01 September 2011

Al-Fatihah untuk Datuk Dr. Hassan Ahmad


Pada petang 31 Ogos 2011, tokoh bahasa Melayu yang kita sayangi, Datuk Dr. Haji Hassan Ahmad, meninggalkan kita buat selama-lamanya. Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir kira-kira pukul 2.00 petang di rumahnya di Petaling Jaya.

Innalillahi wainna ilaihi rajiun. Daripada-Mu kami datang, maka kepada-Mu kami kembali. Saya memetik ayat Tuan Kembara Bahasa, “Kita mesti meredhai (meredai – DBP) takdir Allah yang menetapkan usia, rezeki, jodoh dan segala yang berkaitan dengan kehidupan.”

Saya doakan agar Allah mengampuni dosa beliau, mencucuri rohnya dengan rahmat dan menempatkannya dalam kalangan roh orang yang soleh. Al-Fatihah ... Amin!

Masukan di Blog Sambung-menyambung

Rabu Ogos 31, 2011
Pemergian Dr. Hassan Ahmad, Negara Hilang Tokoh Bahasa Berpengalaman Luas

KUALA LUMPUR: Pengerusi Yayasan Karyawan dan bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Hassan Ahmad yang meninggal dunia Rabu adalah tokoh berpengalaman luas dalam pelbagai aspek penerbitan buku, penyelidikan, pengurusan, serta perancangan bahasa dan sastera.

Ini bermakna negara hari ini kehilangan seorang tokoh bahasa yang disegani dalam membina dan mengembangkan bahasa dan sastera selepas dilantik sebagai ketua pentadbir institusi itu.

Berkat kesungguhan dan kegigihannya, serta pengalaman luas dalam lapangan penyelidikan, Allahyarham muncul sebagai pentadbir yang cukup berkemampuan dalam pengembangan dan perancangan bahasa serta sastera.

Allahyarham Hassan, 74, yang meninggal dunia selepas mengadu sakit perut pada pukul 2 petang ini di kediamannya di Petaling Jaya di sini, meninggalkan balu Datin Hamimi Mohamad Shariff, 68, serta *dua anak perempuan Aida dan Hasmirawati.

Hassan memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam sebagai Penolong Pegawai Daerah di Pontian, Johor pada 1962, namun meninggalkan bidang itu dan menyertai DBP sebagai Pegawai Penyelidik pada 1963.

Sepanjang 13 tahun di DBP, beliau naik setakuk demi setakuk iaitu dari pegawai penyelidik kepada ketua bahagian penyelidikan, pemangku pengarah, pengarah dan akhirnya ketua pengarah.

Sepanjang tempoh itu, Allahyarham berjaya memperkemas dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang moden dan saintifik serta berupaya menerbitkan bahan-bahan bacaan dalam bahasa Melayu.

Beliau bukan sahaja *menumpukan terhadap lapangan perancangan bahasa dan sastera, penerbitan dan kemajuan serta pengurusan dan pemasaran buku, malah juga dalam bidang terjemahan.

Anak sulung daripada lapan beradik yang dilahirkan dalam keluarga bekas pegawai polis itu menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Mersing (1942-1943) dan Sekolah Melayu Muar (1945-1948).

Selepas itu, anak kelahiran Muar, Johor tersebut melanjutkan pelajaran di Sekolah Tinggi Muar sehingga lulus peperiksaan Sijil Persekolahan pada 1955.

Beliau kemudian diterima belajar di Maktab Melayu Kuala Kangsar dan lulus Sijil Tinggi Pelajaran (1957) sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Malaya dan memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera pada 1959.

Selepas menamatkan pengajiannya di universiti, beliau menjadi Penolong Pegawai Daerah Pontian pada 1962. - BERNAMA

Tiada ulasan: