04 Februari 2009

Membunuh Potensi Bahasa Melayu


Untuk membaca artikel Prof. Shahril, klik di sini.
Pedoman Bahasa (JPEG) 018. Minda Tokoh/Pejuang/Ahli/Pencinta Bahasa Melayu.

Perkara 152 Tidak Boleh Dipinda

Untuk membaca artikel Prof. Abdul Aziz Bari, klik di sini.

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, klik di sini.

Pedoman Bahasa (JPEG) 017. Minda Tokoh/Pejuang/Ahli/Pencinta Bahasa Melayu.

Deklamasi Sajak "Tun Perak" oleh Cikgu Dulamit


Deklamasi sajak “Tun Perak” oleh Cikgu Dulamit Rudin, johan Deklamasi Pusi Bulan Kemerdekaan Peringkat Negeri Sabah dan Kebangsaan 2006.

Klip Video 003, Deklamasi Puisi

03 Februari 2009

Panduan Praktikum Sekolah Rendah

Pada tahun 2007, Institut Perguruan Keningau, Sabah (IPKS) menerbitkan buku Panduan Penyeliaan Praktikum. Buku setebal 265 halaman itu diedarkan secara percuma kepada warga IPKS, khususnya pensyarah pembimbing praktikum.

Buku itu mengandungi 18 bab. Bab 1 menggariskan panduan pelaksanaan praktikum bagi semua program praktikum Bahagian Pendidikan Guru (BPG) di institut pendidikan guru Malaysia (IPGM). Bab 2 memberikan garis panduan tentang disiplin guru pelatih dan peraturan praktikum yang bertujuan memperjelas peranan dan tanggungjawab guru pelatih semasa menjalani praktikum.

Bab 3 hingga bab 16 memberikan tumpuan pada mata pelajaran. Dalam setiap bab terdapat panduan bimbingan dan penyeliaan mata pelajaran yang berkenaan. Setiap bab berfokus pada penyediaan rancangan pengajaran harian (RPH) serta kaedah pengajaran dan pembelajaran. Panduan dan fokus itu bertujuan memudahkan pensyarah penyelia, guru pembimbing dan guru pelatih membuat rujukan semasa praktikum.

Selain itu, buku panduan ini juga menjelaskan pelaksanaan kokurikulum semasa praktikum. Perkara ini dibincangkan dalam bab 17. Bahan rujukan ringkas pula termuat dalam bab 18. Dalam bab ini terdapat penerangan tentang portfolio, penulisan jurnal, kemahiran berfikir, nilai murni, pencerapan klinikal, amalan refleksi, guru sebagai mentor dan pengajaran berpasangan.

Setakat yang diketahui, buku panduan praktikum yang kemas kini dan menyeluruh untuk kegunaan IPGM belum terdapat di pasaran. Jikalau buku ini dimurnikan dan dikemas kini, buku ini dapat menjadi rujukan warga IPGM di negara kita – bukan sekadar untuk rujukan warga IPKS sahaja.

Tambahan pada 11 Februari 2012


Buku ini ialah edisi permulaan. Hal ini bermaksud ada banyak perkara masih perlu dimurnikan. Mudah-mudahan sudah ada edisi baharu. Edisi baharu penting sebab perubahan berlaku dari semasa ke semasa. Yang tahu hal itu “orang dalam”. Kini saya “orang luar”.

Kandungan

Kata Alu-aluan ... iv
Sekapur Sirih ... v
Kata Pengantar ... vi - vii
Bab 1 Pengenalan Praktikum … 1 -15
Bab 2 Pengurusan Pelajar Semasa Praktikum … 16 - 22
Bab 3 Bahasa Melayu Sekolah Rendah … 23 - 51
Bab 4 Bahasa Inggeris … 52 - 61
Bab 5 Sains … 62 - 96
Bab 6 Matematik … 97 - 113
Bab 7 Pendidikan Islam KBSR … 114 - 122
Bab 8 Pendidikan Islam j-QAF … 123 - 131
Bab 9 Bahasa Arab … 132 - 139
Bab 10 Kemahiran Hidup … 140 - 146
Bab 11 Kajian Tempatan … 147 - 163
Bab 12 Pendidikan Jasmani … 164 - 171
Bab 13 Pendidikan Muzik … 172 - 177
Bab 14 Pendidikan Seni … 178 - 193
Bab 15 Prasekolah … 194 - 213
Bab 16 Bimbingan dan Kaunseling … 214 - 225
Bab 17 Pelaksanaan Kokurikulum … 226 - 235
Bab 18 Rujukan Pantas … 236 - 257
Senarai Penulis … 258 - 260
Jawatankuasa Penerbitan … 261

Rujukan Pantas
Bab ini mengandungi sumber rujukan ringkas tentang beberapa perkara penting dalam praktikum, iaitu
(b) Portfolio
(c) Penulisan Jurnal
(d) Kemahiran Berfikir
(e) Nilai Murni
(f) Pencerapan Klinikal
(g) Amalan Refleksi
(h) Guru Sebagai Mentor
(i) Pengajaran Berpasangan

Sumber utama kandungan bab ini ialah buku panduan rasmi praktikum yang disediakan oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Kementerian Pelajaran Malaysia. Walau bagaimanapun kandungan bab ini tidak bermaksud menggantikan buku panduan itu atas beberapa sebab. Yang pertama, kandungan bab ini bersifat terpilih, ringkas dan telah diubah suai. Yang kedua, kandungan buku panduan praktikum BPG dikemas kini dari semasa ke semasa dan pembaca hendaklah sentiasa merujuki buku panduan edisi yang terkini. Namun demikian, pembaca akan mendapati kandungan bab ini sangat berguna. Hal ini demikian kerana bab ini dimuatkan juga dengan beberapa dapatan baharu hasil dua bengkel praktikum yang berlangsung pada tahun 2006.

02 Februari 2009

Penghidap, Bukan Pengidap

Pedoman Bahasa (JPEG) 016. Ejaan Pekataan Lazim.

Berendoi, Mungkinkah dalam Bahasa Inggeris?

Oleh Mohd Isa bin Abd Razak

Berendoi ialah istiadat naik buai untuk bayi. Istiadat ini lazimnya diadakan pada hari ketujuh kelahiran bayi itu. Istiadat ini biasa juga diadakan selepas habis tempoh berpantang ibu si bayi, iaitu 44 hari, atau dalam tempoh antara satu hingga dua bulan selepas kelahiran bayi itu.

Lazimnya berendoi merupakan sebahagian daripada istiadat cukur jambul bayi itu. Istiadat cukur jambul pula disertai acara berzanji dan ada juga yang disertai acara marhaban.

Dalam istiadat berendoi, bayi diletakkan di dalam buaian. Sambil bayi dibuai, sekumpulan peserta menyanyikan sejenis lagu. Lagu itulah dinamakan berendoi atau endoi. Irama lagu itu dan mesejnya seakan-akan marhaban dan berzanji. Dengan perkataan lain, seperti marhaban dan berzanji, berendoi dianggap kesenian berunsur Islam. Oleh itu, berendoi tidak diiringi oleh alat-alat muzik.

Berendoi terdapat di Perak, Kedah, Perlis, Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu. Di Perak berendoi dikenali dengan nama dendang Siti Fatimah dan di Terengganu berendoi dikenali dengan nama ulit anak.

Di Perlis berendoi berkembang pesat pada tahun 60-an sehingga wujud kumpulan khas untuk mempersembahkan berendoi. Utusan Malaysia, 3 Februari 1998, melaporkan Setiausaha Persatuan Maulud Perlis, Ku Zainal Ku Abdullah, berkata berendoi dipersembahkan dalam upacara perkahwinan, sambutan Maulidur Rasul, berkhatan, cukur kepala, dan di majlis rasmi kerajaan.

Persatuannya, yang dianggotai oleh 160 orang ahli termasuk 30 orang wanita, bukan sahaja membuat persembahan di Perlis, malah pernah dijemput mengadakan persembahan di Kedah, Perak dan Pahang. Antara lagu yang sering dipersembahkan oleh setiap kumpulan yang terdiri daripada empat orang ahli termasuklah Belayar Rakit, Rukun Islam, Tidur Anak, Kelahiran Nabi dan Ayuhai Anak Yatim Piatu.

Dari segi kesusasteraan, berendoi merupakan kesenian rakyat yang berbentuk perlakuan dan disertai nyanyian atau senandung rakyat. Lirik endoi berupa puisi tradisional, iaitu syair, pantun dan nazam. Lirik endoi juga disertai zikir dan selawat.

Lirik lagu berendoi memuji-muji junjungan Nabi Muhammad s.a.w., menceritakan salasilah dan riwayat hidup baginda, menceritakan kisah nabi-nabi, menceritakan perihal susah payah ibu mengandung dan melahirkan anak dan juga nasihat-nasihat kepada kanak-kanak, antaranya agar mereka menghormati ibu bapa.

Ada juga lirik endoi yang mengandungi ajaran Islam dan isi al-Quran. Lirik endoi masa kini pula disesuaikan dengan keadaan semasa. Antara lagu yang dibawa dalam majlis berendoi ialah Tuhan Rabbulalamin; Anak di dalam Buaian; Ayuhai Anak Cahaya Mata; Kebesaran Allah, dan Aduhai Anak Jangan Durhaka.

Di bawah ini ialah satu contoh lirik berendoi.

Lagu Anak dalam Buaian (Perak)

Ayuhai anak di dalam buaian,
Pejamkan mata jangan tangiskan,
Lagu berendoi kami dendangkan,
Dalam majlis tanda kesyukuran.

Lamalah sudah kami menanti,
Namun engkau tak kunjung tiba,
Dengan takdir ilahi rabbi,
Kini engkau sudah menjelma.

(Rogayah A. Hamid, 2003)

Baru-baru ini seorang rakan melihat sendiri kesenian berendoi di Negeri Sembilan. Dia amat tertarik dengan seni kata berendoi.

“Bait-bait syair atau lagu yang didendangkan semuanya berunsur nasihat dan mengandungi ajaran Islam. Yang menariknya semuanya didendangkan dalam bahasa yang dapat difahami iaitu bahasa Melayu,” katanya.

Jadi, dia berpendapat kesenian berendoi wajar diteruskan.

“Tetapi kalau ditanya pendapat Kementerian Pelajaran, tentulah mereka minta diubah supaya berendoi didendangkan dalam bahasa Inggeris. Dengan demikian generasi yang ada sekarang boleh faham sebab mereka belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris,” tambah beliau.

Penulis ternganga.

01 Februari 2009

Renungan Pascapemerhatian: Pemilihan Perkataan

Oleh Mohd Isa bin Abd Razak

Masukan terdahulu:
Pengajaran Berpasangan
Pengajaran Berpasangan: Catatan Pascapemerhatian

Pemilihan dan penyusuan perkataan yang dilakukan oleh kedua-dua orang guru pelatih ini menunjukkan bahawa mereka mengaplikasikan pengisian kurikulum dari segi ilmu, iaitu bidang kajian tempatan. Pengetahuan tentang nama buah-buahan termasuk dalam bidang kajian tempatan.

Masalahnya ialah buah-buahan tempatan dicampurkan dengan buah-buahan import. Untuk kelas pemulihan, gunakan buah-buahan tempatan sahaja. Sebaik-baiknya gunakan buah-buahan yang terdapat dalam pasaran tempatan.

Pemilihan dan penyusunan perkataan dari sudut pengisian kurikulum yang dinyatakan tadi dapat juga dinamakan pemilihan dan penyusunan dari segi semantik atau sosiolinguistik. Selain itu, pemilihan dan penyusunan perkataan dapat juga dilihat dari sudut fonetik atau senang-sukar penyebutan perkataan itu. Misalnya, vokal e taling seperti dalam perkataan epal lebih sukar disebut berbanding e pepet seperti dalam perkataan emak yang lebih lazim pada telinga kanak-kanak di negara kita.

Mencampuradukkan perkataan ini dalam satu sesi pengajaran pemulihan ternyata menjadikan penyampaian bertambah rumit. Setiap vokal itu perlu diajarkan secara khusus dalam satu dua sesi, diikuti dengan pengajaran kedua-dua vokal itu dalam satu dua sesi yang lain.

Selain vokal, penggunaan diftong dalam perkataan-perkataan yang dipilih perlu difikirkan kewajarannya. Jika pemilihan perkataan yang mengandungi diftong itu hanya akan merumitkan penyampaian, tangguhkan penggunaan perkataan itu untuk sesi yang lain.

Pemilihan dan penyusunan perkataan dapat juga dilihat dari sudut morfologi. Kedua-dua orang guru pelatih ini menggunakan kata nama maujud. Pilihan mereka tepat. Mereka juga memilih kata tunggal. Pilihan mereka bijak.

Sayangnya, pilihan mereka dari segi struktur perkataan tidak terkawal sedangkan inilah aspek terpenting dalam pemilihan perkataan untuk pemulihan khas. Mungkin mereka tidak menyedari hal ini. Tegasnya, mereka tidak mempunyai kriteria yang jelas dari segi pemilihan perkataan semasa melakukan perancangan.

Kedua-dua orang guru pelatih ini menggunakan perkataan yang mempunyai dua dan tiga suku kata. Dari segi jumlah suku kata, pilihan mereka dapat diterima. Hal ini dikatakan demikian kerana, pada pandangan mata kasar, murid-murid mereka sudah celik huruf iaitu dapat membaca perkataan mudah yang mempunyai dua suku kata terbuka seperti bapa, bola dan labu.

Jumlah empat pola suku kata (V, VK, KV, KVK) dapat dianggap munasabah sekiranya mereka tidak memilih e taling dan diftong. Hal ini dapat dilakukan dengan memilih nama buah-buahan tempatan yang tidak mengandungi e taling dan diftong.

Mereka juga memilih tiga perkataan yang mengandungi konsonan bergabung (digraf) ng. Hal ini meningkatkan lagi kerumitan struktur perkataan yang digunakan.

Analisis perkataan yang digunakan dalam pengajaran ini adalah seperti yang di bawah. Mereka melakukan susunan ini secara rawak.

tembikai: KVK-KV-KV, tiga suku kata: tertutup-terbuka-terbuka, ada diftong ai
anggur: VK-KVK, dua suku kata: tertutup-tertutup, ada huruf gabungan (digraf) ng
pisang: KV-KVK, dua suku kata: terbuka-tertutup, ada huruf gabungan ng
ceri: KV-KV, dua suku kata: terbuka-terbuka, ada e taling
limau: KV-KV, dua suku kata: terbuka-terbuka, ada diftong au
mangga: KVK-KV, dua suku kata: tertutup-terbuka, ada huruf gabungan ng
betik: KV-KVK, dua suku kata: terbuka-tertutup
epal: V-KVK, dua suku kata: terbuka-tertutup, ada e taling
oren: V-KVK, dua suku kata: terbuka-tertutup, ada e taling

Saya menyediakan set perkataan yang mungkin dapat menggantikan set perkataan di atas. Walau bagaimanapun, pilihan saya tidak semestinya terbaik. Hal ini disebabkan saya belum memahami situasi sekolah, profil pelajar dan hal-hal yang berkaitan dengan masalah pembelajaran mereka. Yang arif tentang hal ini tentulah guru mereka, termasuk kedua-dua orang guru pelatih yang mengambil alih buat sementara waktu sebahagian daripada tugas guru mereka.

Dalam senarai di bawah, hanya perkataan betik yang saya kekalkan. Set perkataan ini mengandungi dua dan tiga suku kata juga. Terdapat tiga pola suku kata sahaja (VK, KV, KVK), tiada e taling, tiada diftong, dan tiada huruf gabungan. Susunan berdasarkan struktur yang mudah didahulukan dan struktur tersukar dikemudiankan. Senang-sukar ini masih dapat dipersoalkan, tetapi yang penting saya menggunakan sesuatu asas (bukan secara rawak).

duku: KV-KV, dua suku kata: terbuka-terbuka
betik: KV-KVK, dua suku kata: terbuka-tertutup
jambu: KVK-KV, dua suku kata: tertutup-terbuka
tarap: KV-KVK, dua suku kata: terbuka-tertutup
kelapa: KV-KV-KV, tiga suku kata: terbuka-terbuka-terbuka
durian*: KV-KV-VK, tiga suku kata: terbuka-terbuka-tertutup
pulasan: KV-KV-KVK, tiga suku kata: terbuka-terbuka-tertutup
rambutan: KVK-KV-KVK, tiga suku kata: tertutup-terbuka-tertutup
cempedak: KVK-KV-KVK, tiga suku kata: tertutup-terbuka-tertutup

Dalam senarai di atas, hanya perkataan durian mengandungi pola suku kata VK yang menyebabkan jumlah pola suku kata menjadi tiga. Jika pola suku kata hendak dikurangkan, perkataan durian dapat digantikan dengan perkataan lain seperti ciku (KV-KV), sukun (KV-KVK), dan delima (KV-KV-KV).

Buah-buahan itu dapat dilukis, dimuat turun gambarnya daripada Internet, difotokopi daripada bahan bercetak, dipotong dan tampal daripada cakera padat, dan dapat juga dibeli di pasar tempatan. Pemilihan perkataan hanya kerana gambarnya terdapat dalam sebuah buku, perlu dielakkan.

Pilihan manakah yang terbaik? Saya pilih benda maujud kerana ada kemungkinan saya berpeluang menikmatinya selepas sesi pengajaran berpasangan itu. Tuan percaya?

Pengajaran Berpasangan: Catatan Pascapemerhatian

Oleh Mohd Isa bin Abd Razak

Masukan terdahulu: Pengajaran Berpasangan.

Dalam sesi pascapemerhatian, kedua-dua orang guru pelatih mengemukakan dapatan mereka daripada sesi pengajaran. Rumusan penjelasan mereka adalah seperti yang berikut:

Melalui sesi pengajaran ini mereka lebih memahami masalah pembelajaran murid. Mereka menyatakan Diana mudah lupa. Dia menulis huruf terbalik dan kerap tertinggal huruf n. Pilus pula dapat membaca suku kata tetapi meninggalkan suku kata tertentu dan tidak dapat menyebut huruf r. Pilus juga kerap tertinggal huruf n ketika menulis. Selain itu, Pilus cepat bosan semasa beraktiviti.

Steve memperlihatkan peningkatan prestasi tetapi masih tetap bermasalah menyebut huruf h. Rosmah merangkak membaca dan kelihatan ragu-ragu dan takut-takut. Augustine dan Aduka cepat bosan kerana menganggap diri mereka sudah pandai. Hairi menghadapi masalah emosi.

Kedua-dua orang guru pelatih ini nampaknya mengetahui latar belakang seorang murid dengan mendalam. Empati mereka terhadap murid itu ketara tetapi mereka belum berkemampuan melakukan sesuatu tindakan yang konkrit. Kes seorang murid lagi disentuh dan mereka bercadang melakukan tindakan susulan.

Berbincang tentang profil murid, mereka menimbulkan kerahsiaan data. Diringkaskan, profil memang perlu diwujudkan dan datanya (termasuk yang berupa kisah/anekdot) perlu ditambah dari semasa ke semasa. Isu khusus murid wajar dicatat dalam jurnal.

Data yang lengkap akan memudahkan pensyarah pembimbing memahami situasi yang ada sebelum mengemukakan sebarang pandangan. Profil lengkap itu juga akan menyebabkan guru pelatih lebih memahami persekitaran dan murid-murid mereka.

Kedua-dua orang guru pelatih ini menyatakan bahawa bahan bantu belajar mereka hari ini kurang. Bahan yang terdapat di bilik khas pemulihan tidak dapat digunakan.

Mereka mengakui bahawa kad perkataan yang ada perlu dimanipulasi dari segi penggunaannya dengan cara menunjukkan suku kata pertama, diikuti oleh suku kedua dan seterusnya.

Mereka juga sedar bahawa penggunaan warna pada suku kata perlu dilakukan secara menyeluruh dan konsisten. Misalnya, suku kata yang mempunyai vokal a diwarnakan dengan warna merah, suku kata yang mempunyai vokal i diwarnakan dengan warna kuning; begitu seterusnya. Jikalau kedua-dua atau ketiga-tiga suku kata itu mempunyai vokal yang sama, suku kata-suku kata itu dapat dibezakan dengan huruf tebal dan condong.

Kedua-dua orang guru pelatih ini bertambah sedar bahawa mereka perlu lebih intim dengan murid-murid mereka. Mereka nampaknya memahami kepentingan perubahan spontan terutama dalam langkah ketiga dan keempat. Kepentingan meningkatkan empati dan keintiman merupakan perkara terpenting yang mereka pelajari pada hari ini.

Selain itu, mereka merumuskan bahawa guru bukan penghukum. Guru perlu memahami pelbagai perkara berkaitan muridnya sebelum melakukan sesuatu tindakan, terutama yang bersifat melabel atau menghukum. Saya berasa amat lega dengan pemahaman mereka terhadap isu ini.

Kedua-dua orang guru pelatih ini menyedari bahawa masalah murid mereka bukanlah dapat diselesaikan dalam tempoh sebulan dua atau semasa mereka berpraktikum. Jadi mereka perlu bersabar.

Pemahaman mendalam terhadap aspek pendidikan pemulihan diperlukan dan perancangan teliti dalam jangka panjang amat dituntut. Jika mereka tidak dapat melakukannya semasa praktikum, mereka mesti melakukan hal itu setelah menjadi guru terlatih nanti. Antara tindakan segera yang perlu mereka lakukan ialah memahami prinsip pengajaran pemulihan dan pelaksanaan pengajaran kumpulan berdasarkan kebolehan.

Antara prinsip yang sempat dibincangkan dalam sesi ini ialah “pengajaran pemulihan tidak patut dimulakan jika faktor fizikal yang menjadi punca masalah dan perlu dirawat terlebih tetapi masih belum dirawat lagi”. Prinsip ini dikaitkan dengan seorang murid yang menghasilkan ePal dan seorang murid lagi yang menulis huruf terbalik.

Nampaknya kedua-dua orang guru pelatih ini memahami maksud pengajaran kumpulan pelbagai kebolehan yang lazim disebut kaedah stesen. Mungkin mereka pernah mengamalkan kaedah stesen – bukan sekadar memahaminya untuk tujuan menjawab soalan peperiksaan.

Beberapa Perkara Tentang Huruf Jawi

Oleh Mohd Isa bin Abd Razak

Masukan terdahulu:
Selamat Mempelajari Tulisan Jawi
Abjad Jawi Bentuk Tunggal Terkini

Masukan yang berkaitan:
Tulisan Kuno dan Klasik Bahasa Melayu

1. Sebutan. Semasa mempelajari bahasa Melayu, sebutan huruf Jawi tertentu seperti ta dan ba hendaklah tanpa hentian glotis. Sebaliknya, semasa mempelajari bahasa Arab, sebutan huruf-huruf itu hendaklah seperti sebutan huruf Arab asal. Contohnya, sebutan huruf ba hendaklah diakhiri dengan hentian glotis.

2. Sebutan. Sebutan huruf Jawi hendaklah berdasarkan ilmu fonetik dan fonologi bahasa Melayu, iaitu ilmu yang berkaitan dengan penyebutan kata dan lambang yang menunjukkan sebutannya.

3. Penyusunan. Asas penyusunan abjad Jawi ialah susun huruf Arab. Huruf tambahan diselitkan di antara huruf-huruf Arab itu. Asas penyelitan berdasarkan keutamaan ialah kesamaan bentuk, jumlah titik, ketekalan bentuk huruf. Huruf yang tetap atau kurang perubahan bentuknya didahulukan berbanding dengan huruf yang mempunyai bentuk yang sama tetapi berubah-ubah bentuk/titiknya seperti huruf nya berbanding dengan huruf nun.

4. Penyusunan. Ada pihak yang mendapat pendidikan daripada aliran Arab beranggapan bahawa susunan huruf Jawi sama dengan susunan huruf Arab. Misalnya, mereka menyenaraikan huruf ha pedas lepas huruf jim sedangkan dalam susunan huruf Jawi selepas huruf jim ialah huruf cha. (Abdul Jalil Anuar, “Pedoman Umum Ejaan Jawi Bahasa Melayu”, dalam Pelita Bahasa, Ogos 2006.)

Asuh Minda
1. Sila tuan perhatian carta huruf Jawi di pasaran. Bandingkan dengan carta ini.

2. Mungkinkah pada masa akan datang dua atau tiga huruf Jawi lagi akan dicipta untuk melambangkan bunyi vokal?



Musnah Bahasa, Punahlah Bangsa

Edisi Power Point: klik.
Pedoman Bahasa (JPEG) 015. Minda Tokoh/Pejuang/Ahli/Pencinta Bahasa Melayu.

Kembalikan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu

Petikan Pilihan

1. Pelaksanaan PPSMI, jelas sekali memperlihatkan sikap yang tidak beretika dalam kalangan pencetus, perencana dan penyokongnya apabila dengan jelas mencabuli Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Pendidikan 1996, Akta Bahasa Kebangsaan 1967 dan Rukun Negara.

2. Orang Melayu sekiranya masih mahu dihormati dan terus dipandang tinggi dalam aspek integriti perlu tegas dan berani bertindak menamatkan PPSMI.

Dr. Kamarudin Musa, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, UPSI, 7 November 2008.

Baca artikel penuh di sini atau di sini.

Masukan PPSMI dalam Wikipedia

Masukan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kini terdapat dalam Wikipedia.

Masukan ini memberikan gambaran yang ringkas tetapi menyeluruh tentang PPSMI. Isi kandungan masukan ini adalah seperti yang berikut:

1. Objektif
2. Pelaksanaan
3. Hasil dan reaksi
3.1 Prestasi akademik
3.1.1 Peperiksaan
3.1.2 Kaji selidik akademik
3.2 Reaksi dari bidang pendidikan
3.3 Reaksi dari ahli politik
3.4 Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP)
4. Masa hadapan
5. Lihat juga
6. Rujukan
7. Pautan luar

Mereka yang ingin mendapat maklumat ringkas tentang PPSMI wajar mengakses masukan ini. Masukan ini juga wajar menjadi rujukan pelajar kursus Bahasa/Pengajian Melayu di institusi pengajian tinggi, termasuk di institut pendidikan guru (IPG).