15 September 2011

Cuti Umum Hari Malaysia Gimik Anwar – Profesor

Perbincangan di Facebook.

Pada 2 September 2008 Prof. Datuk Dr. Zainal Kling berkata, cuti umum Hari Malaysia ialah taktik pembangkang untuk meraih sokongan rakyat. Cuti itu tidak perlu kerana boleh menjejaskan produktiviti.

Prof. Mohamed Mustafa Ishak dari Universiti Utara Malaysia pula menyifatkan cadangan Anwar itu sebagai gimik daripada seorang ahli politik yang ketandusan idea dan bertujuan mengalih perhatian daripada isu-isu besar.

Laporan penuh diberikan dalam lampiran A.


Lampiran AAhli Akademik Anggap Cadangan Anwar Tidak RelevanArkib Utusan Online, 3 September 2008

KUALA LUMPUR 2 Sept. - Cadangan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya 16 September diisytiharkan cuti umum tidak relevan kerana *ia bermotifkan politik.

Penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling berkata, cuti umum itu tidak perlu kerana selain boleh menjejaskan produktiviti ia merupakan taktik pembangkang untuk meraih sokongan rakyat.

Katanya, jika Anwar cuba “menanam” nilai-nilai patriotik menerusi cadangan itu, *ia tidak membawa makna kerana tarikh sambutan Hari Kebangsaan yang bermula 31 Ogos sehingga 16 September setiap tahun sudah memadai untuk tujuan tersebut.

''Dalam tempoh itu, secara tidak langsung kita telah merayakan sambutan ulang tahun penubuhan Malaysia, namun *ia tidak bermakna kita perlu cuti lagi. Setiap negeri telah ada cuti umum masing-masing, untuk apa ditambah lagi,'' katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas cadangan Anwar supaya lima negeri yang dikuasai oleh pembangkang mengisytiharkan cuti umum pada 16 September.

Sementara itu, Prof. Mohamed Mustafa Ishak dari Universiti Utara Malaysia (UUM) menyifatkan cadangan Anwar itu sebagai gimik daripada seorang ahli politik yang ketandusan idea dan bertujuan mengalih perhatian daripada isu-isu besar.

Menurutnya, tiada apa signifikan sama ada 16 September diisytiharkan cuti umum atau tidak.

''Apakah kalau cuti, kita lebih patriotik? Tiada asas untuk kata, tidak cuti tidak patriotik. Ini lebih kepada gimik politik oleh ahli politik yang bankrap idea seperti Anwar.

"Ini bukan idea baru, beberapa pihak ada usulkan sebelum ini. Sudah 45 tahun Malaysia terbentuk, baru sekarang nak timbul soal cuti," katanya.

Mohamed Mustafa berkata, Malaysia menyambut merdeka pada 31 Ogos setiap tahun, oleh itu, ia sudah memadai dan tidak perlu lagi tarikh lain bagi tujuan berkenaan.

''Mana ada negara dalam dunia sambut merdeka pada dua tarikh berbeza. Kita boleh satukan dua peristiwa ini iaitu merdeka pada 31 Ogos dan penubuhan Malaysia pada 16 September dalam satu sambutan dan satu cuti. 16 September boleh dijadikan kemuncak sambutan seperti sekarang, tiada masalah pun," katanya.

Ketika diminta mengulas tindakan Anwar yang turut menguar-uarkan penubuhan kerajaan baru pada 16 September ini, Mohamed Mustafa menegaskan, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu melaksanakan pendekatan politik yang boleh menghancurkan negara.

''Kalau Anwar sudah mempunyai bilangan anggota Parlimen yang cukup untuk berpaling tadah dia tidak perlu tunggu tarikh berkenaan, dia boleh menubuhkan kerajaan lebih awal tetapi nampaknya dia sendiri belum pasti. Selain itu persoalan juga timbul apakah BN akan serah kuasa dengan begitu mudah dan tidak berbuat apa-apa," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan apa yang cuba dilakukan oleh Anwar pastinya akan membawa implikasi perpecahan politik yang mampu menggugat kestabilan negara.

''Kita di ambang ketidakstabilan politik, apakah ini yang rakyat mahu? Apakah Anwar dapat menjamin kerajaan begini boleh bertahan lama, tidakkah pihak lain akan cuba supaya mereka juga dapat membentuk kerajaan cara ini?

"Anwar sebenarnya sedang memulakan satu cara politik yang tidak sihat dan berisiko tinggi kepada masa depan negara. Negara boleh hancur. Ini bukan budaya politik matang yang kita *mahukan setelah 51 tahun merdeka.

"Mandat biar tulen barulah kerajaan boleh memerintah dengan berkeyakinan tanpa ragu-ragu akan tumbang bila-bila masa,'' katanya.

Sementara itu, ahli akademik, Abdul Hamid Yeop Zainudin berkata, cadangan Anwar itu jelas menunjukkan bahawa ia sebahagian daripada agenda politiknya dalam usaha meraih perhatian rakyat secara psikologi.

''Ini adalah perang psikologi yang cuba diterapkan oleh Anwar, tiada lain semata-mata untuk tujuan politik beliau,'' katanya.

Abdul Hamid yang merupakan bekas pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, tindakan Anwar itu juga amat berbahaya kerana ia boleh memecahbelahkan perpaduan kaum.

Tiada ulasan: