07 April 2011

PPSMI Dilanjutkan Hingga Tahun 2015 sebagai “Soft Landing”

Pada 21 Oktober 2009 akhbar Utusan Malaysia melaporkan bahawa dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) untuk murid tahun satu mungkin dipercepat setahun iaitu mulai 2011. Saya membaca berita itu dengan senang hati tetapi berhati-hati. Kemudian, saya menulis ulasan seperti yang di bawah:

Kita menyambut baik pengumuman ini. Malah, jikalau Tan Sri mengumumkan pemansuhan PPSMI bermula pada tahun 2010, kita akan menyambut pengumuman itu dengan perasaan yang lebih gembira dan senyuman yang meleret-leret. Apa-apa pun, selagi pengumuman itu belum menjadi kenyataan, sambutan kita terhadapnya wajarlah berpada-pada.

Pengumuman ini mengekalkan kejaguhan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Rekod cemerlang pelbagai pihak yang menggubal dan melaksanakan dasar PPSMI dalam masa yang singkat tetap menjadi kebanggaan Tun. Di bawah arahan Tun, ahli politik dan pengurusan tertinggi perkhidmatan pendidikan berjaya bekerja hampir menyamai mesin. Pendeknya, Tun tetap menjadi guru Tan Sri.

Apa-apa pun, perancangan strategik perlu melalui pelbagai peringkat. Perancangan yang teliti menatijahkan pelaksanaan yang lancar dan berkesan. Ini harapan kita. Yang penting, tiada siapa yang akan menjadi yu kia-kia, kepala yu, ekor pari. Ini pendirian kita. Usaha yang baik, walaupun memakan masa untuk menjadi kenyataan, tetap kita alu-alukan dan kita hargai.

Tahun ini ialah tahun 2011. Benarkah pemansuhan PPSMI sudah dipercepat?

Pada 11 Mac 2011, akhbar The Star Online menjawab pertanyaan ini. Dalam berita “Muhyiddin: Soft Landing Approach to PPSMI Policy Change”, akhbar itu melaporkan bahawa PPSMI dilanjutkan sehingga tahun 2015!

Pensyarah Bahasa Melayu, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Puan Marniyati Mohd. Nor, mengulas perkara ini dalam blognya. Antara lain beliau menulis, “Skrip ini sudah dijangka sejak awal lagi. Terima kasih kepada Datuk Menteri kerana sudi mengingatkan kami bahawa kata-kata Datuk Menteri sudah tidak boleh dipegang lagi.”

Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China di Beijing, Profesor Dr. Haji Awang Sariyan juga menyatakan pendiriannya tentang perkara ini. Dalam blog Kembara Bahasa, antara lain beliau menulis:

“Kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan, tidak sewajarnya berganjak daripada keputusan yang telah diambil pada tahun 2009 untuk memansuhkan PPSMI dan mengembalikan martabat serta peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan, seperti yang telah diasaskan oleh Jawatankuasa Razak 1956 dan kemudian menjadi undang-undang negara dalam Akta Pelajaran 1961, dan seterusnya dalam pindaan Akta Pendidikan 1996.”

Saya sudah menyatakan pendirian saya tentang perkara ini dalam ruangan ulasan blog Puan Marni. Saya menulis, “Ketidakpercayaan saya kepada mereka semakin kental. Insya-Allah, saya akan bersama-sama para guru kita, rakan-rakan dan pencinta bahasa kebangsaan untuk turun ‘bertempur’.”

Saya juga menyatakan pendirian dalam ruangan ulasan Facebook Kembara Bahasa. Saya menulis, “Kita tentang dengan upaya yang ada. GMP atau yang seumpamanya wajar kembali menyatukan kita. Kelompok yu kia-kia itu perlu diakuariumkan.

Akhirnya saya petik peringatan Kembara Bahasa dalam Facebook beliau: “Perjuangan perlu terus dihangatkan. Gunakan blog dan laman Facebook masing-masing untuk menyatakan sikap agar KPM tidak terpengaruh oleh kumpulan seperti PAGE dll. yang terus menghasut KPM agar PPSMI versi baharu dilaksanakan.”

Lampiran I
Pemansuhan PPSMI Mungkin 2011
Utusan Malaysia, 21 Oktober 2009

KUALA LUMPUR 20 Okt. - Pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) untuk murid tahun satu mungkin *dipercepatkan setahun iaitu mulai 2011.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun berkata, keputusan itu bergantung *kepada persediaan melaksanakan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan *Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi menggantikan PPSMI yang dijadual bermula 2012.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah menyegerakan pemansuhan PPSMI itu hanya dapat dilaksanakan jika keperluan pengajaran dan pembelajaran bagi pelaksanaan MBMMBI siap sebelum akhir 2010.

"Kementerian sedang meneliti kemungkinan melaksanakannya (MBMMBI) mulai 2011 bagi murid tahun satu.

"Namun *ia bergantung sama ada bilangan guru mencukupi, kesediaan kurikulum baru dan buku teks untuk mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris dapat disiapkan sebelum akhir 2010," katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd. Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) mengenai rasional kerajaan menunggu sehingga 2012 untuk memansuhkan PPSMI pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Timbalan Perdana Menteri menjelaskan pemansuhan PPSMI bagi murid tahun empat, tingkatan satu dan tingkatan empat pula kekal pada 2012 bagi membolehkan kementerian membuat persiapan rapi sebelum memulakan MBMMBI.

Menjawab soalan tambahan Mohd. Nor, Muhyiddin menegaskan, keputusan memansuhkan PPSMI adalah muktamad dan kerajaan tidak akan kembali meneruskan dasar berkenaan.

Beliau berkata, komitmen kerajaan yang bersetuju supaya PPSMI dimansuhkan tidak perlu diragui semua pihak walaupun ia hanya akan berkuat kuasa mulai tahun 2012.

"Ini adalah keputusan yang muktamad. Jadi apa pun keadaan kita telah menyatakan kesediaan untuk tidak kembali kepada dasar lama iaitu meneruskan PPSMI.

"Segala persiapan telah mula dilakukan mulai sekarang dan saya beri jaminan walaupun PPSMI hanya akan dimansuhkan mulai 2012, insya-Allah ia akan dapat dilaksanakan dengan jayanya," katanya.

Muhyiddin berkata, tempoh tersebut ditetapkan kerana kerajaan memerlukan masa untuk membuat semua persiapan sebelum MBMMBI dilaksanakan.

Jelasnya, persiapan itu penting kerana kerajaan telah belajar daripada pengalaman lalu apabila tempoh terlalu singkat iaitu hanya enam bulan sebelum melaksanakan PPSMI menyebabkan pelbagai masalah timbul.

"Dasar baru ini memerlukan kita menyediakan 13,000 guru termasuk sekurang-kurangnya 1,000 guru Bahasa Inggeris baru yang mahir," katanya.

Dalam pada itu, menjawab soalan Azmin Ali (PKR-Gombak) mengenai pengaruh Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam keputusan kerajaan, Muhyiddin menjelaskan, bekas Perdana Menteri itu memahami keputusan yang dibuat oleh kepimpinan sekarang.

Jelasnya, walaupun Dr. Mahathir tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI tetapi penentangan bekas Perdana Menteri itu tidak terlalu keras.

Lampiran II
Muhyiddin: Soft Landing Approach to PPSMI Policy Change
The Star Online, 11 Mac 2011

SCIENCE and mathematics will continue to be taught in both English and Bahasa Malaysia until 2015, when the final batch of students involved in the PPSMI (teaching of science and mathematics in English) programme complete their secondary education.

Deputy Prime Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin said this approach would ensure academic achievements were not jeopardised.

He said the Education Ministry was mindful of the implications of the PPSMI policy change, especially for students who had been taught in both languages since 2003.

“This is why we have decided to take a ‘soft landing’ approach,” Muhyiddin, who is Education Minister, told Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas).

In another development, Deputy Education Minister Datuk Dr Wee Ka Siong said the ministry was helping untrained attachment teachers to become trained teachers.

“Those with teaching experience are much valued and we will find the best way to help them continue their education,” he told Khairy Jamaluddin (BN-Rembau).

Dr Wee said the ministry was handling as many as 65,000 course application requests.

He added that about 17,000 trained attachment teachers have been selected to fill the vacant teaching posts in schools across the country.

2 ulasan:

HBM Consultant berkata...

Assalamualaikum, Tuan.

Tersayat rasa hati setiap kali membaca isu PPSMI akhir-akhir ini. Jikalau kata-kata pemimpin yang disifatkan sebagai payung itu sudah tidak boleh dipegang lagi, kepada siapa pula rakyat boleh bernaung selepas ini? Memang pemimpin kita memerlukan 'soft landing' gara-gara sudah terlalu lama berada di atas, terlalu lama berkuasa sehingga terlupa meletakkan hak pada tempatnya...

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Waalaikumussalam, Puan Marni.

Saya juga begitu. Mujurlah usia “menasihati” saya supaya jangan menjerit. Sebagai melepaskan rasa terkilan, saya ulangi sahaja ungkapan "peludah bahasa" dan "memperkosa akta sendiri" ciptaan Sasterawan Negara. Di samping itu saya ulangi ungkapan yang pernah saya utarakan "yu kia-kita, kepala yu ekor pari". Ungkapan "pagar makan padi" elok juga dipopularkan agar rakyat, khususnya ilmuwan dan generasi muda, mencabut "pagar" itu. Maafkan saya sekiranya masih dianggap sebagai terkasar bahasa.

Wallahuaklam. Wassalam.