15 September 2012

Perihal Saraweh dan Meramas

Saraweh ialah sebutan rakan-rakan saya daripada suku kaum Dusun bagi sejenis ikan sungai. Antara rakan saya itu termasuklah Tahar Haji Daud dan Arifin Yungkit. Asing Ansawang, rakan saya daripada suku kaum Murut juga menggunakan sebutan saraweh. Bunyi /h/ dalam sebutan mereka kurang kedengaran. Oleh itu kerapnya mereka menyebut /sarawe/.


Dalam bahasa Melayu saraweh ialah ikan selimang. Nama saintifiknya Crossocheilus oblongus. Menurut Wikipedia, ada dua jenis selimang, iaitu selimang batu dan selimang batang. Dalam catatan ini saya menggunakan nama saraweh sahaja.

Saya pernah giat mencari ikan di Sabah pada tahun lapan puluhan dan sembilan puluhan. Berdasarkan pengalaman itu, saraweh hanya terdapat di sungai yang berbatu-batu dan airnya mengalir deras seperti Sungai Pegalan di Keningau dan Sungai Sugut dalam Kampung Mangkapoh di Ranau. Seorang penulis blog pula menangkap ikan itu di Sungai Bil, Perak.

Saraweh bersisik. Mulutnya menghala ke bawah. Bahagian hadapan perutnya agak rata. Kedudukan mulut dan bentuk bahagian hadapan perutnya itu memudahkan saraweh melekap pada batu ketika mengerik dan menyunyut lumut.

Panjang badan pemakan lumut itu yang pernah saya tangkap adalah antara lima hingga lapan inci. Lebarnya kurang daripada gabungan dua jari. Dari segi warna, saraweh yang saya peroleh keperakan tetapi saraweh yang ditangkap oleh penulis blog itu keemasan.

Dari segi kelazatan, saya meletakkan saraweh di tempat ketiga bersama-sama sejenis ikan lain yang belum saya ingat namanya. Pada saya, johan kelazatan ikan air tawar masih disandang oleh kelah (Tordouronensis tambroides) atau nama lainnya pelian di Sabah dan emperau di Sarawak. Naib johan disandang oleh ketutu (Oxyeleotris marmoratus) atau nama lainnya ikan ubi.

Dari segi harga, berdasarkan harga di Tamu Keningau dan Tenom pada tahun 1990-an dan dekad pertama kurun ini, harga saraweh lebih kurang dua puluh peratus daripada harga pelian. Ya, murah. Hal itu rasanya disebabkan oleh tulang saraweh yang terlalu banyak dan halus.

Hanya dua cara isteri dan mentua saya memasak saraweh, iaitu digoreng dan direbus. Lazimnya air rebusan dikeringkan dan saya namakan pindang kering. Menurut beberapa orang rakan saya, ada orang memakan saraweh mentah yang hanya digaram dan dilimau. Bahkan, kata mereka ada orang memakan isi perut saraweh seperti kita memakan kerang.

Saraweh adalah antara ikan terbaik untuk dibuat pekasam atau bosou dalam bahasa Dusun. Menurut seorang rakan saya, bosou tersedap ialah bosou ikan “betuan menahu”, diikuti oleh bosou ikan rokot. Kedua-dua ikan itu mempunyai habitat dan tabiat pemakanan yang sama dengan saraweh. Isteri dan mentua saya tidak pernah membuang saraweh yang saya peroleh walaupun anak saraweh yang baru sepanjang dua inci. Anak-anak saraweh dan saraweh kecil itu mereka jadikan bosou.

Pemakan lumut itu tidak memakan umpan pancing, tidak pernah terkurung dalam jala kami walaupun mata jala itu kecil, jauh sekali tersangkut pada mata pukat. Ikan kecil itu cekap menyorokkan diri di dasar sungai, terutamanya di ruang sempit antara atau di bawah batu.

Ada orang menangkap saraweh dengan menggunakan jeramak. Saya menggunakan dua cara yang tersendiri. Cara pertama yang menghasilkan tangkapan yang banyak biarlah menjadi rahsia. Di sini saya perikan penangkapan saraweh dengan cara “meramas”.

Saya meramas saraweh di Sungai Sugut dalam Kampung Mangkapoh, Ranau pada awal tahun lapan puluhan. Pada masa itu saya ada urusan di Sekolah Menengah Kebangsaan Malinsau, tidak jauh dari Mangkapoh. Saya tinggal di rumah seorang ustaz. Dia mengajak saya meramas ikan di sungai pada waktu malam bersama-sama dua orang pelajarnya.

Di tebing sungai itu, seorang pelajar memberikan taklimat ringkas kepada saya tentang cara meramas. Mudah sahaja, katanya. Cikgu meniarap, kaki ke arah hilir dan kepala ke arah hulu. Dalam keadaan meniarap itu, bergeraklah perlahan-lahan ke atas, iaitu menongkah aliran sungai. Masukkan kedua-dua tangan di ruang sempit di bawah batu-batu yang sederhana besarnya. Apabila terasa licin pergerakan ikan, cepuklah!

Saya dan dua orang pelajar itu meramas di jeram yang airnya cetek, iaitu antara buku lali hingga paras lulut. Air yang deras dan sejuk serta jeram yang berbatu-batu menyukarkan pergerakan secara meniarap. Saya berusaha memeluk batu yang licin dan menghulurkan tangan ke bawah batu. Berpuluh-puluh kali saya terasa gerakan. Berpuluh-puluh kali pula saya gagal mencekup ikan.

Setelah beberapa lama, kedua-dua orang pelajar itu naik ke atas tebing. Wah, ikan saraweh yang dicucuk pada rotan, bergantungan pada pinggang mereka! Ikan itu disimpan di dalam bekas di hadapan ustaz yang berdiri sebagai pemerhati. Seorang pelajar mengulangi tatacara meramas. Ustaz memberikan kata-kata semangat kepada saya. Saya dan pelajar itu turun ke dalam sungai semula. Rotan untuk mencucuk ikan terikat di pinggang kami.

Seperti percubaan pertama, dalam percubaan kedua markah kosong menanti saya. Berbagai-bagai hal melintas dalam fikiran. Baung berduri. Sengat sembilang bisa. Benda yang panjang dan licin itu … hi! Namun saya tidak berputus asa. Cekupan demi cekupan saya lakukan. Satu daripada cekupan itu berhasil. Alangkah kembangnya hati saya ketika mencucuk saraweh dengan rotan pada sisi penutup insang dan terus ke mulutnya.

Saya terus meniarap, bergerak, menghulurkan tangan ke bawah batu dan mencekup sesuatu yang saya fikirkan ikan. Saya memperoleh seekor ikan lagi. Rupa-rupanya masa yang saya gunakan untuk menangkap dua ekor ikan itu terlalu lama. Ustaz meminta saya berhenti kerana kedua-dua orang pelajarnya sudah naik ke atas tebing dan ikan bergantungan di pinggang mereka.

Saya naik ke atas tebing dan menunjukkan dua ekor ikan hasil usaha saya meramas kepada ustaz dan dua orang pelajar itu. “Ini sahaja yang saya dapat,” kata saya.

Ustaz berkata, “Ini sudah bagus, cikgu. Ada orang tidak mendapat apa-apa kali pertama meramas.”

Seorang pelajar menambah, “Betul, cikgu. Apabila sudah biasa, rasanya cikgu boleh mengalahkan kami.”

Alangkah kembangnya hati saya!

Siri Flora dan Fauna
(1) Senduduk Ungu Kekal Sahabat
(2) Pelian: Nama dan Harga
(3) Ikan Puyu Si Ikan Karuk, Dipindang Kering

Tiada ulasan: