09 Jun 2012

Pesta Buku Negeri Sembilan 2012, Syabas PEN!

Sejenak Panjang di Ruang Pameran DBP Brunei di PBAKL
Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) di PBAKL

Terbitan LMNS 2011

Pesta Buku Negeri Sembilan (PBNS) 2012 berlangsung di sebuah pusat beli belah di Seremban 2, dari 5 hingga 10 Jun 2012. Saya ke “pesta” itu pada 8 Jun. Saya ke sana dengan tiga tujuan. Tujuan pertama tentulah untuk menyaksikan pameran buku dan membeli buku pilihan saya, khususnya buku yang berkaitan dengan bahasa Melayu. Tujuan kedua adalah untuk bertemu dengan Puan Hajah Mahaya Mohd. Yassin, Ketua Satu Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) atas satu urusan. Tujuan yang ketiga adalah untuk menyaksikan persembahan seni sastera oleh PEN.

Bulan ini Allah mengurniakan rezeki tambahan kepada saya. Jadi, dalam poket saya ada peruntukan yang lebih besar untuk dibelanjakan di PBNS 2012 berbanding dengan peruntukan ketika Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2012 dari 27 April hingga 6 Mei lalu. Saya bercadang untuk membeli beberapa buah buku terbitan Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) dan penerbit atau badan berkanun di Negeri Sembilan. Saya juga berharap agar beberapa buah buku yang tidak saya temukan di toko buku dan di PBAKL terselit di mana-mana ruang pameran PBNS 2012 itu.

Saya pernah menyaksikan pameran buku di sebuah pusat beli belah di pusat bandar Seremban. Jikalau tidak silap, pameran itu berlangsung pada tahun 2009. Keseluruhan ruang pameran itu tiga kali lebih luas berbanding PBNS 2012. Sudah tentu bahan pameran itu juga jauh lebih banyak berbanding dengan PBNS 2012. Apabila dibanding dengan PBAKL 2012 pula, keluasan keseluruhan ruang pameran PBNS 2012 kurang setengah peratus daripada keseluruhan ruang pameran PBAKL.

Oleh sebab ruang pameran PBNS 2012 kecil dan bahan pamerannya sedikit, saya dapat menyelesaikan kunjungan ke semua ruang pameran sebanyak dua kali dalam tempoh kurang daripada setengah jam. Saya masih sempat membaca nama pemilik ruang, memerhati bahan pameran secara menyeluruh, membaca tajuk buku dan membelek beberapa buah buku pilihan. Sempat juga saya berbual dengan beberapa orang petugas ruang pameran tertentu.

LMNS tidak ikut serta dalam PBNS 2012. Secara umum, bahan pameran sekadar ambil ada. Tiada buku yang sesuai untuk saya beli. Wang dalam dompet saya tidak terusik. Tujuan pertama saya ke “pesta’ itu tidak tercapai.

Tujuan kedua dan ketiga saya tercapai. Terima kasih saya ucapkan kepada Puan Mahaya. Selepas ini, saya akan berusaha untuk mengikuti aktiviti PEN yang sesuai dengan minat saya. Terima kasih sekali lagi saya ucapkan kepada Ketua Satu PEN itu kerana menyuguhkan tempat duduk yang selesa untuk saya semasa persembahan seni sastera.

Persembahan PEN menarik, berteraskan ilmu dan mempunyai nilai seni yang tinggi. Saya suka akan semua persembahan itu. Syabas saya ucapkan kepada pembaca cerpen, pembaca puisi, penyanyi lagu puisi dan penyampai cerita kanak-kanak. Penghargaan yang setinggi-tinggikan saya tujukan kepada peserta yang berusaha menggunakan sebutan baku. Kepada Puan Nisah yang bersimpuh dan menyerlahkan citra guru bagaikan guru terlatih yang sudah mengikuti Kursus Sijil Perguruan Khas Sastera, syabas! Supaya lebih lengkap: Syabas PEN!

Penonton persembahan PEN pada 8 Jun 2012 
PPANS wajar melakukan penambahbaikan apabila menganjurkan “pesta buku” seterusnya. Pada saya, pemilihan pusat beli belah sebagai tempat pameran tidak sesuai. Saya lebih suka pameran diadakan di institusi pengajian tinggi, jabatan kerajaan negeri, sekolah atau dewan orang ramai. Tumpuan pameran pula hendaklah pada usaha mengangkat citra Negeri Sembilan seperti sejarah dan adatnya. Penyertaan LMNS, badan berkanun dan penerbit bahan ilmiah hendaklah diutamakan. “Aktiviti menarik” seperti persembahan PEN itu wajar diteruskan tetapi janganlah pula “aktiviti menarik” menenggelamkan pameran.

2 ulasan:

Mahaya Mohd. Yassin berkata...

Alhamdulillah, Tuan Haji, terima kasih. Pada fikiran saya, usaha tuan ini amat membantu pembaca terutamanya rakyat Negeri Sembilan agar berfikiran rasional, kritis dan berpandangan jauh, insya-Allah.
Terima kasih atas sanjungan. Sebenarnya, PEN pada tahun lalu, (di tapak yang sama) mendapat pendedahan yang lumayan. Tujuh penulis diberi peluang untuk berjumpa dengan khalayak.
Pada tahun ini, waktu yang diperuntukkan hanya, pada malam Jumaat itulah.
Walau bagaimanapun. saya menyahut cabaran dan berasa PEN serba boleh. Tambahan pula, sahabat sepersatuan yang penuh iltizam, amat membantu. Maka, dengan izin Allah, itulah persembahan yang termampu kami laksanakan.
Tentang kesesuaian tempat, saya pernah suarakan hal ini kepada pihak berkenaan. Saya juga menulis hal yang sama di Dewan Sastera pada tahun lalu. Saya sendiri melihat para pengunjung, khasnya pelajar menjengah gerai buku dalam 20 minit dan kemudian terus bergegas ke premis yang 'lebih menggiurkan ' di kawasan sekitar.
Tuan,PEN amat mengidamkan Pesta Buku kita sehebat pesta di negeri lain, menjadi program perdana dalam arus pembinaan tamadun bangsa, yang dinanti-nantikan oleh rakyat. Alahai...
Terima kasih tuan, kerana turun padang membantu dan menggempur semangat AJK untuk lebih gigih dan berdaya saing memperjuangkan visi PEN 'Mendidik dan Memugar Bahasa, Sastera dan Budaya Bangsa'
Mudah-mudahan usaha kita yang sekelumit ini mendapat petunjuk dan rahmat-Nya sepanjang masa. Amin. Wassalam.

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Sama-sama. Alhamdulillah, saya semakin selesa berada di negeri sendiri. Insya-Allah, saya akan berusaha untuk mengikuti kegiatan PEN. Terima kasih kembali. Wassalam.