06 Ogos 2012

Kampung Permatang Pasir, Linggi

Catatan ini ialah edisi baharu subtajuk satu tugasan kursus Kesusasteraan Rakyat Melayu di Universiti Sains Malaysia pada bulan Februari 1978. Tugasan itu berupa kajian tiga buah legenda di Kampung Permatang Pasir, Port Dickson, Negeri Sembilan. Kajian itu dilakukan pada bulan Januari 1978. Catatan tentang tempat yang menjadi latar legenda-legenda itu melancarkan analisis dan meningkatkan pemahaman pengkaji tentang perkara yang dikaji. Ditegaskan, tugasan itu ditulis pada tahun 1978 dan catatan ini berdasarkan dapatan kajian pada masa itu.

Kampung Permatang Pasir terletak dalam Mukim Linggi, Daerah Port Dickson, Negeri Sembilan. Jikalau kita berperahu di Sungai Linggi untuk menuju ke kuala, keseluruhan kampung ini berada di sebelah kanan sungai. Kampung ini bersempadan dengan dua buah pekan, iaitu Pangkalan Kundang (Linggi) di hulu dan Pangkalan Kempas di hilir. Sebatang jalan raya merentasi kampung. Dengan menggunakan jalan raya itu, jarak kampung ini ke Seremban ialah 37 kilometer dan ke Port Dickson ialah 42 kilometer.

Kebanyakan kawasan kampung ini tanah datar. Ada sedikit kawasan paya, terutamanya di sepanjang jalan raya. Ada pula sedikit kawasan yang agak berbukit, iaitu bahagian yang bersempadan dengan estet getah. Bahagian kampung di sebelah kiri jalan raya menurun ke sungai, dipanggil baruh. Bahagian kampung yang berhampiran dengan Pangkalan Kempas disebut hilir. Bahagian di sebelah kanan jalan raya terbahagi dua. Kawasan dari masjid ke hilir dinamakan darat. Kawasan dari masjid menghala ke Linggi dipanggil hulu.

Pada masa dahulu orang di darat berhuma, termasuk bertanam getah. Orang di hulu bersawah, mencari palas, mengusahakan atap nipah dan memburu hidupan sungai. Orang di baruh bercucuk tanam, mengusahakan atap nipah dan memburu hidupan sungai. Orang di hilir menangkap udang galah dan ikan serta mencari tiram. Pada tahun 1978 kebanyakan penduduk kampung ini bekerja sebagai penoreh getah dan buruh di estet yang berhampiran. Tanah sawah tidak diusahakan lagi kerana masalah pengairan. Beberapa orang penduduk menjadi kakitangan kerajaan seperti guru, polis, tentera dan kerani. Ada juga golongan yang berpendidikan tinggi dan profesional. Kebanyakan mereka tidak menetap di kampung ini. Ada beberapa keluarga masih menjadikan sungai sebagai sumber rezeki.

Tuan Haji Zubir bin Hamzah menyatakan bahawa kampung ini berusia kira-kira 200 tahun. Penduduk kampung ini lebih kurang 150 keluarga. Hampir kesemuanya orang Melayu-Islam. Hanya ada satu keluarga Cina, satu keluarga India dan dua keluarga Jawa.

Di kampung ini penduduk yang berusia 65 tahun ke atas masih banyak. Kebanyakan mereka masih tegap dan masih bekerja. Sekurang-kurangnya tiga orang penduduk berumur lebih 80 tahun. Generasi muda tidak tinggal di kampung ini. Kebanyakan mereka merantau di bandar. Banyak anak jati kampung ini sudah atau sedang belajar di institusi pengajian tinggi di dalam dan di luar negara.

Keadaan ekonomi penduduk kampung ini secara purata sederhana. Bekalan elektrik dan air ada di kampung ini. Terdapat beberapa buah rumah batu, banyak rumah kayu yang besar, sedikit rumah tua dan sebuah dua buah rumah yang menyerupai pondok.

Kedai-kedai, masjid dan balai raya terletak di bahagian tengah kampung. Sekolah rendah terletak di hilir. Masjid dan kedai kopi digunakan oleh orang-orang tua dan segelintir generasi muda sebagai tempat berkumpul untuk membincangkan berbagai-bagai isu semasa seperti harga getah dan hal politik. Balai raya digunakan sebagai tempat bermesyuarat. Balai raya juga digunakan sebagai perpustakaan kecil yang ditadbir oleh persatuan belia. Tiada kegiatan sukan. Tiada juga kegiatan seni mempertahankan diri. Yang ada ialah kumpulan rebana. Kumpulan itu dianggotai oleh 10 orang lelaki yang berusia 40-an hingga 60-an.

Penduduk kampung ini mengamalkan Adat Temenggung. Adat ini hampir sama dengan adat Melayu yang umum di Semenanjung. Penduduk kampung ini masih mengamalkan adat lama seperti melenggang perut dan cukur jambul. Ada lima orang dukun. Ada pula dua orang tukang urut yang mampu merawat salah urat, terkehel dan patah anggota. Seorang tukang urut itu ialah anak muda. Di samping menggunakan perkhidmatan dukun dan tukang urut, penduduk kampung ini juga menggunakan perkhidmatan pusat kesihatan yang berhampiran dan Hospital Besar Seremban.

Hubungan sosial masyarakat kampung ini erat, terutamanya dalam kawasan sendiri (hulu, hilir, darat, baruh). Kegiatan gotong-royong seperti ketika mengendalikan perkahwinan dan menguruskan jenazah masih diamalkan. Amalan agama terserlah dalam kalangan orang tua. Kanak-kanak dibimbing oleh beberapa orang guru untuk membaca al-Quran.

Beberapa orang penduduk kampung ini dikatakan “membela” atau "bersahabat" dengan sesuatu. Masyarakat kampung menganggap "belaan" dan "sahabat" mereka sebagai jin dan salah di sisi Islam, namun mereka kerap meminta “pertolongan” orang yang “membela” atau "bersahabat" itu.

Di kampung ini terdapat sekurang-kurangnya empat kubur pawang. Kubur yang masyhur dan kini ditadbir oleh Muzium Negara ialah Keramat Sungai Udang di Pangkalan Kempas. Kubur itu ialah kubur Syeikh Ahmad bertarikh 1467 Masehi. Kubur Berahim diceritakan dalam legenda Keramat Kampung Luar. Dua kubur lagi ialah Keramat Haji Lela dan Keramat Bukit Penakai. Kedua-dua kubur ini tidak dapat dipastikan sama ada sudah melalui tiga generasi atau belum. Jadi, legenda tentang kubur-kubur itu tidak dimasukkan dalam kajian ini.
***
Catatan ini sebaik-baiknya dibaca bersama-sama catatan Tiga Buah Legenda di Kampung Permatang Pasir. Ketiga-tiga legenda itu ialah Keramat Bukit Tiga, Buaya Tasik Pauh Janggi dan Keramat Kampung Luar.

Tiada ulasan: