19 Ogos 2011

Penulisan Huruf: Bahasa Melayu

MENURUT Kamus Dewan Edisi Keempat, “Melayu” ialah nama bangsa dan bahasa. Demikian juga halnya dengan “Arab”, “Inggeris”, “Perancis” dan sebagainya. Orang Indonesia pula menganggap mereka sebagai bangsa Indonesia dan bahasa mereka sebagai bahasa Indonesia. “Indonesia” itu bangsa dan bahasa juga.

Jadi “Melayu”, “Arab”, “Inggeris” dan “Indonesia” ialah bangsa dan bahasa. Begitu juga Jepun, Korea, Perancis, Jerman, Belanda dan lain-lain. Walau bagaimanapun, generalisasi ini tidak sesuai untuk beberapa negara seperti Singapura.

Perkataan “Melayu”, “Arab”, “Inggeris”, “Indonesia” dan sebagainya itu ialah nama khas yang istimewa kerana merujuki lebih satu makna. Jadi, semasa berkomunikasi kita menggabungkan perkataan lain dengan nama khas itu agar maknanya jelas. Sebagai contoh, terbitlah ungkapan bangsa Melayu, bahasa Melayu, kesusasteraan Melayu, adat Melayu, anak Melayu, lelaki Melayu, wanita Melayu, pahlawan Melayu, sekolah Melayu, baju Melayu, kuih Melayu, filem Melayu, lagu Melayu dan tarian Melayu.

Pengguna bahasa kita cenderung menggunakan huruf besar seperti dalam ayat “Orang Jepun itu fasih bertutur *Bahasa Melayu”. Mungkin mereka beranggapan bahawa ungkapan ini berpola nama khas + nama khas. Peliknya, mereka tidak pula menggunakan huruf besar di awal perkataan pertama ungkapan “bangsa Melayu”, "orang Melyu", "kuih Melayu" dan lain-lain.

Walau bagaimanapun, huruf pertama perkataan-perkataan contoh yang di atas perlu ditulis dengan huruf besar berdasarkan peraturan tertentu seperti penulisan ayat, pantun, senarai dan tajuk. Sebagai contoh, apabila ungkapan itu menjadi tajuk seperti tajuk buku, bab buku, filem, lagu, kurikulum sekolah, kursus di institut pendidikan guru (IPG), program di universiti dan sebagainya, setiap huruf pertamanya hendaklah ditulis dengan huruf besar, kecuali kata sendi dan kata hubung. Contohnya Ensiklopedia Bahasa Melayu (buku), Sejarah Ringkas Bahasa Melayu (bab dalam buku), Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia, Literasi Bahasa Melayu (kurikulum IPG) dan Bahasa Melayu Kontekstual (kurikulum IPG). Klik Penggunaan Huruf dalam Tajuk.

Mudah-mudahan perbincangan ringkas ini ada manfaatnya. Jikalau kita pernah melakukan kesilapan, diharap perbincangan ini dapat membantu kita membetulkan kesilapan itu.

Wallahuaklam.

Tiada ulasan: