16 Jun 2012

Kolokium Za‘ba Pemikir Ulung (3): Sari Pandangan Dr. Haji Awang Sariyan

Kolokium Za‘ba Pemikir Ulung (1):  Sari Ucap Utama Menteri Besar dan Pidato Dr. Kamarudin Kachar
Kolokium Za‘ba Pemikir Ulung (2)Sari Pandangan Profesor Emeritus Dato' Dr. Asmah Haji Omar

Pembicaraan Dr. Awang Haji Sariyan bertumpu pada usaha Za‘ba dalam bidang bahasa. Beliau menyatakan bahawa “Za‘balah yang meletakkan asas sistem bahasa Melayu baharu baik dalam bidang ejaan, tatabahasa Melayu mahupun retorik. Za‘balah yang menandai babak awal perkembangan ilmu bahasa atau linguistik Melayu baharu sejak tahun 1920-an, kira-kira satu dekad lebih awal daripada tokoh linguistik Amerika, iaitu Leornard Bloomfield yang baru muncul pada awal tahun 1930-an dengan linguistik strukturalnya.”

Za‘ba ialah perintis analisis sistem ejaan bahasa Melayu. Menurut Dr. Awang, Profesor Emeritus Dato' Dr. Asmah Haji Omar menunjukkan analisis ejaan Za‘ba itu berasaskan ilmu fonologi, iaitu kewujudan bunyi mendahului tulisan, huruf ialah lambang bunyi dan ada “hubungan antara fikiran dengan mekanisme bahasa”. Butiran hujah Profesor Emeritus Dato' Dr. Asmah itu terdapat dalam makalah yang bertajuk “Za‘ba dalam Linguistik: Satu Tinjauan mengenai Aspek Bahasa yang Diutarakannya”. Makalah itu termuat dalam buku Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (Esei-esei Penghormatan kepada Pendeta Za‘ba) terbitan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, tahun 1976. Dr. Awang juga menyatakan, analisis ejaan itu berasaskan fonetik kerana Za‘ba menggunakan istilah yang sesuai dengan fonetik. Antara istilah itu termasuklah huruf saksi (vokal), huruf benar (konsonan), bunyi kasar dan bunyi halus yang merupakan jenis vokal, bunyi berkait rapat (diftong) dan bunyi berkait renggang (vokal rangkap).

Dari segi tatabahasa, Za‘ba meletakkan asas golongan kata dan golongan ayat bahasa Melayu. Dia menggolongkan kata kepada lima golongan yang utama, iaitu nama, perbuatan, sifat, sendi dan seruan. Golongan utama itu dipecahkan kepada subgolongan. Contohnya, di bawah nama ada nama betul dan ganti nama. Di bawah setiap subgolongan itu ada pula pecahan seperti nama, am, nama neka dan nama khas. Perbuatan dipecahkan kepada perbuatan melampau dan perbuatan tidak melampau. Istilah kita kini bagi perbuatan melampau ialah kata kerja transitif dan perbuatan tidak melampau ialah kata kerja tidak transitif. Selain itu, Za‘ba menyatakan ada perbuatan dapat menduduki fungsi nama. Perbuatan itu dinamakan perbuatan nama dan nama perbuatan.

Za‘ba membahagikan kata sifat kepada sifat nama dan sifat kata. Istilah kita kini bagi sifat nama ialah adjektif dan sifat kata ialah adverba. Bagi kata sendi, Za‘ba meletakkan asas penggunaan kata sendi yang tepat. Dr. Haji Awang Sariyan menegaskan, “Hingga kini, ketetapan yang dibuat Za‘ba itu menjadi pegangan pendidik dan pelajar serta masyarakat umum dalam penggunaan bahasa Melayu rasmi terutama dalam bidang pentadbiran.”

Za‘ba menggolongkan ayat bahasa Melayu kepada ayat selapis, ayat berlapis, ayat berkait, ayat bercampur. Jenis ayat pula terbahagi kepada ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah, dan ayat seruan. Selain itu, Za‘ba juga memperkatakan ragam ayat dengan istilah ayat bangun membuat bagi ayat aktif dan ayat bangun kena buat bagi ayat pasif. Dr. Haji Awang Sariyan menyatakan, “Kajian menunjukkan bahawa rumus-rumus ayat pasif bahasa Melayu rasmi yang ditemukan oleh sarjana-sarjana linguistik moden tidak ada perbezaannya sama sekali dengan yang telah dikemukakan oleh Za‘ba lebih setengah abad yang silam.”

Dari segi retorik, Dr. Haji Awang Sariyan mengatakan, Hashim Awang mengangkat Za‘ba sebagai tokoh dan pelopor retorik Melayu. Menurut Hashim Awang, buku Ilmu Mengarang Melayu karangan Za‘ba yang terbit pada tahun 1934 mendahului buku tokoh retorik Inggeris Cleanth Brooks dan Robert Penn Warren, iaitu Modern Rhetoric yang terbit enam tahun sesudah buku Za‘ba itu. Pendapat Hashim Awang itu terdapat dalam kertas kerjanya “Retorika Melayu dari Tanggapan Za‘ba” untuk Kongres Bahasa Melayu Sedunia pada bulan Ogos 1995.

Demikianlah sari ucap utama YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, pidato Kolonel Profesor Dato’ Dr. Kamarudin Kachar, pandangan Profesor Emeritus Dato' Dr. Asmah Haji Omar dan pembentangan Dr. Haji Awang Sariyan dalam Kolokium “Za‘ba Pemikir Ulung” itu. Berasaskan ucap utama, pidato, pandangan dan pembentangan itu, yakinlah kita bahawa Za‘ba ialah pemikir ulung pada zamannya, bahkan dari aspek tertentu mendahului zamannya. Pemikiran ulung itu lahir daripada anak kampung yang berpendidikan agama, berperibadi mulia, berpendidikan tinggi, istiqamah menimba ilmu sepanjang hayat, gigih melahirkan pendapat melalui tulisan dan, yang terpenting, terus melakukan kerja tulis-menulis walaupun ditekan oleh penjajah Inggeris.

Tiada ulasan: