30 Julai 2012

Sari Makalah: Peribahasa Lambang Kesarjanaan Melayu

Perumpamaan Mementingkan Maksud

Lokman Abdul Samad, “Peribahasa Lambang Kesarjanaan Melayu”, Melayu (Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu), Jilid 2 Bilangan 2, Disember 2004, halaman 91 -- 106.

1. Peribahasa adalah sebahagian daripada sastera rakyat yang berbentuk puisi. Oleh hal yang demikian, kajian tentang peribahasa wajarlah berasaskan ilmu kesusasteraan, khususnya ilmu analisis puisi tradisional.

2. Peribahasa menggunakan bahasa sastera yang halus dan puitis. Dalam kehalusan dan kepuitisan itu tersirat maksud, mesej dan pandangan sarwa orang Melayu. Hal inilah yang patut menjadi tumpuan kajian kita. Agar pemahaman kita terhadap maksud dan mesej peribahasa itu tepat, kita mesti memahami bahasa dan seluruh nilai tradisi dalam kebudayaan Melayu.

3. Percubaan untuk memahami peribahasa hanya dengan gambaran minda tanpa mengenali budaya dan pemikiran masyarakat Melayu tradisional lazimnya tidak tepat. Sebagai contoh, hal yang mendasari peribahasa “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat” ialah muafakat. Jadi, usaha menggambar “bulat manusia” sebagai orang yang berbadan gemuk dan pendek sia-sia.

4. Istilah adat dalam peribahasa “biar mati anak, jangan mati adat” merujuk kepada hukum dan bukannya adat istiadat atau upacara. Hukum mesti dilaksanakan walaupun pelaksana hukum terpaksa menghukum keluarga sendiri. Amalan memicingkan mata apabila berhadapan dengan pesalah dalam kalangan keluarga atau nepotisme mesti dihindari.

5. Peribahasa “rezeki secupak tak jadi segantang” pula mesti difahami dalam konteks setelah kita berusaha, dan bukannya tanpa usaha, khususnya apabila berhadapan dengan ujian yang kita sebut “bencana”. Pokoknya, kita mesti melakukan sesuatu, seperti bercucuk tanam, secara bersungguh-sungguh. Apabila tanam-tanaman tidak menjadi atas apa-apa sebab yang sudah ditakdirkan (bukan kerana kemalasan atau kecuaian kita), kembalilah kepada ketentuan takdir bahawa rezeki ada hadnya dan nasihatkan diri dengan peribahasa ini. Jikalau ada orang mengaitkan peribahasa ini dengan kata-kata seperti “salah satu sebab kemunduran orang Melayu kerana mereka terlalu percaya kepada takdir”, anggaplah kata-kata ini sebagai hampa bahkan bercanggah dengan rukun iman.

6. Demikian jugalah halnya dengan tiga peribahasa lain. “Biar lambat asalkan selamat” mestilah difahami dalam keadaan yang tepat seperti bersabar menjalani proses untuk berumah tangga sejak merisik hingga bernikah. “Lambat” dalam proses ini penting demi maruah keluarga dan kerukunan hidup suami isteri. Peribahasa “pukul anak sindir menantu” dan “kerana di hutan disusukan, anak di rumah mati tak makan” pula juga hendaklah dilihat berdasarkan pandangan hidup masyarakat Melayu tradisional. Utamakan maksud tersirat. Janganlah besarkan hal luaran peribahasa ini seperti yang terdapat dalam lirik lagu nyanyian N.D. Lala.

7. Sebagai kesimpulannya, peribahasa melambangkan sebahagian besar sistem sosial, ekonomi, politik dan falsafah hidup masyarakat Melayu. Jadi, peribahasa hendaklah dibincangkan sesuai dengan nilai pemikiran masyarakat tradisional. Penilaian dengan ukuran zaman sekarang kurang wajar.

Tiada ulasan: