20 Ogos 2011

Roh, Rohaniah, Ruhulkudus: Lidah Arab atau Melayu?


Selepas setiap empat rakaat bertarawih, dalam tasbih beramai-ramai kita menyebut perkataan “ruhulkudus”. Perkataan ini terdiri daripada dua patah kata, iaitu “ruh” dan “kudus”. Dalam al-Quran perkataan ini terdapat dalam surah al-Baqarah (ayat 87 dan 253) dan surah al-Maidah (ayat 110).

Sebagai contoh, lihat firman Allah, maksudnya, “Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kitab (Taurat) kepada Musa dan Kami ikuti kemudiannya dengan beberapa rasul; dan Kami berikan kepada Isa anak Maryam beberapa keterangan, (bahawa ia menjadi rasul) dan Kami teguhkan kebenarannya dengan roh suci (Jibril). …” Al-Baqarah: 87.

Umumnya, mulai malam keenam belas Ramadan, kita mendengar imam menyebut perkataan “roh” sekurang-kurangnya empat kali. Perkataan itu terdapat dalam ayat keempat surah al-Qadr, maksudnya, “Pada malam itu turun para malaikat dan roh (Jibril) dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlaku pada tahun yang berikut).

Sebutan perkataan “roh” dalam tasbih kita, dalam perkataan “ruhulkudus” dan dalam surah al-Qadr ialah [ruh]. Ini ialah sebutan asal bahasa Arab. Sebutan ini biasa juga dinamakan sebutan lidah Arab.

Kita perhatikan ejaan dan transkripsi sebutan dalam buku Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan- Jawi Edisi Kedua (DKBM) seperti yang di bawah.


Vokal bagi sebutan perkataan 1 – 4 ialah [o]. Oleh sebab ejaan berasaskan sebutan, maka vokal dalam ejaannya juga ialah “o”. Ini sebutan lidah Melayu dan ini juga ejaan baku bahasa Melayu.

Vokal bagi sebutan perkataan “roh” dalam “ruhulkudus” ialah [u]. Bagi “kudus”, konsonan [q] digunakan, bukan konsonan [k]. Ini sebutan lidah Arab. Ejaannya ialah kacukan Arab-Melayu. Vokal “u” dalam “roh" ialah unsur Arab. Konsonan “k” dalam “kudus” ialah unsur Melayu.

Dari segi sebutan, pengguna bahasa kita membunyikan [o] apabila menyebut perkataan “roh”, “rohani” dan terbitan yang lain. Mereka membunyikan [u] dan [q] apabila menyebut perkataan “ruhulkudus”. Saya belum mendengar pengguna bahasa kita menyebut [ruh], [ruhani] dan [roholkudus]. Demikian juga halnya apabila mereka menulis. Mereka menggunakan ejaan “roh”, “rohani” dan “ruhulkudus”.

Ada seorang dua guru bahasa Melayu menggunakan ejaan “ruh” dan “ruhani” dalam penulisan di blog dan buku wajah. Ini ialah variasi ejaan dan perbincangan tadi menunjukkan variasi ejaan ini menepati sebutan bahasa sumber, iaitu bahasa Arab.

Ada banyak perkataan (ejaan) lain yang menepati sebutan bahasa sumber. Antara perkataan itu termasuklah Ramadhan (Ramadan), redha (reda), kadhi (kadi), al-Quran (al-Quran), dawah (dakwah), hadith (hadis) dan wallahualam (wallahuaklam). Ejaan dalam kurungan ialah ejaan baku.

Perbincangan ini menunjukkan bahawa beberapa aspek ejaan Rumi kita perlu disemak semula. Pada masa ini dan selagi peraturan yang sedia ada masih belum disemak dan belum dipinda, guru dan pelajar bahasa Melayu wajar terus menggunakan ejaan baku, khususnya yang terdapat dalam DKBM.

Wallahuaklam.

Tiada ulasan: