17 November 2012

Batang Gaharu Buruk (Kemas Kini)

Sabah Tempat Bermain

1982: Shamad, Haji Liwangsa, MIAR
Pada pertengahan tahun 1982, Shamad, Ramli dan saya mengikut rakan kami, Tanalol Haji Liwangsa, memukat ikan di Danau Botong. Danau itu terletak di kampung Tanalol, iaitu Kampung Sentosa Jaya, kira-kira 100 kilometer dari Sandakan. Kami ke sana dengan keretanya.

16 November 2012

Jalan di Sa ... na! (Kemas Kini)

Sabah Tempat Bermain
Pada penggal ketiga tahun 1981, saya dan Ramli Yusop ditugaskan untuk menyelia praktikum guru KDC di Ranau. Seorang guru bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Paus. Sekolah itu terletak di pedalaman. Simpang ke sekolah itu terletak di antara Telupid dengan Pekan Ranau dan jaraknya dari Pekan Ranau kira-kira 62 kilometer.

15 November 2012

Mendirikan Masjid

Sabah Tempat Bermain
KK, 1981: Ibu dan Anak
Di sekolah, tiga kali saya mengalami cuti hujung tahun dan saya nikmati sepenuhnya. Tiada urusan sekolah. Saya tidak pulang ke Negeri Sembilan kerana isi dompet tidak seberapa. Sebahagian isi dompet yang tidak seberapa itu saya kirimkan kepada ibu. Tindakan itu lebih baik berbanding dengan mengayakan syarikat pengangkutan, khususnya syarikat penerbangan yang mengenakan tambang yang tinggi pada masa itu.

Di maktab, cuti hujung tahun penuh dengan kegiatan. Apabila guru pelatih biasa pulang, guru KDC tiba. Mereka lebih ramai daripada guru pelatih biasa. Ruang asrama tidak mencukupi. Ada antara mereka tinggal di luar kampus. Mereka membawa kerja kursus untuk dikumpul dan diperiksa. Kuliah padat, termasuk hari Sabtu dan malam. Beban tugas pensyarah juga berganda.

14 November 2012

Urusan Rasmi dalam Bahasa Melayu

Sabah Tempat Bermain
Selain bertunang, kembali merokok dan dilambung ombak, satu lagi peristiwa penting yang saya alami pada tahun 1980 ialah pertemuan khas untuk membincangkan tuntutan Persatuan Bahasa Cina (PBC) maktab kami. Peristiwa itu berlaku selepas saya pulang dari Pitas dan merupakan rentetan peristiwa sebelumnya.

Pada suatu hari, Penasihat PBC, Encik Chin Shi Cin memberitahu saya bahawa pelajar-pelajarnya akan mengemukakan tulisan dalam bahasa Cina untuk Inti Sari, iaitu majalah maktab. Selaku Penasihat Sidang Pengarang Inti Sari, saya menyatakan bahawa penulisan deskriptif dan kreatif dalam bahasa Cina untuk majalah itu memang dibenarkan. Walau bagaimanapun, laporan tahunan rasmi seperti laporan kegiatan PBC dan kumpulan Program Pendidikan Awal Kanak-kanak (PPAK) Pengajian Cina (PC) hendak ditulis dalam bahasa Melayu. Encik Chin berjanji akan menyampaikan pandangan saya itu kepada para pelajarnya.

11 November 2012

Bertugas di Luar

Sabah Tempat Bermain
Bertugas di luar bermaksud bertugas di luar ibu pejabat. Menurut Perintah Am Bab B yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 1974, ibu pejabat ialah satu lingkungan kawasan yang dikira dari pejabat atau tempat seseorang itu biasa melaporkan diri untuk bertugas. Yang dimaksudkan lingkungan kawasan pula ialah kawasan sejauh 15 batu apabila menggunakan jalan raya, atau 10 batu apabila melalui jalan tanah yang boleh dilalui oleh kenderaan bermotor, atau lima batu apabila melalui jalan basikal atau sungai. Takrif ini mungkin berubah dari semasa ke semasa.

10 November 2012

Cita-cita, Kerjaya dan Citra Diri

Sabah Tempat Bermain
Sebelum saya bertunang, saya menerima sepucuk surat daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur. DBP menawarkan jawatan Pegawai Penyelidik Bahasa, Sastera dan Penerbitan di DBP Cawangan Sabah kepada saya. Saya diminta untuk melaporkan diri kepada Pengarah DBP Cawangan Sabah di Kota Kinabalu secepat yang mungkin.

Saya menulis surat kepada DBP. Saya menyatakan bahawa saya menerima tawaran itu tetapi belum boleh melaporkan diri kerana terikat untuk meneruskan perkhidmatan yang sedia ada. Saya memohon jasa baik DBP agar menghantar surat kepada pihak yang berkenaan bagi melepaskan saya daripada ikatan itu. DBP menunaikan permintaan saya dan menghantar surat rayuan agar Kementerian Pelajaran Malaysia melepaskan saya daripada ikatan syarat latihan di maktab dan sebagai penerima dermasiswa. Salinan surat rayuan itu dikirimkan kepada saya. Setelah beberapa minggu tiada jawapan, DBP mengirimkan sepucuk surat ulangan. Kementerian Pelajaran Malaysia membalas surat itu dengan menyatakan bahawa tenaga saya masih diperlukan. Pelepasan tidak dibenarkan.

09 November 2012

Menandatangani Perjanjian

Sabah Tempat Bermain
Betty dan Shamad, 2012
Shamad berasal dari Kuala Terengganu. Selepas menamatkan latihan perguruan di sebuah maktab di Semenanjung, dia ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Mat Saleh. Di situ dia bertemu dengan gadis Kadazan dari Penampang bernama Betty. Betty guru sekolah rendah. Dia memeluk agama Islam dan berkahwin dengan Shamad.

Pada bulan Januari 1980, Shamad ditukarkan ke Maktab Perguruan Sandakan. Ketika itu dia sudah mempunyai tiga orang anak. Oleh sebab Betty belum mendapat surat pertukaran, dia ke Sandakan seorang diri. Selepas melaporkan diri, dia bertanya kami tentang rumah sewa. Rakan-rakan saya mengatakan bahawa rumah sewa yang berhampiran dengan maktab sukar diperoleh. Pada waktu tiada kuliah, saya mengajak dia ke tempat kediaman saya yang terletak kira-kira sepelaung dari kelompok bangunan akademik.

07 November 2012

Pensyarah Permulaan

Sabah Tempat Bermain
Di Sandakan, saya, Mohamad Daud, Melah dan Abdul Jabar tinggal di hotel yang sama. Saya sebilik sendirian. Mohamad dan keluarga sebilik pula. Petang itu kami bersiar-siar di bandar. Keesokannya, hari Ahad. Kami melawati rakan kami di Sekolah Menengah Kebangsaan Tiong Hua. Kami makan tengah hari di rumahnya.

Pada hari Isnin, Mohamad dan keluarganya mengikut saya ke Maktab Perguruan Sandakan. Pemandu teksi memberitahu bahawa jalan yang kami lalui ialah Jalan Labuk. Katanya, jalan itu menuju ke Lapangan Terbang Sandakan dan boleh sampai ke Batu 32. Di sana ada simpang untuk ke Telupid dan Tawau.

04 November 2012

Puisi: Hujan Kenangan

Bibit kenangan terbenam
dalam kolam hati suram
di lembah jiwa gersang.

Sesudah berdasawarsa
tengkujuh pun tiba
hujan turun dengan lebatnya.

Kolam hati banjir
bibit kenangan mengalir
tumbuh dalam kotak fikir.

Hanya beberapa saat
bibit kenangan merimbun
hanyut dalam banjir kilat.

Kenangan subur berbunga
menyerlahkan warna
menebarkan wanginya.

Kilat menyambar
hujan kenangan terbakar
hangus dalam lubuk akal
seorang pendekar.

Mohd Isa bin Abd. Razak
Port Dickson
4 November 2012

03 November 2012

Puisi: Mengepak Pergi

1
Di daerah tanah rata
puteri Brunei dan Kedayan
berpakaian kemas, bertudung sopan
menjaga perlakuan dan pertuturan.

Antara mereka ada dayang
ayu, keibuan dan penyayang
senyumannya sedekah
teragih kepada pemuda berfikrah
melayan hati menurut fitrah.

Pada hari yang dinanti
pemuda menerima puisi:
Ya adib, ya akhi
syukran jazilan atas perhatian
bunga tidak seharum mana
sudah ditanda sang kumbang desa
ukhti tiada upaya mengubah suratan-Nya.

2
O tanah datar
biarkan daku mengepak pergi
membawa diri ke daerah terluas negeri ini
sayu diiringi gema bait puisi
yang ternukil di asrama puteri.

Aku meneruskan kembara
tekal memugar iman
terus menebarkan pengetahuan
pasrah pada suratan.

Aku sendirian lagi
memijak rumput di bumi
merenung bintang di langit tinggi
dengan cita dan citra tersendiri
mengharap ihsan cinta Ilahi.

Mohd Isa bin Abd. Razak
Port Dickson, 3 November 2012

Mengepak Pergi

Sabah Tempat Bermain
Tingkatan enam di SMK Majakir pada tahun 1979 ialah ambilan pertama dan hanya satu kelas. Kebanyakan pelajarnya dari Pantai Barat Negeri Sabah. Ada juga sebilangan pelajar dari Pantai Timur seperti Tawau dan Semporna.

Teknik penyampaian yang kerap saya gunakan di kelas itu ialah forum, perbincangan dalam kumpulan dan soal jawab. Selain itu, sebagai guru muda yang belum terdedah dengan teknik pembelajaran yang pelbagai, saya terus menggunakan teknik lama, iaitu syarahan dan pencatatan nota. Tumpuan perhatian pelajar tinggi. Mereka giat bertanya. Perlakuan lencongan tiada sama sekali.

02 November 2012

Ustaz Sangkut

Pada hari Jumaat, 27 April 1979, saya mula bertugas sebagai guru sandaran siswazah terlatih. Tugas saya ialah mengajarkan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu untuk tingkatan lima dan Bahasa Melayu Kertas 2 (Kesusasteraan Melayu) untuk tingkatan enam. Pada hari itu saya sempat berkenal-kenalan dengan pelajar tingkatan lima. Tingkatan enam pula pertama kali diadakan di sekolah itu. Pihak sekolah masih mendaftarkan kemasukan pelajar dari seluruh Sabah.