10 Januari 2010

Celik Huruf: Benarkah Kaedah Fonik Versi Nik Eliani dan Othman Berkesan?

Petikan catatan di Facebook:

Respons Cikgu Dk Normah merupakan maklumat terkini tentang keberkesanan Kaedah Fonik Versi Nik Eliani dan Othman atau Kaedah Bacalah Anakku. Maklumat kembali seperti ini sangat berguna. Saya berkata demikian kerana Nik Eliani dan Othman mendakwa bahawa buku Siri Cepat Membaca, Bacalah Anakku sudah terbukti berjaya mencelikhurufkan kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun, murid tahun 1 dan murid pemulihan. Sayangnya, bukti itu tidak terdapat dalam buku yang berkenaan – sama ada berupa kajian atau testimonial. Maklumat kembali oleh Cikgu Dk Normah dapatlah dianggap sebagai testimonial .


Setakat ini saya baru menerima tiga respons tentang keberkesanan Kaedah Fonik Versi Nik Eliani dan Othman atau Kaedah Bacalah Anakku. Pengungkapan semula (parafrasa) atau petikan langsung respons itu adalah seperti yang berikut:

Saya menggunakan buku ini dan anak saya sudah pandai membaca seawal lima tahun. – Dk Normah Pg Nasib (guru di sebuah sekolah rendah di Sabah)

Saya menggunakan buku ini untuk anak saya. Saya dapati kaedah ini berkesan. – Ustaz Halue (guru sebuah sekolah rendah, Port Dickson, Negeri Sembilan)

“Yang saya ingin tekan di sini bahawa buku ini memang sesuai untuk anak-anak yang baru belajar membaca. Buku Siri Cepat Membaca ini tidak menekankan anak-anak untuk mengenal huruf tetapi mereka ditekankan untuk mengenal bunyi huruf.” – Mohd Ariffin (pengurus pendidikan, Lahad Datu, Sabah)

Ketiga-tiga respons ini berasaskan pengalaman mencelikhurfkan anak sendiri. Kita menunggu respons mereka yang menggunakan kaedah ini untuk murid prasekolah dan pemulihan khas.

Setelah melakukan “tinjauan mudah” saya membuat rumusan: Nampaknya Kaedah Abjad masih dalam ingatan guru dan mereka yakin untuk terus menggunakannya. Tinjauan selepas input: tiga kumpulan mencadangkan Kaedah Abjad (yang sudah diubah suai) terus digunakan.

Jikalau ada guru prasekolah dan guru pemulihan yang membaca masukan ini, saya mohon berikanlah respons ringkas tuan/puan dalam ruangan ulasan.

1 ulasan:

Sahirursah YY berkata...

Assalamualaikum cikgu,

Saya telah mencuba sedikit sahaja kaedah fonik ini. Bak kata orang, lain padang lain belalang. Murid saya nampaknya agak sukar dalam mempelajari kaedah ini. Sebagai guru, kita mendepani realiti bahawa akan ada ibu bapa yang membantu mengajar anak mereka di rumah. Bahkan, di kelas lain guru-guru lain juga akan mengajar mereka.

Oleh itu, saya rasa jika ingin kaedah ini berlangsung dengan jayanya, penggunaan kaedah ini hendaklah bersepadu antara ibu bapa dan guru-guru kelas lain. Secara mudahnya, penetapan sistem asas yang tetap adalah kaedah fonik. Maka insyaAllah kaedah ini dapat dijayakan.

Jika guru sahaja mengajar, maka itu adalah tidak cukup. Sementelahan, murid yang diajar kurang motivasi dalam latih tubi di rumah.

Sekian, sekilas pengalaman dan pandangan.