30 Ogos 2012

Hari Ini 12 Syawal

Dalam kalendar Islam, hari bermula apabila malam, iaitu apabila matahari terbenam di ufuk barat. Dua contoh yang baik ialah permulaan Ramadan dan Syawal. Pihak berkuasa mengumumkan sama ada bulan yang berkenaan bermula pada malam itu atau malam yang berikutnya. Pengumuman itu dilakukan melalui radio dan televisyen. Pengumuman itu memang kita nanti-nantikan setiap kali menjelang Ramadan, apalagi Syawal.

Apabila Ramadan disahkan bermula, kita mendirikan solat sunat tarawih selepas isyak pada malam itu. Sesungguhnya, solat sunat tarawih hanya ada pada bulan Ramadan. Itulah bukti sahih bahawa malam itu ialah malam pertama Ramadan. Dalam bulan Ramadan kita berpuasa pada siang hari. Jadi kita mula berpuasa pada keesokannya. Malam selepas puasa pertama itu ialah malam kedua Ramadan.

Apabila Syawal pula disahkan bermula, kita terus bertakbir. Itulah tanda Aidilfitri sudah bermula. Sesungguhnya, Aidilfitri bermula pada malam hari. Banyak orang Islam yang memahami hakikat ini meneruskan kegiatan bertakbir, bertahmid dan bertahlil selepas isyak. Hal itu bukan sahaja dilakukan di masjid atau di surau, bahkan ada kegiatan bertakbir dan bertahmid dari rumah ke rumah.

Pada tahun 1433 Hijrah ini seorang mualaf silap apabila menganggap solat sunat tarawih hanya bermula selepas hari pertama berpuasa, iaitu pada malam kedua Ramadan. Hal ini diketahui apabila dia menyatakan rasa hairan apabila jemaah suraunya tidak bertarawih pada malam terakhir penunaian ibadah puasa. Yang mereka lakukan selepas isyak ialah bertakbir dan bertahmid. Dia beranggapan, malam pertama Aidilfitri bermula pada malam selepas kita berhari raya pada siangnya. Alhamdulillah, dia memahami penjelasan ustaz kami yang bijaksana.

Salah faham dalam kalangan mualaf memang perkara biasa. Malangnya, salah faham berlaku juga dalam kalangan mereka yang Islam sejak dilahirkan. Antara mereka itu termasuk segelintir penyiar media elektronik. Mereka menyebut “malam 1 Syawal” bagi malam yang sepatutnya disebut 2 Syawal. Mungkin mereka menyebut ungkapan itu “sesedap mulut” tanpa memikirkan maknanya.

Saya berasa sukacita kerana kebanyakan penyiar media elektronik menggunakan istilah “Hari Raya Aidilfitri” untuk merujuki 1 Syawal sahaja. Selepas 1 Syawal, mereka menggunakan istilah “2 Syawal”, “3 Syawal” dan seterusnya. Mereka tidak menggunakan ungkapan “hari raya kedua”, “hari raya ketiga” dan seterusnya.

Perlakuan penyiar-penyiar itu bertepatan dengan konsep Aidilfitri, iaitu hari sepanjang 1 Syawal. Hari itu bermula apabila matahari terbenam di ufuk barat pada hari terakhir bulan Ramadan dan berakhir apabila matahari terbenam di ufuk barat keesokannya. Malam sesudah kita berhari raya pada siangnya ialah malam 2 Syawal.

Sayangnya, saya mendapati kebanyakan penulis buku wajah menggunakan ungkapan “hari raya kedua”, “hari raya ketiga” dan seterusnya. Seorang rakan saya yang bertugas sebagai pensyarah bahasa Arab di sebuah institut pendidikan guru pernah menyatakan bahawa Aidilfitri cuma sehari, iaitu pada 1 Syawal. Seorang rakan saya lagi pernah menyatakan bahawa pendapat Tuan Guru Nik Abdul Aziz sama dengan pendapat pensyarah bahasa Arab itu. Oleh hal yang demikian, hari selepas 1 Syawal (Aidilfitri) moleklah kita sebut 2 Syawal, 3 Syawal dan seterusnya.

Sebutan 2 Syawal dan seterusnya itu tidaklah menghalang kita untuk menziarahi kaum keluarga dan sahabat handai. Kita juga tidak dihalang untuk menerima kunjungan tetamu. Bahkan kita hendaklah bersyukur kerana, menurut beberapa orang rakan saya, kunjungan tetamu ke rumah kita adalah antara jalan yang memungkinkan Allah memudahkan rezeki tuan rumah. Menurut seorang ustaz pula, apabila tetamu berkunjung ke rumah kita pada bulan Syawal sedangkan kita berpuasa sunat enam, sewajarnya kita berbuka untuk meraikan tetamu. Kita boleh menyambung puasa sunat itu pada hari yang lain.

Apabila kita memahami maksud hari, penggunaan ungkapan bulan raya hendaklah dielakkan. Hal ini dikatakan demikian kerana ungkapan itu tidak berasaskan ilmu. Ungkapan yang ada ialah hari raya. Hari Raya Aidilfitri sehari, iaitu pada 1 Syawal. Walaupun perkataan “hari” digunakan dalam ungkapan Hari Raya Aidiladha, kegiatannya seperti menyembelih binatang korban dan bertakbir boleh dilakukan selama tiga hari berurut-turut. Penjelasan rinci tentang hal ini wajarlah diperoleh daripada ustaz atau ustazah.

Satu hal lagi yang berkaitan dengan kalendar Islam ialah maksud petang. Saya mendapati ada dua maksud petang. Yang pertama petang sebenar bagi hari yang berkenaan. Sebagai contoh, catatan ini disiapkan pada pukul 2.30 petang, hari Khamis, 12 Syawal 1433 Hijrah bersamaan 30 Ogos 2012, iaitu petang Khamis. Selepas waktu asar hari ini disebut petang juga. Sebutan yang lazim saya dengar dalam kalangan orang kampung saya di Negeri Sembilan ialah petang Jumaat. Keadaan ini dapat dianggap aneh kerana ada dua petang Jumaat. Satu petang selepas asar pada hari Khamis dan satu lagi petang selepas solat Jumaat pada hari Jumaat.

Katakan kita diundang untuk hadir ke sesuatu majlis pada malam Jumaat minggu ini. Malam inilah masanya. Jangan tunggu malam esok. Malam esok ialah malam Sabtu. Seperkara lagi, apabila ada pahala sunat diberikan pada malam Jumaat, lakukanlah pada malam Jumaat berdasarkan kalendar Islam. Demikianlah peri pentingnya maksud malam dan hari dalam kalendar Islam.

Sebagai kesimpulannya, dalam Islam hari bermula apabila matahari terbenam di ufuk barat. Dalam Islam, hari bermula pada waktu malam. Dalam Islam, konsep hari dan malam berkaitan dengan ibadah. Pernyataan yang menepati kalendar Islam ialah hari ini 12 Syawal bukan hari raya ke-12.

Wallahuaklam.

Tiada ulasan: