30 April 2011

Sedutan/Ringkasan Tazkirah oleh Ustaz Shamsul Firdaus

Pada 29 April 2011, Ustaz Shamsul Firdaus menyampaikan tazkirah di Masjid Amru Ibni Al-As, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur. Beliau menyampaikan tazkirah itu kepada Datuk Shazryl Eskay Abdullah, Tan Sri Rahim Thamby Chik dan Datuk Shuib Lazim. Hadirin di masjid itu turut mendengar tazkirah beliau.

Tazkirah yang di bawah ini berupa sedutan dan ringkasan. Pertuturan ustaz saya olah dengan gaya bahasa baku. Transkripsi penuh tazkirah asal dengan berdasarkan gaya bahasa lisan terdapat di sini. Video tazkirah itu di sini.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saya difahamkan, sebelum solat ‘Asar petang ini, saudara bertiga hendak melafazkan sumpah. Saya mengingatkan saudara bahawa proses ini tiada dalam hukum syarak. Proses sumpah untuk menuduh seorang berzina membabitkan suami isteri sahaja. Hal ini terdapat dalam al-Quran, iaitu ayat keenam hingga ayat kesembilan surah An-Nur.

Ayat keempat surah An-Nur menyatakan bahawa orang yang menuduh seseorang itu berzina hendaklah disebat sebanyak 80 sebatan dan dia menjadi orang fasiq.

Antara implikasi fasiq ialah kesaksian orang itu tidak diterima. Dia tidak boleh menjadi wali kepada anak perempuan, adik perempuan dan sesiapa yang di bawah perwaliannya. Jikalau dilakukan juga, pernikahan itu tidak sah.

Dalam ayat ketiga belas surah yang sama, al-Quran Allah Ta’ala menyatakan, sekiranya tidak mendatangkan empat orang saksi yang layak dan cukup syaratnya, maka orang itu dianggap pendusta.

Saudara boleh memilih untuk tidak melafazkan sumpah. Jikalau saudara hendak melafazkan sumpah juga, hal itu ialah pilihan saudara bertiga.

Hari ini saudara tidak bersaksikan apa-apa, sekadar bersumpah. Lafaz sumpah tidak menjadi sabitan kepada dakwaan yang dinyatakan.

Wallahuaklam.

Lampiran I

Terjemahan Surah Al-Nur, Ayat 4 - 13

4 Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka itu adalah orang-orang yang fasiq;

5 kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu (dari kesalahannya yang tersebut) serta membaiki amalannya, maka sesungguhnya Allah amat pengampun, lagi amat mengasihani.

6 Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (yang sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar.

7 Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika adalah ia dari orang-orang yang dusta.

8 Dan bagi menghindarkan hukuman seksa dari isteri (yang kena tuduh) itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa suaminya (yang menuduh) itu sesungguhnya adalah dari orang-orang yang berdusta.

9 Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya adalah dari orang-orang yang benar.

10 Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu, juga (kalaulah tidak kerana) bahawa Allah amat menerima taubat, lagi amat bijaksana, (tentulah kamu akan mengalami kesusahan yang sukar diatasi).

11 Sesungguhnya orang-orang yang membawa datangnya berita yang amat dusta itu (1110) ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukan itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat kelak). (1111)

12 Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri (1112), dan berkata: “Ini ialah tuduhan dusta yang nyata.”

13 Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu! Oleh sebab mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta.

Nota Kaki

1110 Dalam ayat ini dan ayat-ayat yang berikutnya, Allah Ta’ala menerangkan dustanya orang-orang yang menuduh Ummul Mukminin Saidatina Aisyah radiallahu anhuma berlaku sumbang, lalu ditegaskan bahawa tuduhan palsu itu berpunca daripada ketua kaum munafik di Madinah, tidak akan dapat memburukkan nama baik isteri Nabi yang bersih suci, bahkan sebaliknya mendatangkan kebaikan iaitu pahala yang besar kerana bersabar mengenainya, dan memberikan penghormatan serta kemuliaan kerana Allah Ta’ala membersihkan nama baiknya dan keluarganya serta suaminya, Rasulullah Sallallahualaihiwasallam, dalam beberapa ayat suci yang kekal dibaca turun-temurun dalam al-Quran al-Karim.

1111 Yakni orang-orang Islam yang terpengaruh dengan tuduhan palsu itu dan turut menghebahkannya, masing-masing akan menerima hukuman di dunia; manakala ketua kaum munafik yang menjadi punca tuduhan palsu itu akan menerima kehinaan di dunia dan azab seksa yang besar di akhirat kelak.

1112 Yakni sepatutnya orang-orang yang beriman, apabila mendengar sesuatu berita yang memburukkan nama baik saudaranya orang-orang Islam, tidak terburu-buru mempercayainya bahkan hendaklah menaruh perasaan baik sangka terhadap mereka, sambil menolak tuduhan yang tidak berasas itu.

Sumber: Tafsir Pimpinan Al-Rahman kepada Pengertian al-Quran, Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, 1988.

Tiada ulasan: