16 September 2012

Penyeliaan di SK Terusan Sugut 1982: Tidur Duduk

Sabah Tempat Bermain
Pada penggal ketiga tahun 1982, Ahmad mengajak saya untuk menyelia guru KDC di Sekolah Kebangsaan Terusan Sugut pula. Beberapa hari sebelum kami pergi ke sekolah itu, dia memberitahu saya bahawa kami akan menaki bot ke sana.

“Kali ini kita melalui laut, bukan sungai,” katanya.

Saya bertanya, “Berapa jam perjalanan ke sana?”

Dia menyatakan bahawa masa perjalanan bergantung pada beberapa perkara seperti jenis bot, keupayaan enjinnya dan keadaan cuaca. Jikalau perjalanan dengan bot laju berenjin kecil dan cuaca baik, perjalanan mengambil masa antara dua hingga tiga jam. Jikalau perjalanan dengan bot laju berenjin besar, iaitu tiga puluh kuasa kuda atau lebih, masa perjalanan lebih pendek. Jikalau kita menggunakan bot tambang yang besar, perjalanan mengambil masa lima jam atau lebih.

Ahmad meminta saya menunggunya di pangkalan Sandakan. Pada hari yang ditetapkan, awal pagi lagi saya sudah berada di pangkalan itu. Banyak bot nelayan berlabuh di situ. Semua bot itu besar.

Apabila Ahmad tiba, dia berkata sambil menunjuk ke satu arah, “Bukan di sini. Di sa … na!”

Kami berjalan ke sebatang jeti pendek. Di situ sebuah bot besar milik Jabatan Laut Sabah berlabuh. Beberapa bot kecil berenjin sangkut tertambat pada tiang jeti itu. Semua bot itu sama saiznya atau lebih kecil daripada bot yang ditinggalkan oleh pak cik bot di Kampung Telaga dalam perjalanan ke Kampung Malubang. Saya akan angkat beg dan kembali ke maktab sekiranya bot yang seperti itu yang akan membawa kami ke Terusan Sugut. Tiada sebarang bot besar menuju ke jeti pendek itu.

“Isa, di sini!” seru Ahmad dari belakang saya.

Saya menoleh. Ahmad sudah berada di atas dek bot besar Jabatan Laut Sabah. Seorang lelaki tampan yang berambut pendek memberi salam kepada saya dan mempersilakan saya naik ke atas dek. Kami bersalaman. Ahmad memperkenankan saya kepada lelaki tampan itu dan dua orang pemuda yang berambut pendek juga. Mereka tinggi dan segak. Dia menyebut nama lelaki tampan itu dan menyatakan tugasnya sebagai juragan. Dia juga menyebut nama dua orang lelaki segak dan menyatakan tugas mereka ialah anak kapal atau awak-awak. Mereka ialah kakitangan Jabatan Laut Sabah. Mereka berpakaian biasa.

Enjin kapal kecil itu terbina dalam dan tidak kelihatan. Bahagian tengahnya ada binaan khas beratap, berdinding dan ada tingkap kecil. Ruang jurumudi di bahagian hadapan binaan itu. Di bawah binaan itu ada ruang seperti bilik dan dapat diubah suai untuk menjadi tempat tidur. Di bahagian haluan dan buritan ada pengadang atau langkan keluli. Penumpang boleh berehat di atas dek di haluan dan di buritan.

Pergerakan bot besar itu lebih laju berbanding dengan bot nelayan yang pernah saya naiki. Cuaca redup, angin bertiup sepoi-sepoi, alunan ombak lembut. Kelajuan bot sekata dan gerakannya membelah Laut Sulu segaya. Saya dan Ahmad berdiri di haluan sepanjang perjalanan.

Ahmad memberitahu saya bahawa maktab kami menanggung kos minyak bot dan tuntutan perjalanan juragan dan kedua-dua orang anak kapal itu. Maktab kami juga menanggung kos minyak kereta pacuan empat roda dan tuntutan perjalanan Bachik semasa kami menyelia di Daerah Kinabatangan dahulu. Ahmad menguruskan perjalanan kami dengan bot Jabatan Laut untuk ke sekolah itu kerana jalan yang lazim, iaitu melalui jalan raya dan kemudiannya sungai, lebih berliku cara pengurusannya dan lebih lama masa perjalanannya.

Kami tiba di muara Sungai Sugut sesudah berada di Laut Sulu selama lebih kurang lima jam. Ahmad menunjukkan bangkai sebuah bot di muara sungai itu. Bot yang sudah rosak teruk dan hampir reput itu kira-kira dua kali lebih besar daripada bot yang kami naiki. Kata Ahmad, bot itu tersadai kerana jurumudinya tersilap memilih alur pada musim tengkujuh dalam cuaca gelap dan gelombang besar. Saya mengucapkan syukur kepada Ilahi kerana melindungi perjalanan kami.

Bot kami berlabuh di pangkalan yang terletak tiak jauh dari sekolah rendah. Selepas menunaikan solat jamak takhir zuhur dan asar, Ahmad pergi ke sekolah untuk berbincang dengan guru yang akan diselia dan menguruskan makan minum kami. Saya, juragan dan kedua-dua orang anak kapal berehat di atas dek.

Malam itu saya tidur seorang diri di bilik dalam kapal itu. Ahmad tidur di rumah yang tidak saya ketahui. Saya tidak tahu tempat juragan dan anak-anak kapalnya melelapkan mata. Ada dua kali saya naik ke atas dek selepas pukul satu malam. Setiap kali saya naik ada seorang kakitangan Jabatan Laut Sabah itu berjaga. Saya tertidur dengan nyenyaknya mungkin selepas pukul dua pagi.

Saya berasa seolah-olah saya terbaring di atas air. Saya kesejukan tetapi hanya kaki saya menggeletar. Saya tersedar dan terjaga. Kedua-dua kaki saya basah. Air menitik dari bumbung bot. Di luar hujan renyai-renyai. Tingkap bot tidak rapat. Angin dan sedikit tempias mengenai tubuh saya. Saya duduk di satu sudut lain beberapa lama dan akhirnya terlelap kembali dalam keadaan duduk.

Seperti guru-guru KDC yang lain, guru yang kami selia sudah berumur. Dia bergelar Syed. Tutur bicaranya santun. Rekod praktikumnya lengkap dan persediaannya untuk sesi penyeliaan hari itu cukup baik. Satu daripada sesi perbincangan dilakukan di pondok di hadapan sekolah. Ahmad memainkan peranan aktif dalam perbincangan.

Selepas perbincangan rasmi, kami berbual pula tentang beberapa hal termasuk sejarah kampung itu. Syed menyatakan bahawa dahulu kampung itu pernah diganggu oleh lanun. Lanun merampok dan merosakkan harta benda orang kampung seperti yang digambarkan dalam filem Melayu.

Alhamdulillah, perjalanan kami pulang sama tenangnya dengan perjalanan pergi. Kini, apabila saya teringat pengalaman menaiki kapal itu, saya senyum sendirian. Sesungguhnya peristiwa dua orang pensyarah menyelia seorang guru KDC dengan menaiki kapal kecil yang dikendalikan oleh tiga orang kakitangan sangat istimewa dan tidak berulang sehingga saya bersara pada tahun 2008.

Bersambung: Diserang oleh Nyamuk

Tiada ulasan: