17 Mac 2011

Senduduk Ungu Kekal Sahabat


Senduduk ungu (Melastoma malabathricum) ialah jenis senduduk yang paling mudah kita temukan. Pokok renek ini tumbuh meliar di tanah terbiar, kebun, ladang dan belukar.

Senduduk ungu turut mewarnai zaman kanak-kanak saya. Yang terpenting, selepas memakan buahnya, lidah saya berwarna hitam. Warna itu bersememeh di bibir. Namun, dari semasa ke semasa, saya tetap memakan buahnya yang sudah masak.

Pada akhir tahun lima puluhan dan awal tahun enam puluhan, kudapan yang saya kenal hampir kesemuanya berasal daripada kebun, ladang, belukar dan hutan. Antara kudapan itu termasuklah buah kemunting, buah lemba, buah mata pelanduk, buah pokok nasi-nasi, buah letup-letup dan buah senduduk ungu. Antara buah-buah itu pula, buah yang terkerap menjadi mamahan saya ialah buah senduduk ungu.

Sebenarnya, rasa buah senduduk ungu tidaklah seenak rasa buah-buah lain seperti buah kemunting, buah lemba dan buah letup-letup. Buah senduduk ungu menjadi kudapan utama saya kerana buah inilah yang paling mudah diperoleh. Selain itu, rakan-rakan saya kerap mengajak saya mencari dan memakan buah ini. Kami berasa sungguh seronok apabila menjelirkan lidah masing-masing yang sudah berwarna hitam sambil ketawa-ketawa.

Selain buah, saya juga memanfaatkan batang senduduk ungu yang masih muda sebagai berus gigi. Saya masih ingat, selepas menyental gigi dengan arang dapur dan selepas berkumur-lumur, saya meneruskan proses menggosok gigi dengan menggunakan batang senduduk ungu.

Gosokan permulaan adalah dengan batang senduduk ungu yang masih berkulit. Kulitnya yang kasar itu menghilangkan kesan arang dan meningkatkan kebersihan gigi. Kemudian, kulit batang senduduk ungu itu dibuang. Satu hujung batang itu digigit-gigit. Proses memberus gigi diteruskan dengan hujung batang yang sudah pecah-pecah itu. Ada rasa kelat dan sedikit manis ketika menggunakan berus gigi itu.

Pada masa itu, saya dan rakan-rakan suka masuk ke dalam hutan untuk mencari damar, rotan, umbut bayas dan buah-buah hutan seperti buah kembang semangkuk, buah redan dan buah bertam. Kami kerap mengalami luka kecil.

Saya mengubati luka sendiri atau luka rakan-rakan dengan menggunakan pucuk senduduk ungu. Pucuk itu saya kunyah lumat-lumat. Kunyahan itu saya tampalkan pada anggota yang luka. Pendarahan berhenti beberapa minit kemudian.

Senduduk ungu berjasa kepada saya, rakan, keluarga dan masyarakat. Kami mencampakkan setangkai dua senduduk ungu ke dalam perigi atau kolam yang baru ditimba atau dibersihkan. Senduduk itu membantu proses penjernihan air. Selain itu, beberapa tangkai senduduk ungu menjadi bahan untuk menyental kawah, terutamanya kawah yang baru digunakan untuk memasak dodol.

Pokok senduduk ungu ada yang besar. Pohon yang besar itu bercabang. Cabangnya kuat dan seimbang. Saya dan rakan-rakan menjadikan cabang itu sebagai tangkai lastik.

Sayang, senduduk ungu termasuk dalam kategori tumbuh-tumbuhan yang perlu dibasmi demi kesuburan tanam-tanaman kami. Kami menebas, meracun atau mencabut pokok itu. Apabila durian mulai berbunga, pokok senduduk ungu akan ditebas. Begitulah nasib pohon yang berjasa kepada kami.

Pada hari ini, kekaguman saya terhadap pokok senduduk ungu bertambah. Rupa-rupanya kesemua bahagian pokok itu ada gunanya. Pucuknya boleh dibuat ulam, terutama oleh pesakit kencing manis. Pucuknya juga boleh menjadi ramuan sambal tempoyak daun kayu. Daunnya boleh menjadi bahan untuk melembutkan daging apabila direbus.

Ada beberapa lagi kegunaan akar, batang, daun, pucuk, bunga dan buah senduduk ungu. Walaupun khasiatnya tidaklah sehebat senduduk putih, kita wajar memanfaatkan senduduk ungu kerana pokok renek ini amat mudah kita temukan.

Pada hari ini tiada sepohon pun senduduk ungu di kebun saya. Semuanya sudah diracun atau dicabut.

Mulai hari ini saya berasa perlu untuk membiarkan beberapa pokok senduduk ungu berada di kebun itu. Saya memang memerlukannya, terutama pucuknya. Kini saya memperbaharui persahabatan dengan senduduk ungu.

Di halaman rumah saya pula sudah terdapat sepohon senduduk putih dalam pasu. Mulai minggu ini saya memulakan persahabatan dengan senduduk putih.

Pokok inggu daunnya lebat,
Dari negeri orang putih;
Senduduk ungu kekal sahabat,
Rakan terkini senduduk putih.


4 ulasan:

Kak Imun berkata...

Salam, tuan. Dulu2 saya pun suka makan buah senduduk. Rasanya manis bila dah masak..gigi pun jadi hitam...Senduduk masih banyak tumbuh diperkarangan rumah kami.

Bila baca entry tuan, saya bersyukur kerana pokok2 tu masih subur di sini....:)

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Waalaikumussalam.

Anak-anak kini mungkin tidak menggemarinya. Mereka ada banyak pilihan seperti keropok dengan segala macam jenisnya. Insya-Allah, kita manfaatkan senduduk, terutamanya senduduk putih.

Wassalam.

Unknown berkata...

Salam, saya sedang mencari pokok herba untuk dipilih sebagai bahan kajian bagi pembelajaran Msc saya di unimas. Antaranya pokok Jatropha curcas, pokok lada, dan pokok senduduk ini turut menarik perhatian saya. Apa yang dikaji mungkin secara mendalam iaitu potensinya sebagai anti-bacteria, anti-parasite, dan anti-helminth. Pokok ini, tidaklah susah didapati, namun so far ada banyak gunanya, cuma pernyataan yang ianya boleh mengubati luka itu adalah sedikit silap, kerana once kulit tercedera, platlet didalam darah, sistem antikogulant dan sebagainya akan bertindak automatik terhadap luka. Persoalannya, adakah pemberhentian darah luka disebabkan pokok senduduk itu atau tindakbalas sistem darah dan sistem imun untuk memberhentikan pendarahan.

Unknown berkata...

Saya mengalami kemalangan satu ketika dahulu, selepas SPM. Motosikal saya termasuk lobang dan nasibahnya muka saya telah tersembah/tersembam ke tepi jalan yang berbatu sehingga menyebabkan saya merasa batu jalan secara percuma (penuh dalam mulut), patah hidung, pengsan, dan calar balar pada muka akibat batu batu jalan. Petua lama diguna pakai, ibu saya menumbuk lumat, bunga, buah dan pucuk muda pokok senduduk unggu dan di jadikan seolah olah "Mask". Alhamdulillah almost 100% muka saya kembali seperti sedia kala tanpa ada tanda atau kesan calar atau kesan parut jelas dimuka saya dalam masa yang singkat.(100% menggunakan senduduk unggu 80% adalah daripada bahagian bunga) memang mengubati luka.