17 September 2012

Dua Das Tembakan


Sabah Tempat Bermain
Saya menerima tugas sebagai penyelia seorang guru KDC di Sekolah Kebangsaan Bongon dengan senang hati. Saya sudah mendapat maklumat daripada beberapa orang pekerja maktab bahawa sekolah itu tidak jauh dari maktab kami. Penyeliaan boleh dilakukan sehari, termasuk perjalanan pergi dan balik.

Pada masa itu saya sudah mempunyai pengalaman mengemudikan perahu. Sudah lebih setahun saya memiliki sebuah perahu terpakai dan enjin sangkut lapan kuasa kuda. Saya sudah menguasai laluan perahu di perairan Sungai Kayu, Kampung BDC, Pulau Nunuyan, Pulau Berhala Darat dan perairan laluan kapal di hadapan Bandar Sandakan hingga ke Tanjung Aru di seberangnya. Saya berhasrat untuk menambah pengalaman itu. Saya hendak mengemudikan perahu sendiri dari Bandar Sandakan ke Sekolah Kebangsaan Bongon pula.

Kegiatan utama saya di laut ialah memukat. Sesekali saya memancing, berkunjung ke rumah seorang pekerja maktab di Pulau Nunuyan, berkelah di Pulau Berhala, melihat pemprosesan udang kering di Tanjung Aru atau bersiar-siar. Rakan yang paling kerap bersama-sama saya dalam kegiatan itu ialah Shamad. Kerap juga Shamad mengemudikan perahu.

Sebenarnya Shamad adalah antara guru saya tentang selok-belok di laut. Keturunan nelayan Kuala Terengganu itu bukan sahaja cekap mengemudikan perahu bahkan mahir berdayung. Tubuhnya sasa. Lengannya padu. Semangatnya kuat. Ada beberapa kali enjin perahu kami gagal dihidupkan. Dia mengambil alih peranan enjin. Oleh sebab dayung hanya sebilah, saya duduk di haluan sehingga perahu tiba di tambatan. Jadi rakan terbaik untuk menemani saya ke Sekolah Kebangsaan Bongon ialah Shamad.

Rancangan saya untuk ke sekolah itu dengan mengemudikan perahu sendiri dan hanya berdua dengan Shamad diketahui oleh beberapa orang rakan, termasuk Saroh. Dia menyatakan bahawa laluan kapal antara Bandar Sandakan dengan Tanjung Aru kerap bergelora. Adakalanya Laut Sulu yang dilalui untuk ke sekolah itu juga bergelora. Dia mencadangkan agar kami membawa seorang penunjuk jalan dan mampu berperanan sebagai jurumudi. Dia sudah mengenal pasti seorang pemuda yang sanggup melaksanakan tugas itu. Kami menerima cadangannya.

Pada suatu pagi dalam tahun 1983, kami menunggu kehadiran pemuda itu di tambatan yang dijanjikan. Dia memanggil nama saya dari atas pelantar. Dia memperkenalkan diri dan masuk ke dalam perahu. Dia duduk di tengah. Shamad di haluan. Saya memulakan perjalanan.

Belum sampai dua minit perahu itu bergerak, dia bangun dan menghalakan pandangan ke haluan. Mungkin disebabkan oleh jeritan enjin dan tiupan angin, dia berseru dengan suara yang kuat, “Tuan, kita berpatah dahulu!”

Saya mematuhi permintaannya. Dia memohon maaf dan mengambil alih tugas jurumudi daripada saya. Kami kembali ke tambatan. Saya bersangka baik. Rasanya dia ada firasat atau sudah melihat petanda. Sementelahan beberapa bulan sebelum itu saya meninggalkan lubuk di hadapan Pulau Nunuyan secara tergesa-gesa.

Pada masa itu saya memancing dengan Ku Bahaudin. Kerapu dan beberapa jenis ikan karang yang kami peroleh sudah banyak. Saya berasa perahu bergerak. Di sisi perahu, air laut mengalir bagai air sungai. Sampah dan ranting hanyut. Kami menggulung pancing. Saya menarik sauh dan menghidupkan enjin. Saya mengemudikan perahu mengikut arus dan sedikit demi sedikit saya menyisihkan pergerakan perahu. Kami selamat tiba di tambatan.

Di tambatan, pemuda itu menyuruh kami menaiki perahunya yang lebih panjang daripada perahu saya tetapi kurang sedikit lebarnya. Dia membuka pengapit enjin dan memasang enjin perahu saya itu di buritan perahunya.

Dia berkata, “Perahu tuan kita tinggalkan di sini. Kita gunakan perahu saya.”

Saya mengangguk tetapi terkilan kerana dia terus bertindak selaku jurumudi. Namun saya menghormati kebertanggungjawabannya. Saya yakin bahawa pemuda pilihan Saroh itu bukan sembarangan orang. Dia pelaut. Laut tempatnya mencari rezeki. Pasti pengetahuan, pengalaman dan kemahirannya tentang laut terlalu jauh jaraknya bagai jarak Semenanjung dengan Sabah apabila dibandingkan dengan pengetahuan, pengalaman dan kemahiran saya.

Shamad tersengeh seolah-olah memerli saya. Saya buat-buat tidak nampak. Demi keselamatan kami, saya mengakui hakikat bahawa saya bukanlah pelaut. Saya pensyarah. Tempat saya mencari rezeki ialah bilik kuliah.

Firasat pemuda itu tepat. Di laluan kapal antara Bandar Sandakan dengan Tanjung Aru, angin bertiup kencang. Gelombang pun bertandang. Dia mengemudikan perahu secekap pak cik yang mengiringi kami ke Sekolah Kebangsaan Malubang pada tahun 1980.

Angin dan gelombang hanya di laluan kapal itu. Perjalanan seterusnya tenang.

Kami mendarat di pantai yang putih bersih betul-betul di hadapan sekolah. Pemuda itu menarik perahunya hingga tersadai di pantai. Kami melompat tanpa terkena air. Sekolah itu kecil. Bangunannya daif. Murid sedikit. Guru itu mengajar di kelas bercantum.

Secara umumnya, guru itu berkemampuan mendidik murid. Kami tidak menemukan apa-apa masalah disiplin. Berdasarkan pengalaman yang lalu, apabila seseorang guru KDC tiada masalah disiplin, dia datang ke sekolah, melaksanakan pengajaran dan rekod pengajarannya ada, perkhidmatannya sebagai guru wajar diteruskan. Itu hasrat Jabatan Pendidikan Negeri Sabah. Mutu, alat bantu pengajaran dan sebagainya, bukanlah perkara utama.

Maklumat yang saya peroleh sejurus sebelum catatan ini saya siapkan menunjukkan bahawa pada tahun 2009 murid sekolah itu cuma 27 orang. Guru hanya lapan orang. Menurut seorang rakan buku wajah saya, jarak sekolah itu dari Sandakan ialah 80 kilometer. Pada tahun 2012, sekolah itu terkelompok dalam sekolah pedalaman yang melayakkan guru-guru menerima elaun sebanyak RM1,000.00 sebulan.

Pengiring dan jurumudi kami memberitahu bahawa apabila larut petang lazimnya laut bergelora. Jadi kami perlu pulang segera. Sesudah menikmati juadah yang disediakan oleh guru itu dan membalas ucapan selamat jalan daripadanya, perahu kami bergerak perlahan-lahan, kemudian laju dan seterusnya sehabis laju. Saya berasa pantai putih dan landai itu keberatan untuk melepaskan kami. Nyiur yang melambai seolah-olah mengirimkan salam melalui angin agar kami kembali ke sekolah pedalaman itu lagi.

Saya dan Shamad menanggalkan tali leher. Saya membuka baju dan kasut. Saya melilitkan tuala mandi nipis berjalur merah putih di kepala. Saya kelihatan seperti nelayan bersemutar. Tubuh saya yang kecil, kurus dan kulit saya yang hitam kerana kerap berjemur di laut memungkinkan orang menganggap saya keturunan Suluk. Pernah beberapa orang guru pelatih baharu memanggil saya pak cik semasa minggu suai kenal.

Tiba-tiba kedengaran dua das tembakan berturut-turut. Bunyinya cukup kuat. Saya pasti bunyi tembakan itu ditujukan kepada kami tetapi mungkin tidak mengenai sasaran. Saya terkejut. Shamad tergamam.

Saya cemas. “Lanun?” saya bertanya.

“Bukan,” jawab jurumudi kami.

Dia memperlahankan pergerakan perahu dan mengalihkan haluan ke pantai di sebelah kanan. “Itu tembakan amaran oleh pasukan keselamatan,” tambahnya.

Jurumudi kelihatan tenang. Katanya, pergerakan perahu yang terlalu laju ketika kami melintasi kawasan itu dan cara saya berpakaian mungkin menyebabkan anggota pasukan keselamatan itu menganggap kami pelarian.

Perahu kami merapati pelantar. Seorang anggota pasukan keselamatan yang berpakaian seragam polis hutan dan memegang senjata api M16 berdiri di atas pelantar itu. Seorang rakannya memerhati kami dari khemah di bawah beberapa batang pokok yang rendang.

“Dari mana?” soal polis hutan itu.

“Kami dari Bongon. Pensyarah ini melawat ke sekolah,” kata jurumudi kami.

Saya segera memberi salam dan memperkenalkan diri. Kemudian saya memperkenalkan Shamad dan jurumudi kami. Saya juga menyatakan bahawa kami dalam perjalanan pulang ke Maktab Perguruan Sandakan setelah menyelesaikan tugas di Sekolah Kebangsaan Bongon. Saya yakin, polis hutan yang masih muda itu dapat membezakan pertuturan dan sebutan pensyarah dari Semenanjung dengan sebutan pelarian Filipina.

“Ooo…!” serunya. “Baik-baik jalan, cikgu.”

Saya dan Shamad mengucapkan terima kasih dan assalamualaikum kepadanya. Kami mengangkat tangan kanan sebagai tanda hormat dan selamat berpisah.

Hasrat saya untuk mengemudikan perahu sendiri semasa melaksanakan tugas rasmi berkecai. Peluang itu tidak berulang sehinggalah saya bersara.

Bersambung: Kegiatan di Ranau

Tiada ulasan: