13 Jun 2012

Kisah di Pusat Dokumentasi Melayu: Mereka Memilih Laluan Sempit di Hadapan Saya


Pagi tadi saya ke Pusat Dokumentasi Melayu (PDM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur. Setelah memulangkan buku yang saya pinjam, saya naik ke tingkat atas untuk membaca majalah.

Di kiri dan kanan tangga ada laluan untuk ke ruang utama tingkat atas itu. Jikalau kita menghadap ke ruang utama, sudut majalah terkini itu terletak di sebelah laluan kanan. Sofa untuk pembaca menghadap laluan kanan itu. Laluan di hadapan sofa itu sempit. Saya duduk di atas sofa itu dan menyelak-nyelak beberapa buah majalah pilihan saya, termasuk majalah terbitan DBP Brunei.

Tiba-tiba beberapa orang pelajar berpakaian seragam bergegas di hadapan saya. Kaki mereka hampir menyentuh majalah yang sedang saya belek. Mereka ke ruang utama. Kulit mereka cerah. Mata mereka sepet. Mereka bercakap sesama sendiri. Mereka mencari sesuatu sambil merujuki sehelai kertas di tangan masing-masing. Pergerakan mereka seperti rusa masuk kampung. Sebentar kemudian mereka bergegas untuk turun. Mereka memilih laluan sempit di hadapan saya. Dengan badan yang tegak, orang kampung kata mereka “menonong”. Laluan kiri yang lebih luas sepi.

Saya mengingat-ingat. Antara hal yang terlintas dalam ingatan saya ialah teguran arwah ibu ketika saya kanak-kanak. Ibu marah sekiranya saya lalu di hadapan orang tua dengan badan yang tegak dan tanpa izin. Tidak mengapalah, kata hati saya. Bulan lalu saya “masih kecil” kerana, berdasarkan perbualan dengan penjual tiket komuter di Stesen Labu, saya “belum cukup umur” untuk mendapat keistimewaan separuh tambang. Jadi, ketika pelajar-pelajar itu bergegas dengan badan yang tegak di hadapan saya tadi, saya hanyalah seseorang yang berketayap dan “baru cukup umur”.

Saya berasa kurang selesa. Keinginan saya untuk berlama-lamaan di PDM kendur. Saya meninggalkan PDM dan bergerak ke Kedai Buku Koperasi DBP. Pada pukul 11.30 saya meninggalkan bangunan DBP. Apabila sampai di rumah, isteri saya bertanya sama ada jadi atau tidak saya ke Kuala Lumpur. Saya memberitahunya bahawa saya memang sudah ke DBP, Kuala Lumpur. Saya nyatakan juga bahawa saya pulang awal kerana berasa badan saya kurang cergas.

Dalam buku Kolum 1 (2009) oleh Zabidi Abas, terdapat bab yang bertajuk “Sapaan ‘Kamu’ Menyinggung Perasaan”. Pada suatu hari, penulis yang bertugas sebagai Pengarah DBP Cawangan Sabah (DBPCS) menerima panggilan telefon daripada seorang mahasiswa. “Esok kamu adakah?” tanya mahasiswa itu. Pengarah DBPCS itu berasa kurang senang kerana “dikamukan”. Apabila pertemuan itu berlaku, perlakuan mahasiswa itu dan rakan-rakannya tertib. Mereka menggunakan bahasa yang baik dan santun. Tuan Zabidi hairan. Rupa-rupanya sebelum mereka masuk ke pejabat beliau, ada pegawai di DBPCS sudah “memberikan kursus singkat” kepada mahasiswa-mahasiswa itu.

Saya berharap guru Bahasa Melayu pelajar-pelajar yang bergegas di hadapan saya itu bukan bekas pelajar saya di mana-mana institut pendidikan guru (IPG), khususnya IPG tempat saya pernah berkhidmat. Saya juga berharap pelajar-pelajar itu bukan pelajar tingkatan empat yang menjadi sampel kajian seorang karyawan DBP. Sebahagian daripada dapatan kajian itu saya catatkan dalam blog saya pada 11 Jun 2012. Catatan itu bertajuk “Kebanyakan Pelajar Tingkatan Empat Keturunan Cina Tidak Mencintai Bahasa Kebangsaan”.

Pada 30 Mac 2011, dalam blog saya, saya menyiarkan catatan “Maaf, Bah. Limpas Dulu, Ya.” Dalam catatan itu saya nukilkan kehalusan budi seorang pak cik di Sabah pada tahun tujuh puluhan. Dia mengucapkan ungkapan “limpas dulu” yang bermaksud “mohon izin untuk lalu atau mendahului” apabila lalu di sebelah saya. Di Sabah pada masa itu ungkapan “limpas dulu, bah” kerap digunakan apabila seorang lalu di hadapan atau di sebelah orang lain. Perbincangan menarik tentang hal ini terdapat di Facebook saya.

Demikianlah kisah di PDM yang saya alami pagi tadi. Kisah ini saya tujukan kepada sesiapa sahaja yang mencintai ketertiban perlakuan dan kesantunan berbahasa.

Tiada ulasan: