11 Jun 2012

Kebanyakan Pelajar Tingkatan Empat Keturunan Cina Tidak Mencintai Bahasa Kebangsaan


Kebanyakan pelajar tingkatan empat keturunan Cina di negara kita bersikap negatif terhadap bahasa Melayu. Mereka dapat dianggap sebagai tidak mencintai bahasa kebangsaan. Ini adalah antara dapatan kajian Dr. Junaini binti Kasdan dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang bertajuk “Pengaruh Sosiokognitif Remaja terhadap Penguasaan Bahasa Melayu”.

Dr. Junaini membentangkan laporan kajian itu dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-35 Persatuan Linguistik Malaysia, di Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik, Universiti Kebangsaan Malaysia, pada 1 Jun 2012. Kajian itu melibatkan 1,523 orang pelajar tingkatan empat di lima buah negeri, iaitu Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.

Dapatan kajian itu menunjukkan 69.9 peratus pelajar tingkatan empat keturunan Cina mempunyai sikap yang negatif terhadap bahasa Melayu. Pelajar tingkatan empat keturunan Cina yang memperlihatkan “kecintaan yang rendah” terhadap bahasa kebangsaan pula ialah 72.1 peratus. Kedua-dua dapatan itu menggambarkan bahawa mereka “tidak mencintai bahasa kebangsaan”. Secara purata, jumlah pelajar tingkatan empat keturunan Cina yang tidak mencintai bahasa kebangsaan berdasarkan sampel kajian itu ialah 71 peratus.

Gambaran dapatan kajian ini mungkin tidak tepat kerana sampelnya sedikit dan pelajar tingkatan empat itu mewakili lima buah negeri sahaja. Peratusan itu dijangka menurun jikalau Terengganu dimasukkan dan Sarawak dikeluarkan. Jikalau sampel ialah pelajar tingkatan empat di Kota Bharu, Alor Setar, Kuala Terengganu, Kangar dan Melaka, peratusan itu juga dijangka menurun. Sebaliknya peratusan itu mungkin meningkat sekiranya sampel itu dari negeri Selangor, Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Sarawak. Jikalau sampel ialah pelajar tingkatan empat di Pulau Pinang, Ipoh, Seremban, Kucing dan Kota Kinabalu, peratusan itu dijangka naik mencanak.

Apa-apa pun, dapatan kajian ini wajar menjadi bahan renungan kita dan asas untuk kajian yang lebih menyeluruh. Hal ini dikatakan demikian kerana semua warganegara Malaysia semestinya menguasai dan mencintai bahasa kebangsaan. Terlalu banyak usaha yang sudah dilakukan oleh pelbagai pihak yang bertujuan mempermudah pelajar, termasuk pelajar tingkatan empat keturunan Cina, agar menguasai dan mencintai bahasa kebangsaan. Usaha itu termasuklah kegiatan “Cintailah Bahasa Kita” dan “Bulan Bahasa Kebangsaan” kelolaan DBP. Sesudah lebih setengah abad merdeka, tentulah tidak wajar sekiranya masih ada pelajar tingkatan empat yang dilahirkan dan dibesarkan di negara tercinta ini memandang remeh bahasa kebangsaan negara mereka.

Saya tidak terkejut apabila Dr. Junaini mendedahkan dapatan kajiannya. Sebaliknya saya terus teringat akan “Bingkisan Editor” majalah Pelita Bahasa, Oktober 2009. Pengarang Pelita Bahasa pada masa itu, Armin Azhari Saleh menulis, “Setelah 52 tahun merdeka, yang didapati ialah bahawa masih ada rakyat negara ini yang tidak mampu menggunakan bahasa kebangsaan yang betul, baik lisan mahupun tulisan. Yang lebih mendukacitakan ialah ada rakyat yang tidak dapat bertutur dalam bahasa kebangsaan. Keadaan di Tronoh dan Pulau Ketam membuktikan hal tersebut. Keadaan tersebut seolah-olah memberikan gambaran bahawa gerakan mendaulatkan bahasa kebangsaan tidak mendatangkan hasil seperti yang dikehendaki.”

Dapatan kajian Dr. Junaini banyak. Ada dapatan menunjukkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar tingkatan empat tanpa mengira kaum dapat ditakrifkan baik atau menggembirakan. Namun dapatan yang kelihatan lebih menonjol pada pandangan saya ialah hal yang menyedihkan. Selain keadaan kecintaan pelajar tingkatan empat keturunan Cina yang nyata menyedihkan, secara keseluruhan, kecintaan pelajar tingkatan empat (tanpa mengira kaum) juga menyedihkan.

Secara keseluruhan, 21.7 peratus (315 orang) pelajar tingkatan empat di lima buah negeri itu mempunyai sikap yang negatif terhadap bahasa Melayu. Tiga butiran kajian membuktikan hal ini. Yang pertama, 15.3 peratus pelajar “tidak mengambil Bahasa Melayu sekiranya tidak diwajibkan”. Hal ini bermakna, sekiranya Bahasa Melayu bukan mata pelajaran wajib, 15.3 peratus pelajar tingkatan empat itu akan menggugurkan Bahasa Melayu daripada senarai mata pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia mereka. Yang kedua, 10.1% pelajar “tidak suka mempelajari Bahasa Melayu”. Yang ketiga, 7.7 peratus pelajar “tidak bangga untuk menguasai bahasa Melayu yang baik”.

Dapatan kajian ini wajar mendapat perhatian Kementerian Pelajaran Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka dan pelbagai pihak lain, termasuk tokoh dan pencinta bahasa Melayu. Berbagai-bagai tindakan yang berupa perawatan perlu diusahakan agar keadaan itu tidak menjadi lebih buruk. Tindakan jangka panjang yang mampu menghalang keadaan yang tidak diingini itu berterusan wajar dirancang dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

كتيادأن روح دالم بهاس ملايو، كڤنتيڠن دان سكوڤڽ يڠ ترحد، جوسترو كمباليله كڤد توليسن جاوي يڠ مان توليسن ايت ممڤو ممباوا ڤرانن يڠ لبيه بسر تراوتماڽ دالم ڤماهمن القرءان دان بهاس عرب اڤاته لاڬي دڠن كسنين توليسنڽ دالم كاليڬرافي، علمو القرءان جوڬ ممڤو مڠحاصيلكن ايديا بارو اونتوق سني دان كاريا كسوسسترأن، اين سوده تنتو مناريق مينت راماي انق مودا مندالمي بهاس ملايو


Ketiadaan roh dalam bahasa melayu, kepentingan dan skopnya yang terhad, justeru kembalilah kepada tulisan jawi yang mana tulisan itu mampu membawa peranan yang lebih besar terutamanya dalam pemahaman al-quran dan bahasa arab apatah lagi dengan kesenian tulisannya dalam kaligrafi, ilmu al-quran juga mampu menghasilkan idea baru untuk seni dan karya kesusasteraan, ini sudah tentu menarik minat ramai anak muda mendalami bahasa melayu.