04 September 2012

Ayam Putih, Terbanglah!

Catatan ini dikemas kini pada 12 November 2012 sebagai siri ke-31 Sabah Tempat Bermain. Harap maklum.

Pada penggal ketiga tahun 1980, saya dan Shamad menyelia praktikum guru KDC di Kota Belud dan Pitas. Pada masa itu saya belum memiliki kenderaan. Shamad memiliki skuter. Demi melancarkan pergerakan, kami memutuskan untuk melaksanakan tugas itu dengan menaiki skuter.

Perjalanan dari Sandakan hingga ke Batu 32 mudah kerana jalan bertar. Dari situ ke Telupid, kami melalui jalan batu kelikir. Setiap kali skuter kami berselisih atau dipintas oleh kereta pacuan empat roda dan lori, saya memperlahankan pemanduan kerana debu yang berkepul-kepul menyukarkan pemandangan. Debu melekat pada kain selungkup kepala saya. Ada debu menyelinap di celah kaca mata hitam. Kesukaran perjalanan itu menyebabkan jarak dari Sandakan ke Telupid yang cuma 80 kilometer itu terasa jauh. Perjalanan itu memakan masa dua jam. Kami menggunakan masa lima belas minit pula untuk berehat dan membasahkan tekak di Telupid.

Dari Telupid ke Ranau perjalanan sukar juga kerana kebanyakan turapan sudah pecah. Banyak lubang di sepanjang jalan. Sebahagian turapan jalan sudah hancur. Perjalanan dari Telupid ke Ranau sejauh 94 kilometer mengambil masa hampir tiga jam. Jikalau kami tidak singgah di mana-mana, perjalanan dari Sandakan ke Ranau sejauh 174 kilometer itu memakan masa kira-kira lima jam. Oleh sebab kami singgah di Telupid dan di Nalapak, perjalanan itu memakan masa lebih enam jam.

Di tepi jalan dalam Kampung Nalapak, ada sungai yang berair jernih dan sejuk. Di situ, kami mencuci skuter dan membersihkan diri. Saya sudah biasa dengan tepian sungai itu. Sejak bertunang pada bulan April, sudah kerap kali saya singgah di situ. Saya menggunakan skuter Shamad untuk ke Ranau secara bersendirian. Saya singgah di tepian sungai itu untuk mencuci skuter, mandi dan menukar pakaian sebelum meneruskan perjalanan ke Kampung Libang.

Sesudah skuter dan diri bersih, saya pun berangan-angan hendak membawa tunang bersiar-siar. Alangkah seronoknya apabila si gadis yang membonceng menjerit halus sambil memeluk pinggang saya ketika saya memecut! Seronok, sungguh seronok!

Angan-angan kekal sebagai angan-angan sehingga tamat tempoh pertunangan. Hal itu berlaku bukan keengganan dia dan bukan juga kesilapan saya. Puncanya ialah janggut dan ketayap mengunci mulut saya daripada menyatakan hasrat dan keinginan.

Tempat tujuan kami yang pertama ialah Sekolah Kebangsaan Kiau. Sekolah itu terletak kira-kira 70 kilometer dari Pekan Kota Belud dan hanya 35 kilometer dari Ranau. Oleh sebab kami tiba di Ranau sesudah lebih pukul satu tengah hari, kami melakukan penyeliaan keesokannya. Hal itu memang sudah kami jangkakan dan sudah diambil kira dalam jadual perjalanan.

Shamad memilih untuk bermalam di SMK Mat Saleh, iaitu tempat dia bertemu dan, rasanyalah, mengacah-acah Betty. Saya memilih untuk bermalam di rumah Ustaz Mat Isa. Petang itu, sesudah berehat dan bersolat, saya ke dapur untuk memberitahu Kak Naim bahawa saya hendak pergi ke rumah tunang saya. Kak Naim tersenyum lebar sambil mengarahkan jari telunjuknya ke beranda. Saya tersengeh, mengangguk, naik ke atas rumah dan segera ke beranda.

Di beranda, ustaz sedang berbual dengan orang yang hendak saya temui. Gadis kampung itu tersipu-sipu. Saya yakin, Kak Naim dan anak sulungnya bertindak pantas ketika saya berehat dan bersolat. Eloklah, seorang pemuda singgah di rumah ustaz setelah melalui perjalanan hampir 200 kilometer dalam rangka urusan rasmi. Seorang pemudi berjalan kaki sejauh 500 meter untuk ke rumah ustaz juga atas urusan peribadi. Adillah itu! Ha ha.

