12 Jun 2012

Kolokium Za‘ba Pemikir Ulung (1): Sari Ucap Utama Menteri Besar dan Pidato Dr. Kamarudin Kachar

Pada 5 Jun 2012 berlangsung Kolokium “Za‘ba Pemikir Ulung” di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan, Seremban. Kolokium anjuran bersama Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan, dan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan itu dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan.

Teks ucap utama YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan bertajuk “Za‘ba Pemikir Ulung: Semangat dalam Pembinaan Negara Bangsa”. Teks ucapan setebal sebelas halaman dan diedarkan kepada hadirin itu menggalurkan riwayat hidup Za‘ba, karyanya, kegiatannya dan buah fikirannya. YAB Menteri Besar Negeri Sembilan berucap tanpa membaca teks itu.

Dalam teks ucap utama itu dinyatakan bahawa nama lengkap Za‘ba ialah Pendeta Tan Sri Dr. Zainal Abidin bin Ahmad. Dia lahir pada 16 September 1895 di Kampung Bukit Kerdas, Jempol, Batu Kikir, Negeri Sembilan. Ibunya, Intan Awaluddin berketurunan Minangkabau. Ayahnya berketurunan Bugis Linggi. Za‘ba bersekolah rendah di Sekolah Melayu Batu Kikir dan kemudian di Sekolah Melayu Linggi. Dia muncul sebagai pelajar terbaik Peperiksaan Darjah Lima. Selepas itu dia muncul pula sebagai pelajar terbaik peperiksaan “Scholarship Examination”. Pada tahun 1910 hingga 1915, dia belajar di St. Paul’s Institution, Seremban. Dia muncul sebagai anak Negeri Sembilan pertama yang memperoleh sijil Senior Cambridge.

Za‘ba terkenal sebagai penulis. Dia menghasilkan banyak rencana yang diterbitkan oleh akhbar dan majalah seperti Lembaga Melayu dan Majalah Guru. Sebagai penulis, sumbangannya yang terpenting ialah buku nahu Pelita Bahasa Melayu (1941, 1946, 1947). Fikirannya dalam buku ini menyebabkan dia digelar sebagai sarjana Melayu pertama yang menghasilkan huraian nahu bahasa Melayu yang lengkap dan mendalam. Antara karyanya yang lain termasuklah Rahsia Ejaan Jawi (1929), Falsafah Takdir (1932), Ilmu Mengarang Melayu (1934) dan Asuhan Budi Menerusi Islam (1958).

Pada tahun 1945 Za‘ba dilantik sebagai Yang Dipertua Persatuan Melayu Selangor. Dia ialah Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kongres Melayu Se-Malaya, 1 - 4 Mac 1946, yang kemudiannya melahirkan United Malay National Organization (UMNO). Pada tahun 1956, Za‘ba mengetuai Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga. Dalam kongres ini beliau dianugerahi gelaran Pendeta. Za‘ba meninggal di Petaling Jaya pada 23 Oktober 1973.

Selepas menyempurnakan majlis perasian kolokium, YAB Menteri Besar Negeri Sembilan menyampaikan anugerah Tokoh Budaya Negeri Sembilan kepada Kolonel Profesor Dato’ Dr. Kamarudin Kachar. Kolokium diteruskan dengan wacana yang berfokus pada tema “Za‘ba Pemikir Ulung”. Tiga orang tokoh akademik membentangkan hasil kajian dan renungan mereka. Kolonel Profesor Dato’ Dr. Kamarudin Kachar bercakap tentang “Pendeta Za‘ba: Pejuang dan Pembela Tulen Melayu serta Pencetus Kemerdekaan Negara”. Profesor Emeritus Dato' Dr. Asmah Haji Omar membentangkan kertas kajian yang bertajuk “Pemikiran Za‘ba: Agama, Pendidikan dan Politik”. Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr. Haji Awang Sariyan, membentangkan hasil penyelidikannya yang bertajuk “Za‘ba dalam Bidang Bahasa dan Persuratan: Sumbangan Pemikiran Za‘ba dalam Pelanjutan Tradisi Linguistik Melayu”.

Kolonel Profesor Dato’ Dr. Kamarudin Kachar dalam pidatonya menghuraikan beberapa aspek riwayat hidup Za‘ba. Beliau menyatakan, Za‘ba mula bersekolah di Sekolah Melayu Batu Kikir sesudah berusia 12 tahun, iaitu pada 30 Jun 1907. Kelewatan berlaku kerana sebelum itu tiada sekolah di kawasan itu. Za‘ba bersekolah bersama-sama 82 orang murid lain yang berusia antara enam hingga 15 tahun. Semua murid memulakan persekolahan dalam darjah satu, kecuali Za‘ba. Oleh sebab beliau sudah mampu membaca dan menulis Jawi dan Rumi, dan dapat membuat kira-kira, dia diletakkan dalam darjah tiga.

Kolonel Profesor Dato’ Dr. Kamarudin Kachar juga menyorot keistimewaan Za‘ba sebagai anak kampung yang mempunyai otak yang bergeliga pada kurun ke-19, kerjayanya sebagai guru yang bermula pada tahun 1916 dan upaya penulisannya yang bermula pada tahun yang sama dengan nama pena Patriot. Banyak lagi liku hidup dan perjuangan Za‘ba dibutirkannya dengan suara yang lantang dan gaya pidato yang sungguh mengesankan. Antara kata yang diucapkannya dengan penuh semangat termasuklah, “Za‘ba orang pertama yang sedar akibat buruk Malayan Union. Za‘ba menganjurkan Kongres Melayu Pertama yang menentang Malayan Union. Za‘ba bersemangat patriotik dan berani. Semangat juang Za‘ba patut tersemat dan berkembang dalam sanubari setiap orang Melayu!”

Kolonel Profesor Dato’ Dr. Kamarudin Kachar berpesan kepada generasi muda agar mengikut jejak Za‘ba. Beliau menggesa generasi muda memahami dan menghayati kecemerlangan peribadi, ketajaman pemikiran, kesungguhan dan keberanian Za‘ba. Perkara lain yang perlu dicontohi ialah kegemaran Za‘ba membaca, menulis dan mengarang; ketabahan hatinya, kekukuhan semangat patriotiknya dan kekentalan perjuangannya.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Dia lahir pada 16 September 1985?

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Pembacaan teliti tuan saya hargai. Terima kasih, tuan. Kesilapan sudah dibetulkan. Wassalam.

Tanpa Nama berkata...

tidak mengapa tuan, saya cuma terkejut sebab sama dengan tahun kelahiran saya.