02 April 2012

Brunei Memartabatkan Tulisan Jawi


Gambar ini dikirim oleh Tuan Gazali Suhaili kepada Kumpulan Kembaran Bahasa pada hari ini, 1 April 2012. Menurut Tuan Gazali, Brunei memartabatkan aksara Jawi pada papan tanda, notis penerangan, tanda jalan dan sebagainya. Hal yang sangat menarik, nama orang dalam bahasa China dan perkataan Inggeris pun ditulis dengan tulisan Jawi.

Cikgu Nani Md Bakir pernah memberikan penjelasan ringkas tentang pelajaran Jawi di Brunei dalam satu jalur Facebook saya pada 21 Ogos 2011. Menurutnya, pelajaran Jawi adalah sebahagian daripada mata pelajaran bahasa Melayu. Beliau mengatakan, pelajar bukan Melayu juga menguasai bacaan dan tulisan Jawi. Hal itu berlaku kerana pelajaran Jawi diajarkan dari prasekolah sehingga Tahun 10.

Seterusnya Cikgu Nani menulis, “Di Brunei setiap papan tanda kedai masih menggunakan tulisan Jawi. Selain papan tanda, tanda-tanda jalan, tulisan pada kenderaan kerajaan atau kenderaan berat juga mempunyai tulisan Jawi di samping tulisan Rumi. Malahan pemakluman pada kain rentang juga ditulis dengan tulisan Jawi.”

Cikgu Nani mengatakan dahulu (semasa di Sabah) dia tidak menguasai tulisan Jawi. Apabila dia bertugas di Brunei, dia “kena belajar jua” (tulisan Jawi). Dia mengatakan, ada perbezaan antara sistem ejaan Jawi lama dengan ejaan Jawi baharu. Perbezaan itu menyebabkan dia berasa keliru.

Cikgu Nani menulis lagi, “Anak bongsu saya yang belajar di sekolah Cina mempunyai satu period khusus dalam seminggu untuk mata pelajaran ini. Anak-anak saya dapat membezakan ejaan lama dengan ejaan baharu Jawi kerana di sekolah agama, buku-buku rujukan menggunakan sistem ejaan lama dan lebih tepat ejaannya. Sekiranya ada ujian mengeja Jawi di sekolah biasa, mereka akan bertanya, cikgu, ejaan baru ke atau ejaan agama (lama)?” Cikgu Nani mengakhiri tulisannya dengan ikon senyuman “:-D”.

Tiada ulasan: