01 November 2009

Jawapan/Jawaban dari Beberapa Sudut Pandangan

Perkataan “jawaban” terakam dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (KDEK) cetakan pertama, yang terbit pada tahun 2005. Saya hanya menyedari perkara ini pada bulan Januari tahun 2009. Pada ketika itu, beberapa banyak blog guru Bahasa Melayu sudah menggunakan kata “jawaban” sebagai menggantikan “jawapan”.

Keghairahan guru Bahasa Melayu menggunakan kata “jawaban” sebagai menggantikan “jawapan” menyebabkan saya berasa seperti orang ketinggalan komuter. Apatah lagi beberapa orang penulis blog menyatakan bahawa kata “jawaban” menepati proses pembentukan kata bahasa Melayu. Kata dasar “jawab” menjadi “jawaban” apabila mendapat imbuhan -an.

Kata “jawaban” tidak terakam sebagai terbitan bagi kata masukan “jawab” dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga, termasuk versi digital di Laman Karya.Net dan E-Kamus versi 1.0. Hasil carian di Laman Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) menunjukkan Kamus Pelajar Edisi Kedua masih menggunakan kata “jawapan”.

Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi (DKBM) ialah buku yang paling berwibawa dari segi pentahkikan ejaan. DKBM Edisi Kedua yang terbit pada tahun 2008, iaitu dua tahun selepas terbitnya KDEK, tidak menyenaraikan kata terbitan “jawaban”. Apabila saya merujuki Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (TDEK) yang terbit pada tahun 2008 juga, saya mendapati TDEK masih menggunakan kata “jawapan”.
Ayat contoh yang di bawah menunjukkan penggunaan kata “jawapan” dalam TDEK, Nahu Kemas Kini cetakan kedua tahun 2009 karangan Profesor Dr. Asmah Haji Omar, dan majalah Dewan Bahasa keluaran Julai 2009.

1. Kesemua ayat di atas, yang merupakan ayat tanya tanpa kata tanya, boleh dijawab dengan jawapan ya, tidak, atau bukan seperti yang terdapat dalam contoh berikut: …. (TDEK, halaman 444)
2. Selain cara penggolongan yang berdasarkan struktur, ayat tanya boleh juga dilihat dari segi jawapan yang dikehendaki, iaitu sama ada ayat tanya tertutup ataupun ayat tanya terbuka. (TDEK, halaman 447)
3. Ayat tanya tertutup ialah ayat yang memerlukan jawapan ya atau tidak/bukan, dan ayat tanya terbuka ialah ayat tanya yang jawapannya tidak terhad kepada perkataan ya atau tidak/bukan tetapi sebaliknya bergantung pada maksud yang terkandung dalam ayat tanya tersebut. (TDEK, halaman 447)
4. Jawapan bagi ayat (27) (ii) terdapat dalam bentuk frasa kerja. (NKK, halaman 208)
5. Dengan demikian, jika kata/frasa tanya berkenaan merupakan kata/frasa tanya adverba waktu, maka jawapannya juga menganggotai subsistem berkenaan. (NKK, halaman 209)
6. Oleh hal demikian, beliau mencabar khalayak untuk berfikir dan menjawab sesuatu soalan, yang jawapan tersebut memihak kepada pendirian individu. (Dewan Bahasa, Julai 2009, halaman 48)
Butiran yang saya nyatakan ini menyebabkan saya belum membiasakan diri untuk menggunakan kata “jawaban”. Kesukaran untuk melakukan perubahan itu bertambah apabila saya dapati pihak Khidmat Nasihat Bahasa (KNB) mencadangkan agar kita menggunakan “perkataan yang sudah selesa penggunaannya dengan kita”, iaitu “jawapan”.
Kesukaran saya untuk melakukan perubahan meningkat apabila saya meneliti dua masukan Blog Bahasa Melayuku. Kesimpulan masukan pertama, berdasarkan daftar ejaan, ejaan “jawaban” itu salah. Ejaan yang betul ialahjawapan”. Klik di sini untuk membaca penjelasannya. Kesimpulan masukan yang kedua, berlakunya penyahsuaraan menyebabkan [b] gugur dan digantikan dengan [p]. Hal ini menghasilkan sebutan [ja.wa.pan]. Klik di sini untuk membaca penjelasannya.

Majalah Pelita Bahasa keluaran Oktober 2009 menyiarkan pandangan Munsyi Dewan tentang perkara ini. Rumusannya, jawapan tepat, jawapan masih boleh digunakan. Munsyi Dewan menggalakkan pembaca Pelita Bahasa menggunakan perkataan yang tepat itu.

Saya mengambil keputusan untuk terus menggunakan perkataan “jawapan”. Pengguna bahasa Melayu boleh membuat pilihan sendiri. Namun, apabila pilihan itu ialah “jawaban”, sebutannya perlulah [ja.wa.ban]. Berdasarkan DKBM, sebutan [ja.wa.pan] adalah untuk perkataan “jawapan”.

--------------------------------------------------
Nota (29 Oktober 2009)

Isu ini dibincangkan dalam majalah Pelita Bahasa keluaran November 1993. Dalam ruangan “Tanya Jawab” majalah itu dinyatakan bahawa Radin Ginoh pernah menulis tentang isu ini dalam majalah Bahasa terbitan Dewan Bahasa Cawangan Sarawak. Dalam tulisan itu Radin Ginoh menyatakan bentuk “jawaban” betul.

Rumusan pihak majalah Pelita Bahasa adalah seperti yang berikut:

“Kalau mengikut prinsip pembentukan kata dalam bahasa Melayu, memanglah alasan dan hujah pihak pertama tadi yang betul; kata terbitan bagi ‘jawab’ sepatutnya ‘jawaban’. Tetapi oleh sebab bentuk ‘jawapan’ ini sudah dianggap mantap, maka diterima sebagai kekecualian.”

1 ulasan:

Mohd Isa Abd Razak berkata...

“Selain jawaban, kata-kata yang patut dipertahankan dan digunakan ialah, kewajiban, keajaiban, peradaban, ketakjuban, ketabiban, dan ketaasuban,” ujar Radin Ginoh dari Sri Aman Sarawak. Rujuk komentar “Perlu Dogmatis Mempertahankan Bentuk Gramatis”, Pelita Bahasa, Disember 1993.