10 Disember 2010

Kisah: Ghulam Rela Mati

(Cerita ini diceritakan semula secara bebas daripada versi panjang yang terdapat dalam buku Tafsir Al-Azhar, Juzu’ 30, halaman 84 – 94.)

Pada zaman dahulu, ada seorang ahli sihir. Dia sudah tua. Dia bermohon kepada Raja untuk menurunkan ilmunya. Raja menunaikan permintaannya. Baginda memilih seorang remaja yang bernama Ghulam untuk berguru dengan ahli sihir.

Ada seorang pendeta. Rumahnya terletak di antara rumah Ghulam dengan rumah ahli sihir. Setiap pagi Ghulam berguru dahulu dengan pendeta. Selepas itu barulah dia mempelajari ilmu sihir.

Oleh sebab dia lambat, ahli sihir memarahi dan memukulnya. Waktu pulang, dia lewat tiba di rumahnya. Ibu bapanya pula memarahi dan memukulnya.

Pendeta memahami masalah Ghulam. Jadi, dia mengajar Gulam berhelah. “Apabila tukang sihir bertanya sebab engkau lambat, katakanlah kamu terlambat bertolak dari rumah. Jikalau engkau lambat sampai di rumah, katakan pula tukang sihir menahanmu.”

Ghulam terus berguru dengan pendeta dan dengan ahli sihir.

Pada suatu hari, seekor binatang buas menghalang perjalanan. Semua orang ketakutan. Ghulam memberanikan diri. Dia mengambil seketul batu dan berseru, “Ya Allah, kalau ajaran pendeta itu benar, bunuhlah binatang ini!”

Dia melemparkan batu kepada binatang itu. Binatang itu mati. Dia dan orang ramai menggunakan jalan itu semula.

Ghulam menceritakan peristiwa itu kepada pendeta. Pendeta berkata, “Wahai anakku, sekarang kamu mencapai darjat yang lebih tinggi daripadaku! Kamu akan menghadapi pelbagai dugaan. Apabila dugaan itu tiba, janganlah kauberitahu bahawa kamu mengenaliku.”

Ghulam semakin besar dan terkenal. Dia berjaya mengubati penyakit kusta dan penyakit-penyakit lain. Apabila mendengar kebolehannya, seorang pembesar yang buta bertemu dengannya lalu berkata, “Sembuhkanlah butaku! Hadiah ini untukmu.”

Ghulam menjawab, “Saya tidak berkuasa menyembuhkan sebarang penyakit. Yang boleh menyembuhkan sesuatu penyakit hanya Allah. Jikalau tuan beriman kepada Allah, saya akan berdoa kepada-Nya. Saya akan memohon agar Allah menyembuhkan penyakit tuan.”

Pembesar buta itu pun beriman. Ghulam berdoa. Akhirnya mata pembesar itu sembuh.
Setelah matanya sembuh, pembesar itu menemui raja. Baginda tercengang lalu bertanya, “Siapakah yang menyembuhkan mata engkau?”

Pembesar itu menjawab, “Tuhan patik.”

Raja berasa hairan dan bertanya “Betakah yang engkau maksudkan?”

Pembesar itu menjawab, “Bukan. Tuhan patik dan Tuhan tuanku ialah Allah!”

Raja membentak, “Wah, engkau mengakui ada Tuhan selain beta! Siapakah yang mengajar kamu?”

Pembesar itu enggan memberitahu orang yang menyebabkannya beriman. Jadi, dia ditangkap dan diseksa. Oleh sebab dia tidak mampu menanggung derita, akhirnya dia memberitahu Raja bahawa orang yang mengajarnya mengesakan Tuhan ialah Ghulam.

Orang-orang Raja menangkap Ghulam. Raja menyoalnya, “Benarkah kamu dapat mencelikkan orang buta?”

Ghulam menjawab, “Tidak benar, tuanku. Patik tidak dapat menyembuhkan sesiapa. Yang menyembuhkan mereka hanyalah Allah Yang Maha Kuasa.”

Raja bertanya lagi, “Betakah yang engkau maksudkan?”

Ghulam menjawab dengan yakin, “Bukan tuanku, tetapi Allah!”

Raja bertanya lagi, “Engkau mengakui ada Tuhan selain beta?”

Ghulam menjawab dengan tegas, “Tuhan patik dan Tuhan tuanku ialah Allah!”

Orang-orang raja menyeksa Ghulam. Oleh sebab dia tidak tahan menanggung derita, dia memberitahu nama gurunya.

Pendeta pun ditangkap. Pendeta pula diseksa dan dipaksa meninggalkan agamanya. Namun pendeta tetap mempertahankan imannya. Raja memerintahkan orang membunuh pendeta. Akhirnya, matilah pendeta demi mempertahankan imannya.

Seterusnya, Raja memaksa Ghulam meninggalkan agamanya. Oleh sebab Ghulam berkeras, Raja memerintahkan orang membawanya naik ke puncak gunung.

Raja berkata, “Apabila sampai di puncak, paksa dia kembali kepada agama kita. Jikalau dia berdegil, lemparkan dia ke bawah!”

Ghulam dibawa ke puncak gunung. Apabila tiba di sana, dia berdoa, “Ya Allah, peliharalah aku daripada mereka dengan kekuasaan-Mu!”

Tiba-tiba gunung itu bergoncang. Orang-orang Raja berjatuhan bagai batu. Ghulam selamat dan kembali menghadap Raja.

Raja menyoal Ghulam, “Di mana orang-orang yang menghantar engkau ke gunung?”

Ghulam menjawab, “Tuhan memelihara patik dan memusnahkan mereka.”

Raja memerintahkan orang menghantar Ghulam ke tengah laut pula.

Raja memberikan perintah, “Apabila sampai di sana, paksa dia kembali kepada agama kita. Jikalau dia enggan, benamkan dia ke laut!”

Sebaik-baik tiba di tengah laut, sekali lagi Ghulam menadah tangannya ke langit dan berdoa. Maka turunlah ribut. Orang-orang Raja tenggelam bersama-sama sampan mereka. Dia sendiri selamat berenang ke tepi.

Dia kembali menghadap Raja. Dia memberitahu Raja bahawa Tuhan Yang Maha Esa menyelamatkan dirinya. Orang-orang baginda semuanya tenggelam.

Akhirnya Ghulam berkata, “Tuanku hanya dapat membunuh patik dengan satu cara sahaja.”

Kata Raja, “Nyatakanlah cara itu.”.

Ghulam memberikan penjelasan, “Suruh manusia berkumpul di satu tempat. Letakkan patik pada palang kayu. Ambil anak panah patik dan bidik diri patik. Bacalah kalimah ‘Dengan nama Allah, Tuhan Ghulam’ dengan suara yang lantang. Lepaskanlah anak panah itu. Dengan cara itu sahaja Tuanku dapat membunuh patik.”

Raja melaksanakan panduan Ghulam. Dengan mengucapkan, “Dengan nama Allah, Tuhan Ghulam,” baginda melepaskan anak panah.

Anak panah mengenai jantung Ghulam. Kepalanya terkulai. Dia pun mati.

Tiba-tiba berhamburanlah kalimah “Kami beriman kepada Allah, Tuhan Ghulam!” daripada mulut orang ramai. Suara mereka gegak-gempita.

Seorang pembesar berkata, “Perkara yang tuanku takuti selama ini sudah terjadi. Ghulam mati tetapi rakyat menganut ajarannya!”

Raja sangat murka. Baginda memerintahkan orang menggali parit, menghimpun kayu dalam parit itu dan menyalakan api. Apabila api marak, baginda berkata, “Sesiapa yang percaya kepada Tuhan Ghulam akan dibakar hidup-hidup!”

Orang ramai yang sudah beriman kepada Allah tidak berundur. Mereka rela dihumban ke dalam parit api demi mempertahankan keimanan mereka.

Antara mereka ada seorang ibu. Dia mendukung bayinya. Ketika ditolak ke pinggir parit api, dia berasa takut. Tiba-tiba bayinya berkata, “Teguhkan hatimu, ibuku. Kita dalam agama yang benar!”

Tiada ulasan: