cuti sekolah menjelang. Walimatulurus bertandang. Pada bulan November dan Disember jenuhlah kita meraikan raja sehari. Ijab kabul berlangsung juga pada awal tahun Masehi. Pada masa inilah kad undangan perkahwinan akan masuk ke dalam peti surat atau menjenguk pintu rumah kita.

Kad undangan perkahwinan menyerlahkan cita rasa pihak yang mengundang. Cita rasa itu terserlah melalui pemilihan jenis dan warna kertas, reka bentuk kad dan penggunaan fon. Segala-galanya perlu bermutu dan istimewa hingga haruman wangian pun ikut bersama-sama. Malah, bagi yang berkemampuan, apabila kad undangan dibuka, alunan muzik akan menjelma. Namun, perkara terpenting pada kad undangan itu ialah penggunaan bahasa.

Sesungguhnya, kad undangan perkahwinan adalah antara wacana terindah dalam ranah bahasa Melayu tinggi. Pengundang menggembleng segala keupayaan untuk melahirkan rasa hati melalui pemilihan tajuk, perkataan atau ungkapan. Pemilihan itu bukan sahaja sesuai dengan cita rasa masing-masing bahkan menggambarkan kesantunan dan ketulusan hati.

Tajuk seperti “raja sehari”, “majlis perkahwinan” dan “walimatulurus” jelas mengandungi cita rasa dan dapat menggambarkan jati diri pengundang. Perkataan atau ungkapan seperti “mempelai”, “berteraskan agama”, “izin berwali”, “ijab bersaksi”, “mendirikan mahligai kasih” dan “dengan hormatnya kami mempersilakan” pula ketara memperagakan kesantunan dan ketulusan jiwa. Perkataan atau ungkapan yang indah itu juga memancarkan sinar kegembiraan daripada hati pengundang.

Dalam kad undangan perkahwinan, pengundang juga menintakan sayang. Antaranya termasuklah dengan menggunakan nama manja seperti Anis untuk Siti Hanisah atau nama timang-timangan seperti Along untuk anak yang sulung. Selain itu, si anak juga mendapat gelar “putera” atau “puteri” sesuai dengan status mereka sebagai raja sehari.

Dalam kad undangan perkahwinan, pengundang sangat memelihara kesempurnaan bahasa. Kata sapaan untuk orang yang diundang perlu lengkap seperti “Dato’/Datin”, “tuan/puan” dan “saudara/saudari”. Tarikh mesti penuh dan diikutsertakan dengan tarikh hijrah. Penggunaan perkataan mesti terpilih dan baku.

Selain itu, pengundang juga menonjolkan ajaran agama dengan menyisipkan petikan ayat al-Quran dan al-hadis yang berkaitan dengan perkahwinan. Ada juga pengundang mengetengahkan puisi sebagai penyata penghargaan yang tinggi terhadap seni berbahasa.

Pendeknya, kad undangan perkahwinan adalah antara wacana contoh yang baku dan indah. Gambarannya umpama ungkapan gagasan Satu Malaysia, iaitu “kad undangan perkahwinan: kebakuan didahulukan, kesempurnaan dan keindahan diutamakan”.

Tiada ulasan: