28 Ogos 2012

Di Atas dan di Bawah dari Segi Nahu Praktis

Sari Makalah: Imran Ho Abdullah, “Frasa Sendi Nama di Atas dan di Bawah” dalam Zaharani Ahmad (penyunting), 2008. Aspek Nahu Praktis Bahasa Melayu. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, 328 halaman 299 - 316.

1. Huraian dalam makalah ini menggunakan data korpus UKM-DBP dan berasaskan linguistik kognitif. Pengkaji menggunakan juta kata. Dapatan analisis adalah seperti yang di bawah:

di atas 2,077 (37.1%)
ke atas 1,906 (34%)
Ø atas 1,583 (28.3%)
dari atas 31 (0.5%)
daripada atas 4 (0.1%)

di bawah 2,568 (83.3%)
Ø bawah 284 (9.1%)
ke bawah 200 (6.5%)
dari bawah 30 (1%)
dari bawah 2 (0.1%)

2. Berdasarkan data korpus, di atas dan Ø atas dalam ayat 1 – 6 menunjukkan lokasi. Ayat 7 – 10 digunakan untuk fungsi lain.

1. Di dalam pasu bunga di atas almari kelihatan surat-surat invois milik akauntan – layu dan hampir hitam.
2. Tambahan pula pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantin Malaysia itu terletak di tanah milik sah Kereta Api Tanah Melayu, dan bukan beroperasi di atas kawasan setinggan.
3. Mereka bersembunyi di bawah sebatang pokok yang tumbang.
4. Kadang-kadang dia berdiri *atas tikar sembahyang dan menunjukkan kepada telekung. Kalau kita sembahyang, dia pun nak ikut dari belakang.
5. Dahrul Fathi, banglo hasil cetusan ide sepasang suami isteri, Puan Hajah Fathiyah dan suaminya, Haji Hussein bin Haji Taib, yang juga merupakan bekas DUN Sungai Besar yang berekabina moden dan tradisional didirikan *atas sebidang tanah seluas satu setengah ekar.
6. “Nenek, di mana bomnya? *Bawah katil ke?” tanya seorang tentera berpangkat leftenan dengan sinis kepada nenek yang berusia 74 tahun itu.
7. Ada kemungkinan mereka akan kembali berkuasa kerana simpati rakyat terhadap beliau *di atas arahan penutupan Hotel Labuan milik Harris secara serta-merta.
8. Atas arahan Perdana Menteri, kerajaan bertindak untuk menyeragamkan peraturan dan undang-undang syariah di semua negeri di Malaysia.
9. Kanak-kanak kecil tidak digalakkan bermain di luar rumah kecuali di bawah pengawasan kerana *bimbangkan berlaku kecederaan.
10. (Rakyat) Malaysia yang akan melahirkan zuriatnya perlu melahirkannya di hospital iaitu bawah pengawasan doktor dan pihak hospital. Langkah ini merupakan alternatif.

4. Ahli tatabahasa preskriptif menyatakan bahawa ayat 4 – 6 tidak gramatis. Oleh sebab kedua-dua bentuk digunakan oleh penutur natif bahasa Melayu, ahli nahu praktis menerima hakikat bahawa kedua-dua bentuk itu digunakan. (MIR: Ahli tatabahasa preskriptif juga menerima hakikat ini.)

5. Pilihan penggunaan atas atau bawah berkaitan dengan persepsi tentang dinamika daya antara trajektor (tindakan) dan asas (tanda tempat abstrak/metaphorical). Misalnya dalam ungkapan atas arahan, arahan yang menyokong dan menjadi asas untuk tindakan. Sebaliknya dalam ungkapan bawah arahan, arahan itu menekankan atau memaksakan tindakan dilakukan.

Nota
Isi yang terlalu teoritikal/teknikal tidak dimasukkan dalam sari ini.

Tiada ulasan: