26 Ogos 2012

Ikan Puyu Si Ikan Karuk, Dipindang Kering

Senduduk Ungu Kekal Sahabat
Pada suatu hari Sabtu, saya ke Pasar Tani Rembau. Seorang lelaki yang berusia empat puluhan tercongok di suatu sudut pasar itu. Lelaki kurus dan berpakaian lusuh itu menghadap dua buah baldi dan beberapa biji botol plastik yang berisi ikan puyu hidup sebagai bahan dagangannya. Lama saya melihat dia bersendirian di situ.

Sebelum ini, dalam beberapa kunjungan saya ke pasar tani itu, lelaki itu sibuk melayan pelanggan. Hari ini belum ada pelanggan singgah di sudut jualannya. Menjelang Hari Raya Aidilfitri ini mungkin orang kurang berminat untuk membeli ikan puyu. Tumpuan utama mereka nampaknya ialah gerai daging, ayam, ikan dan barang-barang dapur.

Isteri saya meminta saya mengangkat dua beg plastik besar yang berisi kelapa tanpa kulit. Kemudian saya mengekorinya ke gerai ikan. Saya meletakkan kedua-dua beg plastik itu di hadapan sebuah gerai. Dia memilih udang yang kelihatan segar. Saya berdiri di belakangnya.

Gerai di sebelah kami ialah gerai ikan air tawar. Selain menjual ikan lampam, tilapia merah, keli dan patin, gerai itu juga menjual ikan puyu hidup! Ikan puyu itu diletakkan di dalam sebuah bekas plastik hitam. Bekas itu leper dan besar. Bekas tanpa air itu memenuhi hampir sepertiga meja gerai. Ikan puyu yang berwarna hijau kehitam-hitaman giat bergerak dan berlanggar sesama sendiri.

Dua orang peniaga gerai itu sibuk melayan pelanggan. Ikan puyu hidup itu menjadi pilihan utama pelanggan wanita yang boleh disapa mak cik atau nenek. Baru saya ingat bahawa orang Negeri Sembilan, khususnya orang Rembau, suka akan masakan ikan puyu. Masakan kegemaran mereka ialah masak lemak cili api. Masak cili api ikan puyu itu lazimnya dicampur dengan pisang muda atau kemabal.

Hari Sabtu itu ialah kali kedua saya melihat ikan puyu hidup menjadi dagangan utama peniaga pasar tani. Beberapa minggu sebelum itu saya melihat sebuah gerai ikan air tawar di Pasar Tani Ampangan (Seremban) menjual ikan puyu hidup dan yang sudah disiang.

Penjualan ikan puyu hidup sebagai bahan dagangan sampingan memang biasa saya saksikan di Tamu Keningau dan Tenom, dan beberapa pasar tani di Semenanjung. Kebanyakan penjual ialah peniaga sayur-sayuran atau ikan air tawar secara kecil-kecilan. Kebanyakan penjual meletakkan bekas ikan di atas hamparan plastik. Sudut tempat jualan lelaki kurus di Rembau itu pula sebenarnya berada di luar sempadan pasar tani.

Ikan puyu yang dijual oleh mereka tidak banyak dan kecil. Ikan-ikan yang kecil itu dimasukkan ke dalam botol air mineral. Ada beberapa kali saya membeli ikan puyu hidup di Tamu Keningau. Ikan-ikan itu dipelihara di dalam akuarium.

Saya tidak pasti sama ada pemeliharaan ikan puyu dalam akuarium sesuai atau tidak sebagai pendinding pukau. Menurut satu catatan, ikan puyu yang dipelihara di dalam rumah hanya berperanan sebagai pendinding pukau apabila dipelihara oleh orang yang mempunyai “ilmu”. Percubaan penjahat, khususnya dengan menggunakan ilmu pukau untuk masuk ke dalam rumah pemelihara puyu itu akan gagal. Dikatakan, tuan rumah tahu akan adanya percubaan itu kerana puyu itu mati. Saya mengagak, ada tanda tertentu pada puyu yang mati itu.

Oh, empat ekor puyu berjaya meloloskan diri daripada pinggir bekas plastik hitam itu! Seorang pembeli menangkap seekor ikan yang cuba menyondol kakinya. Kemudian si peniaga pula menangkap dua ekor ikan di bawah kangkangnya. Seekor ikan lagi terbiar. Ikan itu menggunakan kekuatan penutup insangnya untuk bergerak ke gerai lain yang berhampiran.

Apabila saya melihat gaya pergerakan puyu itu, saya teringat peristiwa ratusan puyu menyeberangi jalan raya. Peristiwa itu berlaku di Papar pada hujung tahun 1975. Pada masa itu saya menyewa sebuah rumah di tepi jalan bertar yang merentangi kawasan sawah Kampung Sungai Padang. Ketika itu, banjir besar yang melanda daerah Papar hampir surut. Namun, air banjir yang keruh masih melaut di kawasan sawah di hadapan rumah sewa saya.

Kumpulan puyu itu naik dari gigi air sawah. Puyu-puyu itu menggunakan penutup insang yang dikembangkan dan dikuiskan ke permukaan jalan bagi menolak diri masing-masing ke seberang. Pergerakan ikan-ikan itu berlaku dalam barisan tetapi tidak tersusun. Tiga hingga enam ekor ikan bergerak secara beriringan dan berterusan. Penyeberangan itu berlaku lebih kurang sepuluh minit. Tiada kenderaan melalui jalan ketika penyeberangan berlangsung. Akhirnya semua ikan itu lenyap di kawasan paya di sebelah rumah sewa saya.

Mula-mula saya berhasrat untuk mengutip sebahagian puyu itu. Hasrat itu saya padamkan. Saya khuatir perbuatan saya akan mengundang sesuatu yang tidak diingini. Lagipun pada masa itu saya aktif memukat ikan di laut. Ikan kering hasil usaha saya masih banyak.

Pengalaman itu saya ceritakan kepada rakan-rakan di Sekolah Menengah Majakir, iaitu tempat saya berkhidmat. Umumnya sambutan rakan-rakan dari Semenanjung biasa-biasa atau dingin. Lain halnya dengan rakan-rakan tempatan. Sambutan mereka hangat. Ada antara mereka menambah kisah pengalaman sendiri atau yang didengar.

Seorang anak jati Kampung Takis menyatakan, di suatu tempat di Papar ada sebuah bukit yang beralur besar, iaitu seakan-akan terbelah. Menurut cerita orang-orang tua, alur itu terbentuk akibat hakisan semasa penghijrahan beribu-ribu ikan puyu.

Peristiwa di Pasar Tani Rembau, tayangan kembali peristiwa pada tahun 1975 dan cerita oleh rakan dari Kampung Takis itu mendorong saya untuk mencari maklumat tentang ikan puyu daripada Pak Cik Google. Atas cadangan Pak Cik Google, saya menelusuri beberapa laman, termasuk Wikipedia.

Menurut Wikipedia, ikan puyu (Anabas testudineus) ialah spesies ikan air tawar yang paling lasak. Sawah, tali air dan sungai kecil menjadi habitat utama spesies ini. Tubuh puyu yang bersisik dan bersirip keras memudahkan spesies ini bergerak di atas tanah. Pada musim hujan puyu suka berhijrah dengan memanjat tebing sungai bagi mencari lopak air yang lain. Fahamlah saya bahawa penghijrahan berkumpulan memang tabiat puyu.

Ada beberapa maklumat lain tentang puyu daripada Wikipedia dan beberapa laman. Hampir kesemua maklumat itu sudah saya ketahui. Ada satu maklumat penting tidak tercatat di laman-laman yang sempat saya telusuri itu. Maklumat itu saya peroleh daripada sebuah buku bergambar tentang ikan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Menurut buku itu, puyu mampu tidur tapa di dalam lumpur selama enam bulan!

Seperkara lagi, masakan puyu teristimewa mungkin belum diketahui umum. Hal itu dialami oleh seorang pensyarah maktab perguruan. Pada tahun 1980-an dia bertugas di Sandakan. Dia memperisteri gadis Dusun, Ranau. Mentuanya pesawah. Apabila mereka pulang bercuti, mentuanya menghidangkan lauk yang istimewa seperti sayur tutan rebus, sambal tuhau dan pindang ikan puyu.

Mentuanya membiarkan kuah pindang itu kering. Beberapa bahagian ikan dan ramuannya kelihatan perang kerana sengaja dibiarkan betul-betul kering. Bau bawang, halia, asam jawa dan beberapa ramuan lain yang sudah kering menaikkan selera. Apabila ikan puyu itu dikunyah dan ditelan, rasanya sungguh enak. Daging ikan itu lembut dan mesra dengan garam, asam dan ramuan lain.

Masakan pindang kering puyu sawah di sebuah kampung di kaki Gunung Kinabalu itu tetap menjadi kenangan-kenangan si pensyarah apabila dia kembali ke Semenanjung. Padanya, pindang kering puyu sawah hasil air tangan mentuanya itulah masakan puyu teristimewa.

Pindang kering puyu sawah di kaki Gunung Kinabalu itu mempunyai tiga keistimewaan. Yang pertama, puyu itu terpilih. Yang kedua, ramuannya serba kena. Yang ketiga, cara masakannya tersendiri. Rasanya, orang Negeri Sembilan, termasuk mak cik dan nenek yang membeli puyu di Pasar Tani Rembau itu, tidak dapat menandingi masakan pindang kering anak jati Ranau.

Sesungguhnya, puyu yang dipindang kering itu bukan puyu biasa yang rata-rata bersisik keras dan isinya kurang lembut. Puyu yang didagangkan di Pasar Tani Rembau pula besar, kelihatan keras dan kasar. Itu pasti puyu ternakan khas untuk diperdagangkan. Sebaliknya, puyu sawah di kaki Gunung Kinabalu itu kecil dan lembut, sesaiz dan selembut ibu jari bayi. Puyu itu diambil dari sawah padi muda atau padi yang sedang berbunga. Untuk menangkap puyu itu, mentua si pensyarah mengeringkan air sawah.

Kembali kepada penjelasan oleh Wikipedia, dinyatakan bahawa orang Sabah menamakan ikan puyu sebagai ikan karuk. Saya sudah lama mengetahui istilah ikan karuk itu. Mentua si pensyarah pun menggunakan istilah ikan karuk, bukan ikan puyu. Hingga kini, saya berasa selesa menggunakan istilah ikan karuk berbanding dengan ikan puyu, apalagi ikan betuk. Saya juga masih teringat-ingat akan keenakan pindang kering ikan karuk Ranau itu. Hal itu dikatakan demikian kerana sayalah menantu tukang masak pindang kering karuk itu.

Ikan puyu si ikan karuk,
Masak pindang dengan belimbing;
Mataku kuyu bukan mengantuk,
Segan memandang wajah penjeling.

Wa billahi taufik wal hidayah; wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

2 ulasan:

roy berkata...

salam tuan,sebenarnya sebutan yg betul dalam bahasa dusun untuk ikan karuk ialah KERUK (e pepet)

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Waalaikumussalam. Pandangan ini mendapat perhatian saya. Terima kasih, cikgu.