10 September 2011

Majlis Profesor Negara Tersasar - TERAS


Kenyataan Media TERAS Pengupayaan Melayu
10 September 2011

Majlis Profesor Tersasar Jauh daripada Kebenaran

TERAS terkejut dengan pendirian Majlis Professor Negara yang mengatakan perjuangan golongan kiri bukan perjuangan kemerdekaan. Mengulas rumusan oleh majlis yang dikatakan dianggotai oleh para ahli profesor yang diwakili oleh Prof. Datuk Zainal Kling, TERAS berpendirian sejarawan tersebut bermain kata-kata yang berbelit-belit untuk menafikan suatu fakta yang sudah sangat makruf dalam kalangan rakyat.

Mana mungkin tafsiran ini dapat diterima sedangkan Britishlah yang mengharamkan pelbagai pergerakan Melayu seperti PKMM, API, AWAS, Hizbul Muslimin dengan tuduhan bahawa semua gerakan ini komunis. Kata-kata terkenal Dato’ Onn Jaafar “ada bahaya dari gunung” merujuk kepada gerakan Islam Hizbul Muslimin di Gunung Semanggol yang dituding sebagai gerakan komunis. Dato’ Onn menggunakan label ini daripada takrif British yang menjajah tanah air ini.

Hal ini bermakna kesimpulan yang dibuat untuk menuduh gerakan Melayu yang mengambil pendirian garis keras sebagai gerakan komunis adalah daripada British dan golongan bangsawan yang dekat dengan British.

TERAS mempersoalkan istilah golongan kiri atau kanan. Sebenarnya ini label daripada siapa? Kenapa majlis ini terlalu taasub dengan label yang diberi oleh British?

Hal ini bermakna mereka bermula dengan premis yang batil lagi menyesatkan kerana kerangka dan paradigma serta tasawur British itulah yang menjadi ukuran tafsiran mereka terhadap sejarah perjuangan kemerdekaan. Kiri dianggap komunis dan semua gerakan menjadi komunis apabila menentang British dan yang tidak sealiran dengan pendekatan yang diguna oleh UMNO.

Tidakkah apa-apa yang mereka rumuskan itu termasuk golongan ulama yang telah memilih untuk berjuang dengan cara bersenjata menentang British? Padahal mereka berjuang atas nama tuntutan Islam. Adakah perjuangan mereka dianggap bukan perjuangan yang sah?

Beranikah mereka mengelompokkan ulama yang bertempur dengan British seperti Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong, Tok Guru Hussin Dol sebagai komunis hanya kerana British melabelkan mereka sebagai pengganas komunis?

TERAS kesal dengan keangkuhan golongan bijak pandai yang dikatakan bergelar Professor. Dari asas apakah Majlis ini membuat rumusan demikian?

Adalah sangat mengelirukan jika kenyataan itu keluar sebagai pendirian rasmi, seolah-olah ahli pemikir sejarah cuba membuat pentafsiran yang batil mengikut faham British yang mahu generasi selanjutnya menerima bahawa British memberi kemerdekaan bukan kerana tekanan golongan ulama dan pejuang nasionalis tetapi kerana berunding dengan UMNO.

Untuk mengatakan tanah air ini tidak dijajah adalah kedangkalan yang sangat mengejutkan datang dari Majlis Professor terutama apabila mereka dikatakan golongan inteligensia negara.

Tidak ada siapa pun yang memiliki akal waras mengatakan tanah air ini tidak dijajah sedangkan Raja-raja Melayu hanya menjadi penguasa yang terbatas kepada soal adat dan agama dan dalam urusan yang lain British menjadi tuan. Malah dalam hal melantik kadi (qadhi) sekalipun British akan campur tangan kerana pihak British jualah yang akan menentukan dasar siapa yang akan dilantik.

TERAS tidak dapat menerima rumusan yang mengelirukan ini hanya kerana wujud kecenderungan ahli sejarawan mengabsahkan perjuangan UMNO sahaja yang benar–benar memperjuangkan kemerdekaan.

TERAS mempersoalkan asas Majlis tersebut yang mendakwa bahawa golongan yang menentang British secara bersenjata berniat menghapuskan kuasa-kuasa Melayu di Tanah Melayu dan mahu menubuhkan kerajaan republik. Di mana buktinya dan dari sumber mana mereka menyandarkan hujah ini?

Menuduh perjuangan ulama dan nasionalis sebagai perjuangan komunis dan memfitnah pula mereka sebagai bersekongkol, bekerjasama dan bersubahat dengan pejuang komunis untuk menjadikan negeri ini sebagai republik komunis ialah kebiadaban intelektual yang sangat parah.

TERAS menganggap dakwaan Prof. Datuk Dr. Zainal Kling bahawa perjuangan nasionalis yang tidak mengikut jalur UMNO sebagai tidak sah dan tidak legitimate menunjukkan betapa beliau terperangkap dengan sindrom jiwa terjajah iaitu jiwa yang mengukur keabsahan sesuatu perjuangan itu hanya sah jika diterima oleh British.

Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS
019474485

17/09/2011


Muhyiddin Akui Malaysia Pernah Dijajah

Hazayani Zakaria, Harakahdailyt

KUALA LUMPUR, 5 Okt: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat hari ini mengakui Malaysia pernah dijajah.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menyatakan pendirian tersebut sekali gus menafikan pandangan Majlis Profesor Negara bahawa Malaysia tidak pernah dijajah.

"Sama ada negara kita dijajah atau tidak, jawapannya, ya.

"Saya mengambil pendirian begitu walaupun ada beberapa pihak yang memberikan pandangan bahawa kita tidak dijajah.

"Kalau kita kaji sejarah, kita tahu bahawa kita sambut kemerdekaan setiap tahun takkanlah sia-sia tapi kerana kita tahu kita dijajah. 54 tahun kita menyambut perayaan ini mestilah ada signifikannya.

"Penasihat British pada waktu itu sebenarnya memberikan nasihat kepada Raja, dalam konteks ini nasihat yang diberi harus diikut.

"Ia tidak bebas dan terpaksa mengikut apa yang dinasihat," jelas beliau yang juga Menteri Pelajaran ketika menjawab soalan tambahan oleh ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Azmin dalam soalannya meminta Muhyidin menyatakan pendirian kerajaan berhubung isu yang didakwa menimbulkan kekeliruan rakyat khususnya pelajar sekolah.

"Masyarakat hari ini keliru, anak-anak di sekolah diajar Malaysia merdeka pada 31 Ogos, (tapi) ada tokoh sejarah kata Malaysia tidak pernah dijajah.

"Bulan depan anak-anak ini akan menduduki peperiksaan SPM. Sekiranya soalan ini dilontarkan kepada anak-anak maka anak-anak akan celaru.

"Maka sekiranya anak-anak ini gagal maka tanggungjawab Umno untuk memberikan penjelasan," katanya yang juga Timbalan Presiden PKR.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar sekali lagi mengulangi cadangannya sebelum ini agar ditubuhkan Panel Jawatankuasa Khas bagi membincangkan kembali sejarah negara.

Ini katanya selaras dengan cadangan yang diambil Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khalid Nordin yang mahukan subjek sejarah di peringkat sekolah dikaji semula setelah didapati beberapa fakta sebelum ini tidak lengkap dan bercanggah dengan fakta yang hasil kajian ahli falsafah dan teologi negara, Tan Sri Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam buku terbarunya Historical Fact and Fiction.

Syed Naquib mempersoalkan mungkin terdapat beberapa sejarah penting tidak dicatit sebelum pemerintahan Melaka dan kemungkinan beberapa fakta juga berat sebelah.

"Perbahasan mengenai sejarah ini menunjukkan kita ada masalah kepada ketepatan fakta sejarah.

"Apa salahnya kerajaan dalam isu sejarah ini termasuk isu Mat Indera dibuat satu panel khas untuk membuat penilaian menyeluruh," katanya.

2 ulasan:

Gadin Cenation berkata...

Assalamualaikum Cikgu Isa

Terlalu banyak ilmu yg cikgu sampaikan dalam blog ini. Ilmu ini akan menjadi saham kepada cikgu nanti bila kami manfaatkannya sebaik mungkin.

Saya sangat2 menginginkan agar cikgu gunakan domain .com supaya tidak akan berlaku masalah kehilangan blog cikgu gara2 percaturan pemilik domain percuma www.blogspot.com.....

Walaupun domain tersebut berbayar, sekurang2nya cikgu dan kami semua tidak perlu risau akan masalah kehilangan blog cikgu yg penuh dengan ilmu ini....

Terima kasih cikgu..

Ahadin Bin Akub
Keningau, Sabah.

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Waalaikumussalam warahmatullah.

Terima kasih, Cikgu Ahadin.

Salinan masukan di sini tersimpan dalam dua cakera keras. Namun, cadangan cikgu tetap saya hargai. Saya masih memikirkan cara bayaran yang selamat kepada penyedia perkhidmatan yang berkenaan.