Hikayat Raja-raja Pasai (HRP) terdiri daripada tiga peringkat peristiwa, iaitu permulaan, perkembangan dan peleraian yang tersusun berdasarkan urutan masa.
Peringkat permulaan terdiri daripada kisah yang berkaitan dengan Raja Ahmad dan Raja Mohamad, Puteri Buluh Betung dan Merah Gajah, Merah Silu dan Merah Hasum, pembukaan Samudera, wasiat Nabi Muhammad, pengalaman Merah Silu melalui mimpi, pelaksanaan wasiat Nabi Muhammad, perkahwinan Malik al-Saleh (Merah Silu) dengan anak gundik Raja Perlak dan pembukaan Pasai.
Peringkat perkembangan bermula dengan wasiat Malik al-Saleh kepada Said Semanyam dan Said Ali serta kepada kedua-dua cucunya, Sultan Malik al-Mansur dan Sultan Malik al-Mahmud. Peristiwa seterusnya ialah konflik antara Sultan Malik al-Mahmud dengan Sultan Malik al-Mansur, wasiat Malik al-Mahmud kepada Sultan Ahmad, kisah Sultan Ahmad yang ingin mengahwini anaknya sendiri dan kisah kepahlawanan dan kematian Tun Beraim Bapa.
Peringkat peleraian pula terdiri daripada kisah Puteri Gemerencang, pembunuhan Tun Abdul Jalil, penyesalan Sultan Ahmad, serangan Majapahit hingga Pasai jatuh dan kekalahan Majapahit di Pulau Perca.
Mitos, Wasiat dan Mimpi
Peristiwa-peristiwa dalam peringkat permulaan berperanan sebagai pengesah keturunan raja-raja Pasai. Peristiwa-peristiwa itu juga menegaskan pengislaman dan keagungan Pasai. Kesemua peranan itu dilaksanakan melalui mitos, wasiat dan mimpi.
Mitos Puteri Buluh Betung, Merah Gajah, rambut emas, cacing gelang dan semut besar berperanan merakamkan keturunan raja-raja Samudera. Pengislaman Merah Silu melalui mimpi menjelaskan perbezaan taraf antara raja dengan rakyat demi mengukuhkan kedudukan raja sebagai peribadi yang suci dan berdaulat. Pelaksanaan wasiat Nabi Muhammad, iaitu mendatangkan alat-alat kerajaan dari Mekah, menegaskan sahnya Pasai sebagai negeri Islam. Mitos pelanduk berdakapan dengan anjing membayangkan bahawa Pasai akan menjadi negeri yang agung.
Sebagai kesimpulannya, dalam peringkat permulaan, mitos, wasiat dan mimpi menjadi nadi peristiwa-peristiwa itu. Tanpa ketiga-tiga unsur ini tujuan pengarang untuk menjelaskan jurai keturunan raja-raja Pasai dan memperkenalkan Pasai sebagai negeri Islam yang pertama dan agung tidak akan berhasil. Ketiga-tiga unsur ini juga menjalin kelancaran cerita dan menjadi asas untuk memperkembang tema.
Wasiat Malik al-Saleh
Peringkat perkembangan bermula dengan wasiat Malik al-Saleh kepada kedua-dua menterinya, Said Semanyam al-Din dan Said Ali Gian al-Din. Peristiwa ini diikuti oleh wasiat Malik al-Saleh kepada kedua-dua cucu baginda, iaitu Sultan Malik al-Mansur dan Sultan Malik al-Mahmud. Sebagai pemerintah negeri Islam, Malik al-Saleh memberikan panduan secara Islam kepada menteri dan cucu baginda. Panduan itu terangkum dalam ungkapan “amar bil makruf wa nahi anil mungkar”. Ungkapan ini dijelaskan dengan terjemahan maksud al-Quran “barang siapa tiada menghukum dengan hukum yang diturunkan oleh Allah, maka bahawasanya mereka itu menjadi kafir”.
Wasiat Malik al-Saleh juga menekankan tiga perkara lain. Yang pertama, raja dengan raja hendaklah sentiasa bermuafakat, jangan bertelingkah. Yang kedua, Raja mestilah berlaku adil kepada rakyat. Yang ketiga, rakyat mestilah setia kepada raja.
Wasiat Malik al-Mahmud
Selepas kemangkatan Malik al-Saleh Pasai menjadi makmur. Serangan Siam dapat dipatahkan. Namun Malik al-Mansur bertelingkah dengan Malik al-Mahmud. Mereka tidak mengendahkan nasihat yang diberikan oleh Said Semanyam bahkan Said Semanyam dipancung. Malik al-Mansur diusir dan meninggal di kubur Said Semanyam. Sultan Malik al-Mahmud menyesal lalu baginda berwasiat kepada Sultan Ahmad:
“Hai anakku, cahaya mataku dan buah hatiku, baik-baik engkau memeliharakan dalam negeri kerajaanmu ini akan segala pekerjaan amar Allah dan amar Rasul Allah dan menegahkan segala larangan keduanya, dan janganlah lalui seperti firman Allah Taala dan seperti sabda Nabi Muhammad Rasul Allahu alaihi wassalam.
Hai anakku, jangan tiada engkau turut seperti pesanku ini; dan jika pada sesuatu pekerjaan hendaklah engkau mesyuarat dengan segala menterimu yang tua-tua dan jangan segera engkau berbuat sesuatu pekerjaan hingga baiklah mesyuaratmu dengan segala menteri hulubalangmu. Maka engkau kerjakan dan perbanyak olehmu sabarmu pada segala pekerjaan yang tiada patut pada syarak dan jangan engkau menganiayai dan membinasakan segala hamba Allah Taala dengan tiada sebenarnya dan jangan engkau melalui amar bil makruf wa nahi anil mungkar, hai anakku, kerana dunia ini negeri yang fana tiada akan kekal adanya, dan akhirat juga negeri yang baka, hai anakku, hubaya jangan tiada kauturut wasiatku ini.”
Wasiat Malik al-Mahmud ini hampir sama dengan wasiat Malik al-Saleh. Namun dalam wasiat ini penjelasan tentang amar bil makruf wa nahi anil mungkar lebih ketara. Wasiat ini dan peristiwa-peristiwa yang berikutnya masih berada dalam peringkat perkembangan. Peristiwa seterusnya ialah jogi Keling tunduk oleh daulat Sultan Ahmad, perselisihan faham antara Sultan Ahmad dengan Tun Beraim Bapa kerana ura-ura Sultan Ahmad untuk mengahwini anaknya sendiri dan kepahlawanan serta kematian Tuan Beraim Bapa.
Peringkat perkembangan ini dapat dibahagikan kepada dua. Yang pertama dari wasiat Malik al-Saleh hingga kematian Malik al-Mansur dan yang kedua, dari wasiat Malik al-Mahmud hingga kematian Tun Beraim Bapa. Dalam peringkat permulaan, mitos, wasiat dan mimpi menjadi unsur yang menggerakkan cerita. Dalam peringkat perkembangan ini hanya wasiat memainkan peranan sebagai penggerak cerita.
Peleraian
Peringkat peleraian bermula dengan hasrat Puteri Gemerencang untuk berkahwin dengan Tun Abdul Jalil. Hasrat itu tidak kesampaian kerana Sultan Ahmad membunuh Tun Abdul Jalil. Puteri itu membunuh diri. Peristiwa ini diikuti oleh penyesalan Sultan Ahmad. Menterinya mengarangkan pantun:
Lada siapa dibangsalkan,
Rana saujana kerati;
Pada siapa disesalkan,
Tuan juga empunya pekerti.
Peristiwa ini membuka laluan untuk Majapahit menyerang dan menundukkan Pasai. Cerita diakhiri dengan kekalahan Majapahit di Pulau Perca dengan cara yang amat melalukan.
Plot
Susunan peristiwa yang dibincangkan tadi digambarkan dalam citra yang di bawah.
Garis lintang AB menunjukkan peringkat pergerakan cerita. Pada setiap peringkat mitos, wasiat dan legenda menjadi unsur penggerak. Garisan kasar di atas garisan lintang AB menunjukkan susunan peristiwa berdasarkan urutan masa.
Citra yang di atas menunjukkan wasiat Malik al-Saleh (Merah Silu) terletak dalam peringkat perkembangan pertama. Wasiat Malik al-Mahmud pula terletak dalam peringkat perkembangan kedua. Peristiwa dalam peringkat perkembangan pertama berkaitan dengan Sultan Malik al-Mansur dan Sultan Malik al-Mahmud. Peristiwa-peristiwa itu berlaku selepas wasiat Malik al-Saleh. Setiap peristiwa itu ada kaitan dengan isi wasiat, iaitu dilanggar atau dipatuhi. Sultan Malik al-Mansur dan Malik al-Mahmud melanggar wasiat datuk mereka. Mereka bertelingkah. Mereka menyesal.
Peristiwa-peristiwa dalam peringkat perkembangan kedua berlegar di sekitar Sultan Ahmad, Tuan Beraim Bapa, keluarga Sultan Ahmad, para pembesar dan rakyat. Peristiwa-peristiwa itu berlaku selepas wasiat Malik al-Mahmud kepada Sultan Ahmad. Tun Beraim Bapa yang mematuhi wasiat itu. Sebaliknya, Sultan Ahmad melakukan pelanggaran yang melampaus. Pelanggaran itu membawa kepada peringkat peleraian, iaitu kejatuhan Pasai.
Peranan Wasiat
Sudah nyata bahawa wasiat berperanan sebagai penggerak atau pendulum cerita. Persoalannya, adakah peranan wasiat hanya memperkembang dan memperkukuh plot? Jawapannya tidak. Wasiat dalam HRP dapat membantu pembaca untuk memahami latar cerita, itu latar budaya Melayu yang berteraskan Islam.
Islam baru bertapak di Pasai. Banyak institusi budaya yang bertentangan dengan Islam masih diamalkan. Misalnya, bergundik adalah haram tetapi tidak ketara pergundikan melanggar wasiat. Pembunuhan pula dianggap biasa dalam budaya Melayu. Oleh sebab itu Pasai tidak jatuh kerana pembunuhan. Namun, apabila berlaku perkara sumbang seperti ingin mengahwini dan membunuh anak sendiri, malapetaka sedia menanti. Kesumbangan itulah yang menyebabkan kejatuhan Pasai.
Dari sudut yang lain, raja-raja Melayu memerintah berdasarkan adat. Belum ada undang-undang bertulis. Adat itulah yang dipatuhi oleh raja dan rakyat. Pemulauan (sanction) menanti mereka yang melanggar adat. Islam memperkenalkan wasiat. Sesebuah kerajaan boleh runtuh apabila berlaku perlanggaran wasiat. Hal inilah yang berlaku di Pasai. Pada masa yang sama wasiat juga melindungi golongan yang teraniaya. Contohnya, Said Semanyam yang mati dibunuh memperlihatkan kekeramatan. Tun Beraim Bapa pula tidak mempan oleh racun tetapi mati oleh perbuatannya memakan daging ular.
Pengarang HRP bertanggungjawab untuk menjelaskan jurai keturunan raja-raja Pasai. Dia juga bertanggungjawab untuk membuktikan bahawa Pasailah negeri pertama di bawah angin yang menerima Islam. Dia bertanggungjawab untuk membuktikan bahawa Pasai ialah negeri Islam yang agung. Sesuai dengan alam fikiran masyarakatnya, dia menggunakan mitos, legenda, mimpi dan wasiat dalam pelaksanaan tanggungjawab itu. Dia membina plot berdasarkan urutan masa. Penggerak atau pendulum plot itu ialah mitos, legenda, mimpi dan wasiat. Selain berperanan sebagai unsur penggerak, wasiat juga berperanan menyatukan unsur-unsur penggerak yang lain. Oleh hal yang demikian, peranan wasiat dalam HRP sangat penting.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan