04 Ogos 2009

Konsep Perpaduan dalam Gagasan Satu Malaysia

Pada 3 April 2009, Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak memperkenalkan gagasan “Satu Malaysia; Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan”. Gagasan ini merupakan kesinambungan gagasan terdahulu, khususnya Wawasan 2020.

Pada 15 Jun 2009, Dato’ Sri Mohd Najib menjelaskan konsep gagasan ini kepada Dewan Rakyat. Beliau menyatakan, Satu Malaysia mahu memastikan “bangsa Malaysia” menggembleng tenaga untuk mencapai Wawasan 2020. Beliau berkata, “Apabila kita bersatu padu akan lahir sebuah negara yang kukuh dan stabil.” Tegasnya, perpaduan menjadi perkara pokok dalam gagasan ini.

Rencana utama majalah Dewan Masyarakat keluaran Ogos 2009 yang bertajuk “Satu Malaysia Kesinambungan Aspirasi Negara” menjelaskan konsep perpaduan dalam gagasan ini. Rencana tulisan Aninah Janang itu menyatakan, konsep perpaduan berbeza daripada konsep asimilasi. Asimilasi mewujudkan jati diri kebangsaan dengan melenyapkan jati diri kaum. Sebaliknya, perpaduan mewujudkan jati diri kebangsaan dan tetap memelihara jati diri kaum.

Perpaduan di Malaysia sudah bermula sebelum merdeka. Hal ini berlaku apabila tiga parti politik yang berasaskan kaum bergabung. Parti politik itu ialah United Malay National Organisation (Umno), Malaysian Chinese Association (MCA) dan Malaysian Indian Congress (MIC). Ketiga-tiga parti ini bergabung dan membentuk Parti Perikatan. Tegasnya, dalam satu gabungan yang bersifat kebangsaan ada tiga parti yang berasaskan kaum.

Pada tahun 1973, Parti Perikatan menukar namanya menjadi Barisan Nasional. Pada masa itu ahli gabungannya bertambah banyak, termasuklah parti yang berasaskan kaum dari Sabah dan Sarawak. Barisan Nasional mewarisi dan mengukuhkan konsep perpaduan Parti Perikatan. Gagasan Satu Malaysia pula mempopularkan semula konsep perpaduan itu.

Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 pada awal tahun 2008 menyaksi kedudukan Barisan Nasional mulai goyah. Hal ini mungkin menggugat perpaduan kebangsaan. Dato’ Sri Mohd. Najib menunjukkan kebijaksanaannya dengan mengemukakan gagasan Satu Malaysia demi mengukuhteguhkan perpaduan itu.

Penulis rencana utama Dewan Masyarakat keluaran Ogos 2009 yang dinyatakan tadi merumuskan bahawa gagasan Satu Malaysia merupakan percubaan terbaik Dato’ Sri Mohd. Najib untuk meraih semula kepercayaan rakyat terhadap kerajaan pimpinan Barisan Nasional.

Tiada ulasan: