02 Ogos 2012

Kata Kerja Berfungsi Frasa Lain

Palita Bahasa, Julai 2012.

Kata kerja ialah perkataan yang menjadi perkataan utama dalam binaan frasa kerja. Misalnya, perkataan “berkhemah” dalam ayat “Kami akan berkhemah di pantai itu” ialah kata kerja. Ayat ini ialah ayat tunggal susunan biasa berpola frasa nama + frasa kerja (FN + FK). Binaan “akan berkhemah di pantai itu” ialah frasa kerja yang berada dalam bahagian predikat ayat.

Adakah, dalam ayat, kata kerja hanya berfungsi sebagai frasa kerja dan hanya berada dalam bahagian predikat ayat? Para pelajar memang biasa mengemukakan soalan yang seperti ini. Makalah ini memberikan jawapan melalui tiga pertanyaan. Pertanyaan pertama, bolehkah kata kerja berfungsi sebagai frasa nama? Jawapannya, boleh. Perhatikan ayat yang di bawah:

1. Bersenam menyihatkan badan.

Ayat ini ialah ayat tunggal susunan biasa. Ayat ini mengandungi satu subjek, iaitu “bersenam” dan satu predikat, iaitu “menyihatkan badan”. Dalam semua ayat tunggal susunan biasa, subjeknya ialah frasa nama. Frasa subjek ayat ini juga ialah frasa nama. Namun, kita sedia maklum bahawa kata “bersenam” ialah kata kerja tetapi dalam ayat ini “bersenam” berfungsi sebagai frasa nama. Pola ayat ini ialah FN + FK.

Menurut Tatabahasa Dewan edisi ketiga (halaman 361 - 362), dalam ayat ini, kata kerja “bersenam” boleh digantikan dengan kata nama “senaman”. Hal ini menunjukkan bahawa pola ayat ini memang FN + FK. Tatabahasa Dewan juga menyatakan, ayat ini berasal daripada ayat “Kegiatan bersenam menyihatkan badan”. “Kegiatan bersenam” ialah subjek. Inti subjek ini ialah kata nama “kegiatan” dan penerangnya ialah “bersenam”; gabungan perkataan ini membentuk frasa nama “kegiatan bersenam”. Apabila inti, iaitu “kegiatan”, digugurkan, maka terbentuklah ayat 1. Maka “bersenam” berfungsi sebagai frasa nama.

Dalam Tatabahasa Dewan terdapat enam ayat yang dapat dianalisis seperti yang telah dijelaskan. Ayat-ayat itu mengandungi kata kerja, iaitu “berolahraga”, “merokok”, “bersawah”, “berlagak ke sana ke mari”, “perli-memerli” dan “makan suap”. Berdasarkan ayat contoh itu kita dapat mencipta ayat kita sendiri seperti ayat 2 hingga ayat 7. Perkataan dalam kurungan ialah kata nama yang sudah digugurkan.

2. (Aktiviti) Berenang kegemaran saya.
3. (Tabiat) Mengumpat hendaklah kita hindari.
4. (Pekerjaan) Menoreh getah semakin mendapat sambutan belia.
5. (Kebiasaan) Menghadiri majlis ilmu di masjid sudah menjadi amalan beliau.
6. (Kegiatan) Mengadu domba boleh mengakibatkan pertumpahan darah.
7. (Perbuatan) Mencaci maki perbuatan yang keji.

Pertanyaan kedua, bolehkah kata kerja berfungsi sebagai frasa adjektif? Jawapannya, boleh. Perhatikan ayat yang berikut:
8. Filem itu sungguh menyeramkan (kami).

Ayat ini juga ialah ayat tunggal susunan biasa. Bahagian subjeknya ialah frasa nama “filem itu” dan bahagian predikatnya ialah “sungguh menyeramkan (kami)”. Persoalannya, adakah kata “menyeramkan” frasa kerja atau frasa adjektif?

Jikalau, “menyeramkan” frasa kerja, subgolongannya ialah frasa kerja dengan kata kerja transitif. Kata kerja transitif berimbuhan me- … -kan mesti diikuti oleh objek seperti “kami”. Ada dua sebab fungsi kata “menyeramkan” berubah. Pertama, objek “kami” boleh digugurkan dan membentuk ayat “Filem itu sungguh menyeramkan”. Kedua, kata “menyeramkan” boleh menerima kata penguat “sungguh” dan yang seumpamanya. Maka jelaslah bahawa “menyeramkan” dalam ayat ini berfungsi sebagai frasa adjektif. Hal ini ada dinyatakan dalam Tatabahasa Dewan, halaman 391. Ayat-ayat yang di bawah ini juga mengandungi frasa kerja yang berfungsi sebagai frasa adjektif.

9. Tindakan pemimpin itu sangat menghairankan.
10. Pendedahan akhbar itu terlalu mengaibkan.
11. Berita kemalangan itu amat menyedihkan.
12. Kehadiran peserta kurang memberangsangkan.
13. Kejayaan abangku sungguh menggembirakan.
14. Kicauan burung itu sungguh mengasyikkan.

Sebagai perbandingan, dalam ayat “Dia menaikkan bendera”, kata “menaikkan” tidak boleh berfungsi sebagai frasa adjektif atas dua sebab juga. Yang pertama, objek “bendera” selepas kata ini tidak boleh digugurkan dan yang kedua, kata ini tidak boleh didahului oleh kata penguat seperti “amat”, “sungguh” dan sebagainya. Maka, semakin jelaslah bahawa ayat 8 hingga ayat 13 mengandungi kata kerja yang berfungsi sebagai frasa adjektif.

Pertanyaan ketiga, bolehkah kata kerja berfungsi sebagai frasa sendi? Jawapannya, boleh. Perhatikan ayat contoh yang di bawah. Ayat ini dipetik daripada Tabahasa Dewan, halaman 279.

15. Berita kematiannya dihebahkan melalui radio.

Kata “melalui” asalnya ialah kata kerja. Hal ini dikatakan demikian kerana apitan me-…-i membentuk kata kerja. Perkataan “melalui” dalam ayat “Dia akan melalui jalan itu” ialah kata kerja, bukan semata-mata disebabkan oleh penggunaan apitan me-…-i tetapi ada dua sebab lain. Pertama, dalam ayat ini “melalui” didahului oleh kata bantu aspek “akan”. Kedua, dalam ayat ini “melalui” ialah kata kerja transitif dan “jalan itu” berfungsi sebagai objek. Sebaliknya, dalam ayat 15, “melalui” tidak boleh diikuti oleh apa-apa kata bantu aspek. Perkataan “melalui” dalam ayat 15 bukan lagi berfungsi sebagai kata kerja tetapi sebagai keterangan ayat. Oleh hal yang demikian, Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (halaman 278 - 279) merumuskan bahawa kata kerja “melalui” dalam ayat 15 berfungsi sebagai frasa sendi. Dari segi makna, Kamus Dewan menjelaskan, kata “melalui” dalam ayat 15 bermaksud “dengan perantaraan”.

Kata kerja “mengenai” dan “menerusi” seperti dalam ayat contoh yang di bawah juga berfungsi sebagai frasa sendi. Kata “tentang” boleh mengganti kata sendi “mengenai” dan frasa sendi “dengan perantaraan” boleh menggantikan frasa sendi “menerusi”. Maka bertambah jelaslah bahawa kata kerja dapat berfungsi sebagai frasa sendi dalam ayat.

16. Kami akan mengemukakan usul mengenai (tentang) kepentingan kesantunan berbahasa dalam pertemuan itu.
17. Dia mengirim buku-buku itu menerusi (dengan perantaraan) saya.

Sebagai kesimpulannya, kata kerja dapat berfungsi sebagai frasa nama, frasa adjektif dan frasa sendi dalam ayat. Sebagai frasa nama, kata kerja itu berada dalam bahagian subjek. Sebagai frasa adjektif dan frasa sendi pula, kata kerja itu berada dalam bahagian predikat.

Tiada ulasan: