30 April 2011

Transkripsi Tazkirah oleh Ustaz Shamsul Firdaus


Pada 29 April 2011, Ustaz Shamsul Firdaus menyampaikan tazkirah di Masjid Amru Ibni Al-As, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur. Beliau menyampaikan tazkirah itu kepada Datuk Shazryl Eskay Abdullah, Tan Sri Rahim Thamby Chik dan Datuk Shuib Lazim. Hadirin di masjid itu turut mendengar tazkirah beliau.

Video tazkirah itu di sini. Edisi sedutan/ringkas tazkirah beliau di sini.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Jadi, saya difahamkan, petang ini sebelum solat ‘Asar, saudara bertiga hendak melakukan satu sumpah. Jadi, saya peringatkan bahawa proses ini sebenarnya tidak ada dalam hukum syarak. Proses sumpah untuk menuduh seorang berzina hanya membabitkan suami isteri sahaja.

Yang saudara pegang al-Quran itu (boleh buka dalam ayat keenam hingga ayat kesembilan surah An-Nur); begitu juga, sepertimana yang dinyatakan oleh Allah Subhanahuwataala (saudara pegang al-Quran terbalik).

Jadi apa yang dinyatakan ialah pada ayat yang keempat dari surah An-Nur dalam al-Quran juga bahawa orang-orang menuduh seseorang itu berzina (walaupun ayat-ayat itu menyatakan sebagai wanita-wanita terpelihara [tetapi] termasuk juga golongan-golongan manusia yang lain), maka, kalau mengikut syariat Islam hendaklah disebat sebanyak 80 sebatan dan kesaksian itu tidak diterima (ya) dan menjadilah kita orang yang fasiq.

Dan kefasiqan ini mempunyai satu implikasi yang cukup tinggi.

Di antaranya ialah kesaksian tidak diterima. Kemudian, kita menjadi wali kepada anak perempuan kita, adik perempuan kita dan (se)siapa yang di bawah perwalian kita, juga pernikahannya itu tidak sah dan lain-lain lagi.

Maka begitu juga dalam ayat ketiga belas surah An-Nur dalam al-Quran (nampak al-Quran itu dipegang) Allah Ta’ala menyatakan, sekiranya tidak mendatangkan empat orang saksi, yang layak, yang cukup syaratnya, ia adalah dikira sebagai pendusta di sisi Allah Subhanahuwataala.

Maka saya beri pilihan, (sebagai tanggungjawab saya sebagai seorang muslim) memberitahu kepada saudara bertiga bahawa ini tidak mengikut syariat Islam tetapi kalau saudara teruskan itu adalah pilihan saudara bertiga dan ianya adalah sesuatu yang tertanggung sehingga hari pembalasan kelak, insya-Allah; ya, sesuatu merupakan satu bentuk kebertanggungjawaban dan berbagai-(bagai) perkara lagilah.

Ingatlah, sekiranya kita menerima habuan dunia daripada sesiapa juga pun maka habuan itu tidak akan menyamai seluruh apa yang ada di atas dunia dan di akhirat kelak. Maka itulah yang saya rasakan.

Dan hari ini saudara tidak bersaksikan apa-apa, sekadar bersumpah, dan ini tidak menjadi sabitan kepada dakwaan yang dinyatakan. Jadi, itulah yang dapat saya sampaikan.

Oleh kerana solat ‘Asar tak lama lagi, ya dalam empat setengah azan masuk. Saya sudah tunaikan tanggungjawab saya berasaskan kepada apa yang disebut oleh Nabi Muhammad sallallahualaihi wassalam ballighuni walau ayah sampaikan daripada aku walaupun satu ayat. Maka bagaimana kaedah, kaedah-kedah yang disebut bersumpah, maka ini adalah sesuatu yang mesti mengikut sesuatu apa yang disarankan oleh Nabi kita Muhammad sallallahualaihi wassalam.

Kita kena ingat bahawa agama adalah kefahaman, bukan berasaskan teori, bukan berasaskan sangkaan dan tuduhan-tuduhan yang membabitkan maruah; ini adalah sesuatu yang cukup serius.

Jadi, ini adalah satu proses kebertanggungjawaban kerana kita lebih takutkan Allah Ta’ala daripada kita takutkanx manusia. Yang beri rezeki kepada kita juga Allah Ta’ala, bukan manusia yang menentukan rezeki yang diberikan kepada kita.

Jadi kita faham dan inilah apa yang dapat saya sampaikan kepada saudara bertiga.

Wallahuaklam.

Tiada ulasan: