25 November 2009

Benarkah Bahasa Melayu Teras Bahasa Kebangsaan?

Kamus Dewan Edisi Keempat memberikan tiga makna bagi perkataan “teras”. Yang pertama, teras ialah bahagian yang keras dalam batang kayu atau dikenali juga sebagai hati kayu. Yang kedua, teras ialah bahagian beras dan lain-lain yang sudah dibersihkan. Yang ketiga, teras ialah kiasan bagi sesuatu yang terpenting, isi yang terbaik, atau sesuatu yang menjadi asas atau dasar bagi sesuatu.

Bahasa Melayu "Teras" Bahasa Kebangsaan

"Sebagai lambang identiti bangsa, maka bahasa Melayu yang menjadi teras kepada bahasa kebangsaan yang menyatukan semua kaum di negara ini menjadi ciri atau simbol yang membezakan Malaysia dengan negara-negara di dunia.”
Azman Ismail, “Titik Persamaan dalam Bahasa Kebangsaan”, Dewan Bahasa, Oktober 2009, halaman 21.

Pedoman Bahasa (JPEG) 071. Minda Penulis.

Peranan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan – Tan Sri Muhyiddin

Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara mempunyai peranan besar dalam menegakkan identiti dan jati diri bangsa Malaysia, dan fungsinya sebagai bahasa perpaduan dalam negara berbilang kaum seperti Malaysia sangat dominan,” ujar YAB Tan Sri Muhyiddin bin Haji Mohamad Yassin ketika melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan di Kuching pada 6 Oktober 2009.

Pedoman Bahasa (JPEG) 070. Minda Tokoh Timbalan Perdana Menteri.

24 November 2009

Empat Fungsi Kata Ganti Nama -Nya

Sari “Soal Jawab Bahasa” (SJB), majalah Pelita Bahasa, November 2009.

Ada empat fungsi kata ganti nama -nya.
  1. Kata -nya berfungsi sebagai kata ganti nama dia seperti dalam ayat “Kereta itu dipandu olehnya”.
  2. Kata -nya menunjukkan kepunyaan seperti dalam ayat “Itu keretanya”.
  3. Kata -nya berfungsisebagai penekan seperti dalam ayat “Hujan yang lebat itu nampaknya belum ada tanda untuk berhenti”.
  4. Kata -nya berfungsi sebagai pembenda seperti dalam ayat “Sakitnya bukan main kepalang”.

Tulisan Lama dan Buku Teks Bahasa Malaysia 2011

Hari ini saya membaca beberapa tulisan lama yang tersiar di akhbar. Antara tulisan yang menarik perhatian saya ialah tulisan Nyza Ayob yang bertajuk “Tukar Bahasa Melayu kepada Malaysia, Keputusan Politik Tanpa Rujuk Pakar”. Tulisan itu tersiar dalam Harakahdaily.Net keluaran 13 Jun 2007.

23 November 2009

Strategi 3M untuk Mencelikhurufkan Murid

Kerenah murid Orang Asli pernah dibincangkan dalam satu seminar. Seorang pembentang kertas kerja menyatakan, kesediaan murid tahun satu untuk belajar rendah. Mereka hadir ke sekolah sekali-sekala. Kehadiran beberapa orang murid lebih kurang 50 hari sahaja setahun.

Antara murid yang hadir itu pula, ada yang enggan masuk ke dalam kelas. Mereka memilih untuk menjadi pemerhati. Mereka berdiri di luar kelas dan memerhati rakan-rakan mereka belajar. Golongan ini akan meninggalkan sekolah jikalau ditegur atau dimarahi. Sesetengahnya terus tidak hadir ke sekolah untuk satu tempoh yang panjang. Pihak sekolah perlu memujuk golongan ini untuk kembali bersekolah.

Pembentang kertas kerja menyatakan, strategi 3M mampu meningkatkan kehadiran murid tahun satu Orang Asli ke sekolah dan seterusnya masuk ke dalam kelas. Strategi 3M untuk Orang Asli bermaksud makan, main dan muzik. Dengan menggunakan strategi ini, guru dapat melaksanakan aktiviti untuk mencelikhurufkan mereka.

Makanan yang popular dalam kalangan Orang Asli ialah ubi kayu. Guru menyediakan ubi kayu rebus, bakar atau goreng. Ketika murid itu sedang makan ubi, guru berbual-bual dengan mereka tentang ubi. Murid menyebut perkataan ubi berulang kali. Murid juga menyatakan warna ubi, rasa ubi dan apa-apa yang berkaitan dengan ubi. Hal ini diketengahkan dengan cara yang ada unsur permainan dan muzik.

Guru dapat mengetengahkan perkataan seperti “ubi”, “ibu”, “ada” dan “abu” dalam aktiviti ini. Kemudian murid bermain huruf dengan. Guru perlu kreatif untuk memanipulasi penggunaan kad, doh, plastisin dan sebagainya.

Murid boleh terus bermain sambil mendengar muzik. Mereka juga boleh menyanyi lagu vokal dan konsonan yang diambil daripada aktiviti makan ubi. Guru perlu bijaksana mengubah suai kaedah fonik atau kaedah gabungan bunyi kata. Inilah gambaran umum dan ringkas tentang strategi 3M yang terdedah dalam seminar itu.

Berdasarkan perbualan dengan beberapa orang guru tahun satu dan guru pemulihan khas, pisang juga merupakan objek yang berkesan untuk aktiviti mencelikhurufkan murid. Pisang berjenis-jenis, pelbagai warna, pelbagai rasa dan dapat dimanipulasi dengan pelbagai cara.

Seorang guru pernah menceritakan caranya memanipulasi keistimewaan pisang itu. Dia menggunakan pisang sebagai bahan rangsangan utama aktiviti pergerakan, lisan, permainan dan nyanyian. Murid boleh makan pisang pada akhir aktiviti tertentu. Dengan perkataan lain, dia mendahulukan “main” (termasuk melalui pergerakan) dan “muzik” sebelum “makan”.

Guru tahun satu dan guru pemulihan khas di kawasan pedalaman memang kreatif menggunakan bahan sumber pengajaran dan pembelajaran. Selain ubi dan pisang, mereka juga memanfaatkan pelbagai buah lain seperti buah getah, buah saga dan buah tarap. Pendeknya, mereka memanfaatkan flora dan fauna di persekitaran mereka dalam program celik huruf. Sumber daripada alam sekitar itu menyokong strategi 3M.

20 November 2009

Beberapa Pandangan tentang Bahasa Kebangsaan

Beberapa hari ini saya menggunakan masa lapang untuk menyemak tajuk makalah dalam majalah Pelita Bahasa terbitan tahun 2007. Saya sempat membaca beberapa makalah. Antaranya termasuklah makalah “Taraf Bahasa Melayu dalam Perlembagaan” tulisan Tuan Mohd Pauzi Mahmad yang tersiar dalam majalah itu, keluaran Ogos. Ada dua isi makalah itu yang wajar saya kongsikan bersama-sama dengan para pembaca.

Guru Bahasa Berbahasa: Situasi dan Harapan

Ada dua makna “berbahasa”. Maknanya yang pertama ialah “menggunakan bahasa”. Ungkapan “menggunakan bahasa” pula dapat bermakna bertutur atau menulis yang “biasa-biasa sahaja” dan dapat juga bermakna menggunakan bahasa baku dengan sopan dan bergaya. Malah, “menggunakan bahasa” juga dapat bererti menggunakan bahasa asal ada seperti menggunakan bahasa rojak dalam sembang di Facebook.

16 November 2009

Bin, Binti dan *Binte

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, “bin” bermaksud “anak lelaki kepada” dan digunakan pada nama orang lelaki seperti Ali bin Abdullah. “Binti” pula bermaksud “anak perempuan kepada” dan digunakan pada nama orang perempuan seperti Aminah binti Abdullah.

“Bin” dan “binti” ialah kata nama am. Lazimnya, kita menulis kata nama am dengan menggunakan huruf kecil sepenuhnya. Antara nama contoh yang lengkap termasuklah “Ali bin Abu” dan “Aminah binti Syarif”. Huruf awal “Ali”, “Abu”, “Aminah” dan “Syarif” menggunakan huruf besar kerana perkataan-perkataan ini ialah nama khas. Jikalau kita menulis “Ali *Bin Abu” dan “Aminah *Binti Syarif”, hal ini bermakna kita sudah menukar nama am “bin” dan “binti” menjadi nama khas. Perlakuan songsang seperti ini perlu kita elakkan.

Namun, dalam keadaan tertentu, kita boleh menulis kedua-dua perkataan ini dengan huruf besar sepenuhnya. Antara keadaan itu termasuklah apabila kita menulis nama penuh selepas tandatangan dalam surat rasmi. Contohnya,

(MOHD AMIN BIN ABDUL WAHAB)
Pengarah,
Jabatan X.

Walau bagaimanapun, apabila nama penuh itu menjadi tajuk sesuatu, kita mesti menulis huruf pertama kedua-dua perkataan ini dengan huruf besar. Hal ini dikatakan demikian kerana semua huruf pertama dalam sesuatu tajuk, kecuali kata sendi yang tidak terletak pada kedudukan awal, hendaklah menggunakan huruf besar. Contohnya, Riwayat Muhammad Bin Abdullah ialah tajuk buku dan “Jovinia Binti Abdullah” ialah tajuk filem.

Kita mungkin pernah menemukan penulisan nama penuh seperti *UdA bIn jAntAn, *BeTTY BiNTi LaJaNGKiP dan NORmilah BINti NGAlimin. Apabila kita teliti, penulisan nama penuh ini berasaskan sistem tertentu. Sayangnya, bahasa Melayu tidak menerima pakai sistem ini. Jadi, hindarilah diri kita daripada menjadi penganut sistem ini.

Dalam situasi yang tidak formal, kita boleh menggunakan kependekan “b.” untuk “bin” dan “bt.” untuk “binti”. Dalam situasi formal seperti dalam surat rasmi, tidaklah wajar kita menggunakan kependekan seperti ini. Malah, kita mesti mengelakkan diri daripada menggunakan kependekan “b.” dan “bt.” dalam komunikasi tidak formal.

Kependekan “b.” menggunakan dua aksara. Apabila ditambah satu aksara lagi, lengkaplah menjadi “bin”. Kependekan “bt.” pula menggunakan tiga aksara. Apabila ditambah dua aksara lagi, lengkaplah menjadi “binti”.

Apabila kita menggugurkan satu atau dua aksara, tulisan kita kelihatan kontot. Supaya kemas, gunakanlah perkataan penuh. Perhatian untuk wanita, penggunaan perkataan penuh dapat menutup peluang lelaki miang daripada membaca “bt.” sebagai “batu”. Inilah pendapat seorang rakan saya.

Seperkara lagi, carian di Pusat Rujukan Persuratan Melayu pada hari ini menunjukkan bahawa perkataan *binte tidak terdapat dalam bahasa Melayu. Jadi, kependekan * bte. juga sepatutnya tidak wujud. Jikalau kita pernah menggunakan perkataan *binte atau kependekan *bte., eloklah kita berhenti menggunakannya mulai hari ini.

14 November 2009

Modul Literasi Bahasa Melayu Tahun Satu

Kemas kini 1: 15 Januari 2010.

http://www.scribd.com/doc/23981538/LINUS-KONSEP-LITERASI

LINUS - KONSEP LITERASI

Blog Akademik Bahasa menyatakan, 30 orang guru Bahasa Melayu tahun satu di Kelantan menghadiri Mesyuarat Pemurnian dan Cuba Uji Modul Literasi Bahasa Melayu Tahun Satu untuk Program LINUS 2010. Mesyuarat itu berlangsung di sebuah hotel di Terengganu pada 10 – 11 November 2009.

Blog itu juga menyatakan, modul itu dibangunkan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dengan kerjasama Jurulatih Utama Bahasa Melayu peringkat negeri. Modul itu akan digunakan untuk melatih guru-guru Bahasa Melayu tahun satu di seluruh negara bermula Disember 2009 hingga Februari 2010.

Catatan blog itu menarik perhatian saya. Saya ingin tahu maksud LINUS. Adakah modul itu sebahagian daripada pendekatan modular?

Saya akan cuba mencari maklumat ini di Internet. Pasti usaha saya itu memakan masa. Jikalau ada pengunjung yang sudah terjumpa pautan yang berkaitan, mohon catatkan pautan itu dalam ruangan ulasan. Jikalau ada pengunjung yang mengetahui perkara ini, baik sangat kemukakan catatan sederhana dalam ruangan ulasan.

Terima kasih saya ucapkan kepada sesiapa yang sudi membantu saya.


Khamis, 17 Disember 2009

Kursus Program LINUS Guru Tahun 1 2010

Program Literasi dan Numerasi (LINUS) akan mula dilaksanakan mulai 2010 hingga 2012 di seluruh negara. Program LINUS yang bertujuan memastikan semua murid Tahun 1 pada 2010 dapat menguasai kemahiran asas membaca, menulis (literasi) dan mengira (numerasi) selepas tahun 2012, iaitu berada di Tahun 4. Pelaksanaan program LINUS ini merupakan sebahagian daripada NKRA Kementerian Pelajaran Malaysia yang disasarkan menjelang tahun 2012.

Sehubungan itu, semua guru Tahun 1 yang mengajar Bahasa Melayu dan Matematik diwajibkan mengikuti kursus pengajaran dan pembelajaran modul LINUS mulai tahun 2010. Kursus tersebut yang dikendalikan oleh Bahagian Pendidikan Guru, KPM akan dilaksanakan di seluruh negara mengikut zon negeri masing-masing. Bagi guru-guru negeri Kelantan, kursus akan dilaksanakan mengikut PPD masing-masing sebagaimana tarikh dan tempat yang telah ditetapkan. Bagi semua guru Bahasa Melayu dan Matematik yang mengajar di tahun 1, jadual kursus boleh dirujuk sebagaimana lampiran Jadual Kursus berikut: http://www.ziddu.com/download/7787687/TarikhKursusLINUS.docx.html.

Sumber: http://akademikbahasa.blogspot.com/2009/12/kursus-program-linus-guru-tahun-1-2010.html.

Resolusi Utama Konvensyen Pedagogi Bahasa Melayu Serantau

"Memastikan hanya guru opsyen Bahasa Melayu yang mengajarkan mata pelajaran Bahasa Melayu.” Inilah resolusi utama Konvensyen Pedagogi Bahasa Melayu Serantau Pertama di Seremban pada 3 – 5 November 2009.

Pencapaian KIA2M 2006 – 2008


1 – 6 Februari 2009 Ujian Penapisan
21 – 26 Jun 2009 Ujian Pelepasan 1
1 – 6 November 2009 Ujian Pelepasan 2
Pada bulan September 2009, terdapat 85,000 orang murid tahun satu yang masih belum menguasai 2M. (Berita Harian Online, 12 September 2009)