Pada tahun 1975 beberapa orang guru lelaki di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Majakir, Papar memiliki skuter. Antara pemilik skuter yang saya ingat termasuklah Cikgu Said, Cikgu Razali dan Cikgu Hussain. Mulai bulan Februari tahun itu saya juga menjadi pemilik skuter.
Skuter saya jenis pecut berwarna hijau. Skuter terpakai yang sangat baik keadaannya itu berharga lapan ratus ringgit. Harga itu saya bayar secara tunai kepada penjualnya. Beliau ialah guru di sebuah sekolah menengah di daerah yang sama. Skuter itu dijualnya dengan harga yang dapat dianggap murah kerana dia akan melanjutkan pelajaran ke universiti.
Ketika itu saya baru berkhidmat selama dua bulan sebagai guru terlatih lepasan maktab. Gaji pertama saya terima pada hujung bulan Februari. Dua bulan gaji yang saya terima itu berjumlah kurang lapan ratus ringgit. Sebahagian besar gaji itu untuk keperluan makan minum dan bayaran sewa rumah. Jadi mustahil saya mampu memiliki skuter dengan menggunakan wang gaji itu.
Allah Maha Pemurah. Sepanjang tahun 1972 saya berkhidmat sebagai guru dalam skim Guru Yang Disatukan. Ketika saya menjadi guru pelatih di Maktab Perguruan Gaya, berlaku perubahan tangga gaji. Perkhidmatan saya pada tahun 1972 diambil kira dalam sifir perubahan itu. Jadi, pada pertengahan bulan Mac 1975 saya menerima ganjaran berjumlah dua ribu seratus empat puluh dua ringgit. Wang itulah saya gunakan untuk membeli skuter, membayar baki yuran kursus Sijil Tinggi Pelajaran (STP) gaya pos dan membeli buku-buku rujukan STP.
Skuter pecut hijau itu saya manfaatkan sebaik-baiknya. Pada kebanyakan hari Sabtu saya pergi ke Kota Kinabalu. Tempat pertama yang saya tuju ialah Pejabat Pelajaran Pantai Barat di Karamunsing. Saya meminjam alat bantu pengajaran. Alat-alat itu saya gunakan untuk mengajarkan mata pelajaran Bahasa Melayu di kelas peralihan. Beberapa orang guru senior menyedari usaha saya itu. Mereka menggelar saya sebagai “penyapu baharu”.
Selepas itu lazimnya saya berlama-lamaan di kedai buku. Apabila kakitangan kerajaan meninggalkan pejabat, barulah saya bergerak ke rumah sepupu saya di Kepayan. Suami sepupu saya bekerja di hospital. Saya hanya berada di rumahnya setelah suaminya pulang. Di rumahnyalah saya makan minum, berborak, mendengar lagu daripada piring hitam dan tidur. Lazimnya saya pulang ke Papar pada petang Ahad.
Jikalau saya tidak ke Kota Kinabalu, pada hari Sabtu dan Ahad skuter itu akan membawa saya ke Pantai Manis yang letaknya kira-kira sepuluh kilometer dari rumah sewa saya. Bekalan utama saya ialah nota STP gaya pos dan buku rujukan. Saya mampu duduk berjam-jam di bawah pokok di atas bukit kecil di pantai itu. Selain rumah, pantai itulah tempat saya menyiapkan diri sebagai calon STP tahun 1975. Alhamdulillah, pada bulan Mei 1976 saya menerima slip keputusan peperiksaan itu. Saya lulus dan mulai bulan Jun 1976 saya bergelar mahasiswa di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia.
Dapatlah dirumuskan bahawa skuter pecut hijau itu berjasa kepada saya. Selain turut melancarkan tugas saya sebagai guru, skuter itu memberikan khidmat kepada saya sebagai pelajar STP gaya pos. Mulai bulan Jun 1976, skuter pecut hijau itu pun mendapat pemilik yang ketiga; juga guru muda.
Perkataan pecut (sprint) pada skuter itu tidak bermakna jikalau tidak dimanfaatkan. Jadi, biasanya saya memecut skuter itu apabila pergi ke Kota Kinabalu dan ketika pulang ke Papar. Selaku orang muda, ada ketikanya kecenderungan saya memecut keterlaluan. Pada masa itu tiada sebarang kenderaan lain dapat mengatasi kelajuan skuter saya. Skuter pecut hijau itulah yang mendahului sebuah demi sebuah kenderaan lain di jalan lama Papar-Kota Kinabalu.
Pada suatu petang Sabtu saya pulang ke Papar tanpa membawa alat bantu pengajaran. Saya perlu sampai ke Papar sebelum malam tiba kerana ada urusan yang perlu diselesaikan. Saya memecut skuter itu hingga tujuh puluh batu sejam. Sekejap sahaja saya sudah sampai di Simpudu. Di situ ada jambatan kayu merentangi Sungai Papar. Jambatan itu hanya boleh dilalui oleh sebuah kenderaan beroda empat. Ertinya, kenderaan beroda empat dari arah yang bertentangan perlu bergilir-gilir untuk menggunakan jambatan itu.
Dari jauh saya melihat tiada sebarang kenderaan yang menghala ke Kota Kinabalu. Jadi saya mengurangkan pecutan sedikit sahaja. Saya lupa bahawa kedudukan jambatan itu kira-kira dua kaki lebih tinggi dari aras jalan. Ada papan tebal menghubungkan jambatan dengan jalan. Oleh sebab skuter itu masih dalam pecutan, selepas melintasi papan tebal, skuter dan saya “terbang” beberapa kaki di udara. Alhamdulillah, kedua-dua tayar skuter itu mendarat dengan cantiknya di atas papan laluan kenderaan yang disusun memanjang di sepanjang jambatan itu. Keyakinan saya bahawa Allahlah Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan bertambah kental. Saya memperoleh pengajaran daripada kejadian itu.
Pada suatu subuh hari Ahad, saya pulang ke Papar selepas menunaikan solat subuh. Ketika saya tiba di Kampung Kawang, keadaan masih gelap. Saya memandu skuter pecut itu kira-kira dua puluh batu sejam. Apabila saya tiba di jambatan Sungai Kawang, keadaan masih gelap juga. Saya mengurangkan kelajuan skuter. Oleh sebab pergerakan skuter itu amat perlahan, skuter itu gagal mendaki timbunan batu di atas jalan. Skuter itu rebah dan saya tergolek.
Alhamdulillah, saya tidak cedera. Skuter saya pun tidak mengalami apa-apa kerosakan. Setelah saya menopang skuter itu, saya naik ke atas longgokan batu. Rupa-rupanya jambatan lama sudah dirobohkan. Jambatan baharu akan dibina. Jambatan sementara sudah pun disediakan. Kedudukan jambatan sementara itu hanya beberapa kaki dari jambatan yang sudah dirobohkan. Baru saya sedar bahawa saya melalui jambatan sementara itu ketika pergi ke Kota Kinabalu pada pagi Sabtu.
Demikianlah beberapa kisah saya dan skuter pecut hijau. Itu skuter saya yang pertama. Saya masih menyimpan kisah pengembaraan ribuan kilometer di Pantai Barat dan Pedalaman Sabah dengan menunggang skuter pertama itu. Rasanya kisah pengembaraan itu tidak perlu saya nukilkan kerana tidak dramatik.
Skuter kedua saya jenis super. Kisah skuter kedua itu rasanya menarik. Namun saya tidak berhasrat untuk menukilkan kisah itu. Rasanya, peristiwa “terbang” di jambatan Simpudu dan tergolek di jambatan Kawang lebih penting daripada kisah-kisah itu.
Wallahuaklam.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan