28 Februari 2010

Hari Bahasa Ibunda Sedunia: Peluang untuk Menguar-uarkan Usaha Pelestarian Bahasa Suku Kaum seperti Bahasa Dusun, Bajau dan Murut

Hari ini sudah hari terakhir bulan Februari. Peristiwa yang mendapat perhatian istimewa saya pada bulan Februari tahun ini ialah sambutan Hari Pejuang Bahasa 152 (HPB152). Di Facebook saya, perbincangan tentang HPB152 dan Sumpah Setia Bahasa agak hangat. Perbincangan itu, perbincangan tentang “Empat Kisah Menarik”, celik huruf dan lain-lain menyebabkan saya lewat mencatat satu lagi peristiwa dalam bulan Februari, iaitu Hari Bahasa Ibunda Sedunia (International Mother Language Day).

Persidangan Umum Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 17 November 1999 mengisytiharkan tarikh 21 Februari sebagai Hari Bahasa Ibunda Sedunia. Sambutannya bermula pada tahun 2000 dan tahun ini ialah sambutan yang kesebelas.

Organisasi bahasa dan budaya di pelbagai negara menyambut Hari Bahasa Ibunda Sedunia secara sederhana. Berdasarkan maklumat dalam Portal UNESCO, aktiviti utama sambutan tahun 2009 ialah acara khas di Paris pada 20 Februari dan seminar antarabangsa di Salzburg, Austria pada 21 Februari. Pada tahun 2010 ini pula satu simposium antarabangsa tentang terjemahan dan pengantaraan budaya diadakan di Paris pada 22 dan 23 Februari lalu.

UNESCO mengadakan sambutan Hari Bahasa Ibunda Sedunia sebagai mengiktiraf kepelbagaian bahasa dan budaya dalam kalangan penduduk dunia. Selain itu, sambutan ini juga menjadi bukti bahawa UNESCO mengakui pelestarian bahasa ibunda di samping menggalakkan penggunaan lebih daripada satu bahasa dalam sesebuah negara.

Sebenarnya, sambutan Hari Bahasa Ibunda berpunca daripada satu peristiwa di Bangladesh. Pada 21 Februari 1952, empat orang pelajar universiti negara itu terbunuh semasa mereka berkempen untuk menjadikan bahasa ibunda mereka, iaitu bahasa Benggali, sebagai bahasa rasmi. Jadi tarikh itu diperingati sebagai Hari Pergerakan Bahasa dan menjadi hari cuti umum.

Malaysia adalah antara negara yang mempunyai banyak bahasa ibunda. Jadi, Malaysia merupakan satu daripada 28 buah negara yang menyokong cadangan pengisytiharan 21 Februari sebagai Hari Bahasa Ibunda oleh UNESCO.

Menurut Tuan Lee Ban Chen (Malaysiakini 26 Februari 2003), negara kita mula menyambut Hari Bahasa Ibunda Sedunia pada tahun 2003. Menurut beliau, penganjur sambutan itu ialah Pusat Pengajian Tinggi Dong Jiao Zong. Menurutnya lagi, sambutan itu mendapat kerjasama badan bahasa pelbagai kaum, termasuk Persatuan Linguistik Malaysia, Yayasan Penyelidikan dan Pembangunan Pendidikan Tamil Malaysia, Yayasan Bahasa Kadazandusun dan Institut Penyelidikan Borneo.

Hasil carian di Internet menunjukkan bahawa sambutan Hari Bahasa Ibunda Sedunia di Malaysia tidak ketara. Pada tahun 2008 hanya ada beberapa pertubuhan yang merayakan hari itu, termasuklah Universiti Kebangsaan Malaysia. Sambutan untuk 2009 dan 2010 ini tidak dapat saya kesan. Pelbagai pihak seperti DBP dan pertubuhan bukan kerajaan yang berasaskan suku kaum mungkin ada melakukan sambutan di sana sini. Jikalau pengunjung mengetahui adanya sambutan itu, catatkanlah butirannya dalam ruangan ulasan.

Dari segi pelestarian bahasa ibunda, negara kita terkehadapan. Sebelum wujudnya Hari Bahasa Ibunda Sedunia lagi negara kita sudah melestarikan bahasa ibunda. Yang paling ketara ialah penjagaan bersistem dan rapi bahasa ibunda kaum Cina dan India sebagai bahasa pengantar pendidikan dan bahasa komunikasi. Yang terkini, mesej iklan pelbagai bahasa di televisyen dapat ditafsirkan sebagai menyarankan kepada kita bahawa gagasan Satu Malaysia amat prihatin dengan kelangsungan bahasa ibunda kedua-dua kaum itu sebagai bahasa komunikasi.

Selain itu, negara kita menjaga bahasa ibunda suku kaum. Tiga bahasa yang mendapat perhatian istimewa dan diajarkan di sekolah ialah bahasa Semai, Iban dan Kadazandusun. Di sekolah rendah, pengajaran ketiga-tiga bahasa ini diperuntukkan 120 minit seminggu dan diajarkan di luar jadual waktu rasmi.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mempunyai peranan melestarikan bahasa suku kaum. Selain menerbitkan buku teks bahasa suku kaum, DBP mempunyai Projek Kajian Kosa Kata Bahasa Sukuan sejak tahun 1985. Untuk bahasa suku kaum di Sabah, menurut Tuan Abdul Naddin, DBP sudah menerbitkan 15 buah buku daftar. Antara buku yang sudah diterbitkan termasuklah Daftar Kata Bahasa Sukuan Sabah, Bahasa Melayu-Bahasa Murut Tahol (2005) dan Daftar Kata Bahasa Sukuan Sabah: Bahasa Melayu - Bahasa Bajau Sama (2005).

Bahasa kebangsaan kita dapat dianggap sebagai sungai besar. Puncanya ialah sungai kecil. Bahasa ibunda, khususnya bahasa suku kaum, ialah sungai kecil. Jikalau banyak dan jernih air yang mengalir daripada sungai kecil itu, maka akan banyak dan jernihlah bahasa kebangsaan kita. Oleh sebab itu, pelestarian bahasa suku kaum wajar mendapat perhatian kita.

Hari Bahasa Ibunda Sedunia pada 21 Februari setiap tahun dapat menjadi alat untuk kita menghargai bahasa suku kaum yang turut memperkaya kosa kata bahasa kebangsaan kita. Pihak media cetak dan media elektronik boleh menyiarkan apa-apa bahan yang difikirkan sesuai pada 21 Februari. Bahan itu sebaik-baiknya bersumber daripada satu jawatankuasa yang majoriti anggotanya terdiri daripada wakil pertubuhan suku kaum. Sebaik-baiknya jawatankuasa kebangsaan itu diselaraskan oleh DBP.

Perhimpunan mingguan di sekolah wajar mengetengahkan perkara ini. Sekurang-kurangnya, satu makluman lisan yang ringkas disampaikan dalam perhimpunan itu. Kemudian, adakan aktiviti seperti bacaan puisi suku kaum dan terjemahannya dalam bahasa kebangsaan.

Di dalam bilik darjah di seluruh negara, guru Bahasa Melayu boleh menggunakan masa beberapa minit untuk menguar-uarkan perkara ini. Beberapa aktiviti pendek seperti menterjemahkan kosa kata bahasa suku kaum kepada bahasa kebangsaan boleh diadakan. Apa-apa aktiviti itu hendaklah bertujuan menghargai sumbangan bahasa suku kaum yang turut memperkaya bahasa kebangsaan.

Saya tidak pasti sama ada pertubuhan suku kaum, khususnya di Sabah dan Sarawak, mengambil berat perkara ini ataupun tidak. Jikalau tuan/puan ada maklumat tentang perkara ini kongsikanlah di sini.

Pada hemat saya, Hari Bahasa Ibunda Sedunia berkemungkinan untuk menjadi satu daripada alat untuk melestarikan bahasa ibunda seperti bahasa Dusun, Bajau dan Murut. Pembaca mungkin mempunyai pandangan yang sama, hampir sama atau bertentangan dengan pandangan saya.

1 ulasan:

Pia berkata...

Lapang rasanya dapat membaca info sebegini. Semoga setiap usaha kita dalam melestarikan keberadaan bahasa ibunda dirahmati Tuhan. Tuhan tentu ada sebab kenapa ada kepelbagaian bahasa di alam maya ini. Alhamdulilah