Ustaz berkata, “Eh, cikgu! Saya lupalah. Tadi isteri saya minta tolong buat cucur kodok dan bancuh kopi. Isteri saya hendak buat air asam kegemaran cikgu untuk dicecah dengan cekodok. Cikgu duduklah di sini dahulu!”

Sejak bila ustaz bergelar tukang masak? Pandai ustaz!

Keesokannya, kami tiba di simpang masuk ke Sekolah Kebangsaan Kiau sebelum pukul lapan pagi. Sekolah itu terletak lebih kurang dua belas kilometer dari Taman Negara Kinabalu dan tersorok jauh di bawah bukit. Di sebelah sekolah terdapat sungai kecil. Hulunya hutan tebal di kaki Gunung Kinabalu. Airnya menderu, deras dan jernih. Selepas menyelesaikan tugas, saya dan Shamad menikmati pemandangan alam di sekitar sekolah. Saya terpegun melihat kawasan hutan di hulu sungai yang berlatarkan Gunung Kinabalu dan air terjun yang memutih.

Kami meneruskan perjalanan ke Pekan Nabalu dan tiba di Jalan Pintas Ranau-Kota Belud. Keadaan jalan itu sudah bertambah baik berbanding ketika saya melaluinya dalam pengembaraan berskuter dengan Ahmad Supri pada bulan Disember tahun 1975. Sesudah hampir lima tahun, saya memandu skuter super milik Shamad pula di jalan itu. Kami menuju ke Narinang dan seterusnya ke Kota Belud.

Kami menginap di Rumah Rehat Kota Belud. Keesokannya, sebelum pukul lapan pagi kami sudah berada di Sekolah Kebangsaan Tamau yang terletak kira-kira lima belas kilometer dari Kota Belud. Usai bertugas di situ, kami meneruskan perjalanan melalui jalan kampung ke jalan raya menuju ke Kota Marudu. Kami tidak singgah di Kota Marudu. Kami terus ke Kampung Rosob yang terletak di antara Kampung Pinggan-pinggan dengan Pitas. Guru yang akan kami selia sudah memberikan panduan bahawa dari kampung itu kami akan menaiki bot untuk ke Kampung Malubang.

Rumah keluarga guru itu di tepi pantai dan lebih kurang lima puluh meter dari masjid. Selepas menunaikan solat jamak zuhur dan asar, kami ke rumah itu. Mak cik dan pak cik keturunan Suluk menyambut kami. Kedua-dua suami isteri itu ramah. Anak mereka banyak dan kebanyakannya perempuan. Dua tiga orang anak mereka sudah besar panjang. Mereka malu-malu apabila melihat kami.

Kami bersyukur kerana mereka sudah menyediakan makanan tengah hari. Kami menikmati hidangan itu pada waktu petang, kira-kira dua jam lewat dari waktu yang sepatutnya. Kami mengucapkan rasa syukur. Kami mengucapkan terima kasih berkali-kali atas layanan baik mereka.

Semasa makan, kami diberitahu bahawa guru Sekolah Kebangsaan Malubang itu dan isterinya akan tiba pagi esok. Kami juga diberitahu bahawa bot sewa sudah ada. Tuan bot akan datang esok pagi juga.

Pak cik dan mak cik mempelawa kami menginap di rumah mereka. Saya perasan Shamad ingin menerima pelawaan mereka. Saya segera menolak pelawaan itu. Shamad sudah beranak tiga. Saya masih bujang. Walaupun saya sudah bertunang, penglihatan orang bujang sukar dikawal. Shamad mengikut rentak saya dan memberitahu pak cik dan mak cik bahawa pada malam itu kami hendak beriktikaf di masjid.

Pada pagi esoknya, pemilik bot yang kami sewa datang awal. Dia dan kami bersarapan bersama-sama pak cik dan mak cik. Ketika kami sedang bersarapan, guru itu dan isterinya muncul. Guru itu kurus dan agak pucat. Isterinya gemuk dan ceria. Mereka ikut meneguk kopi dan menjamah makanan walaupun berkali-kali mereka mengatakan mereka sudah bersarapan. Jelaslah bahawa adat Suluk dan Melayu sama. Minuman yang terhidang perlu diteguk, makanan perlu dijamah. Kata emak saya, sehelai sapu tangan tetap mempunyai ruang dalam beg pakaian yang padat.

Cikgu itu pendiam. Isterinya lebih banyak menjawab soalan kami berbanding dengan dirinya. Berkali-kali isterinya berkata, “Cikgu ini kurang sihat, tuan. Harap-harap dia dapat mengajar esok.”

Guru itu mencelah sesekali sahaja. Katanya, “Saya cuba, cikgu. Insya-Allah!”

Penyelaras kursus ada berpesan bahawa guru yang tidak hadir atau hadir tetapi tidak mengajar, sewajarnya mendapat gred gagal. Guru yang tidak mempunyai rekod pengajaran yang lengkap juga wajar digagalkan. Masalahnya, jikalau kegagalan terjadi, penyeliaan kali kedua perlu dilakukan. Jikalau guru itu masih, gagal, penyeliaan kali ketiga oleh pensyarah yang kanan atau penyelaras kursus sendiri perlu dilaksanakan.

Bagi guru di pedalaman, ada kelonggaran penyeliaan. Dua orang pensyarah penyelia boleh datang sekali sahaja. Mereka boleh melakukan penyeliaan bersama-sama sebanyak dua kali pada hari yang sama. Penyeliaan serentak bagi satu masa dianggap dua kali penyeliaan. Penyeliaan serentak sebanyak dua kali sehari dianggap penyeliaan itu sebanyak empat kali, iaitu penyeliaan minimum guru pelatih kursus sepenuh masa.

Selain itu, jikalau kedudukan sekolah itu terlalu sukar untuk dihubungi dan sekali lawatan memakan masa tiga hari atau lebih, sekali lawatan sudah memadai. Sekiranya dalam lawatan tunggal itu hanya sekali penyeliaan dapat dilakukan, hal itu juga sudah memadai. Hal yang penting, ada bukti pensyarah penyelia benar-benar berada di sekolah itu dan ada lembar pemerhatian yang membuktikan penyeliaan sudah dilaksanakan.

Hujan renyai-renyai. Angin teluk bertiup kencang. Di pantai, pemilik bot mundar-mandir. Dia melihat ombak yang bergulung. Buih putih berlari-larian menuju ke pantai, menghilang dan muncul lagi. Guru itu dan isterinya juga berada di pantai. Mereka turut mundar-mandir. Sesekali mereka berbual dengan tuan bot. Kami melihat gelagat mereka dari halaman rumah mak cik.

Sesudah lebih sejam kami menunggu, belum ada tanda bot itu akan turun ke laut yang bergelora untuk menduga ombak. Guru itu datang ke tempat kami.

Katanya, “Kita tunggu sekejap lagi, tuan. Gelombang dijangka reda sebentar lagi.”

Mak cik datang. Shamad berbual dengannya tentang perbomohan. Saya meninggalkan mereka. Saya menuju ke pantai. Hujan sudah reda. Ketinggian ombak semakin berkurangan. Namun buih putih masih berkejar-kejaran. Saya menghampiri tuan bot.

Dia berkata, “Kita tunggu sekejap lagi, tuan. Bulan Oktober ini ayam putih memang banyak.”

Saya mengangguk dan berkata, “Baiklah, pak cik. Tugas kami pun bermula esok.”

Seperti kelaziman orang Sabah, saya memohon maaf kepada tuan bot sebelum beredar.

Saya mengganggu perbualan Shamad dengan mak cik. Saya bertanya, “Mak cik, pak cik bot itu kata ayam putih. Apakah maksudnya?”

Mak cik memberitahu bahawa ayam putih itu ialah ombak yang menghasilkan buih putih. Dia juga meminta kami bersabar kerana lazimnya ayam putih akan hilang menjelang tengah hari dan muncul semula pada waktu petang. Saya mengucapkan terima kasih kepadanya.

Kelaziman yang dinyatakan berlaku. Selepas beberapa minit pukul sebelas pagi, kami menaiki bot. Saya dan Shamad duduk di atas papan lintang di tengah bot. Shamad di belakang saya. Pemilik bot mengemudikan bot di buritan. Isteri guru itu duduk di atas papan lintang di bahagian haluan. Suaminya duduk di atas papan penutup haluan.

Perjalanan bot lancar. Haluan bot yang terjongket menampar ombak dan menghasilkan bunyi kelepak-kelepak. Saya hanya berbaju lengan pendek. Bahagian tangan saya yang terdedah berasa sejuk. Tidak lama kemudian bot berada di tengah laut. Selepas itu bot berada di antara laut yang luas dengan daratan yang bertebing batu. Mulai tempat itu tiupan angin semakin terasa. Haluan bot liar. Jurumudi sentiasa menggerakkan haluan ke kiri atau ke kanan. Kelajuan bot berubah-ubah; sesekali laju, adakalanya perlahan.

Bersambung: (32) Dilambung Ombak

Tiada ulasan: