06 Ogos 2012

Tiga Buah Legenda di Kampung Permatang Pasir


Esei ini ialah olahan semula satu tugasan kursus Kesusasteraan Rakyat Melayu di Universiti Sains Malaysia pada bulan Februari 1978. Aspek teknikal tugasan disisihkan. Laras bahasa dan kosa kata juga disesuaikan untuk bacaan umum. Jadi, esei ini dapat dianggap sebagai edisi baharu untuk tatapan pengunjung blog Sambung-menyambung, khususnya mereka yang mempelajari kesusasteraan rakyat.

Pendahuluan
Legenda adalah antara cabang sastera rakyat dalam kelompok cerita. Isi legenda berasaskan sejarah atau ada kaitan dengan sejarah. Dari segi penyebaran, ada legenda tempatan dan ada legenda jelajah. Legenda tempatan mengisahkan sesuatu atau seseorang dan hanya tersebar di sesuatu tempat. Legenda jelajah mengisahkan perkara yang hampir sama dengan legenda tempatan tetapi penyebarannya melepasi sempadan tempatan atau negeri.

Dari segi isi, terdapat lima jenis legenda. Yang pertama ialah legenda asal usul. Legenda ini mengisahkan asal usul tempat atau kejadian sesuatu. Contohnya ialah asal nama Melaka dan sebab gagak berwarna hitam. Yang kedua ialah legenda makhluk luar biasa. Legenda ini berkisar tentang kehebatan makhluk seperti hantu, gergasi dan orang halus. Yang ketiga ialah legenda keagamaan, iaitu legenda yang mengisahkan benda seperti batu dan kubur, binatang seperti harimau dan buaya, dan manusia yang dianggap keramat. Yang keempat ialah legenda tokoh. Legenda ini berupa cerita lisan tentang tokoh seperti Mahsuri dan Dato’ Bahaman. Yang kelima ialah legenda pendosa, iaitu legenda yang mengisahkan orang yang melakukan dosa besar seperti Si Tanggang.

Butiran Legenda
Tiga buah legenda yang akan dibincangkan ialah Keramat Bukit Tiga, Buaya Tasik Pauh Janggi dan Keramat Kampung Luar. Ketiga-tiga legenda ini saya rakam di Kampung Permatang Pasir, Linggi, Negeri Sembilan pada 23, 24 dan 25 Januari 1978. Semua penutur legenda ini berbangsa Melayu, dilahirkan di kampung itu dan menggunakan dialek Melayu Linggi, iaitu dialek yang hampir sama dengan sebutan Johor-Riau. Ketiga-tiga legenda ini sudah merakyat dan sah ketradisionalannya, iaitu sudah melalui sekurang-kurangnya tiga generasi dan mempunyai beberapa versi.

Kedua-dua penutur legenda Keramat Bukit Tiga dan Buaya Tasik Pauh Janggi mengatakan penceritaan mereka kurang lengkap. Hakikatnya, cerita yang saya peroleh itu dianggap lengkap. Hal ini dikatakan demikian kerana penutur-penutur yang lebih mengetahui cerita itu sudah meninggal dunia. Bagi Keramat Kampung Luar, saya bersetuju dengan pandangan penutur bahawa kisah yang disampaikannya kurang lengkap. Hal ini terjadi kerana pemilik keramat itu, Tuan Haji Ambak bin Abas, berada di sebuah negeri di utara Semenanjung ketika saya melakukan kajian di kampung itu.

Kampung Permatang Pasir, Linggi
Klik

Keramat Bukit Tiga
Penutur menamakan legenda ini keramat tetapi sebenarnya legenda ini ialah legenda asal usul. Yang beliau maksudkan keramat ialah perigi batu berhampiran dengan kubur.

Legenda ini terdiri daripada empat cerita. Cerita pertama ialah asal nama Kampung Permatang Pasir. Cerita kedua ialah kisah seorang insan yang tidak diketahui namanya. Berasaskan sumber lisan yang lain, insan itu mungkin orang alim yang tinggal di baruh dan dikatakan boleh berjalan di atas air. Orang itu disambar oleh buaya. Sebelah pahanya dijumpai dan dikuburkan di Bukit Tiga. Kisah ketiga ialah asal nama Sungai Serban dan Sungai Kubur Nasi. Sebuah sungai kecil dinamakan Sungai Serban kerana di sungai itulah serban orang alim itu ditemukan. Sebuah sungai kecil lagi dinamakan Sungai Kubur Nasi kerana di sungai itu ditemukan bungkusan nasi si malang. Cerita keempat ialah perigi batu yang dikatakan berasal daripada tapak penunggu Gunung Rembau.

Cerita pertama ialah penjelasan latar tempat kematian seorang alim. Kematian beliau menatijahkan dua buah sungai kecil mendapat nama. Mulai saat itu Bukit Tiga dianggap penting kerana sebelah paha si mati dikuburkan di situ. Kisah penunggu Gunung Rembau meninggalkan tapak kakinya pula memperkukuh keistimewaan bukit itu. Nyatalah bahawa legenda ini berplot. Cerita pertama berperanan sebagai pembukaan, cerita kedua sebagai puncak dan dua cerita seterusnya sebagai akibat dan penutup.

Bahasa cerita ini mudah. Penceritaan penutur ada unsur rasmi. Pembukaan cerita dengan ungkapan “Saya mendapat cerita ini daripada …” jelas rasmi. Ungkapan ini dapat disamakan dengan ungkapan lazim “menurut orang yang empunya cerita” atau “mengikut cerita orang tua-tua”. Penutupnya juga rasmi, iaitu “Beginilah cerita ….”

Nombor tiga ialah nombor pola yang terdapat dalam cerita ini. Nombor itu disebut beberapa kali secara tidak langsung, iaitu tiga tinggalan manusia yang mati itu (serban, bungkusan nasi dan paha), tiga buah sungai (Sungai Linggi, Sungai Serban, Sungai Kubur Nasi), tiga buah bukit sederet yang membentuk Bukit Tiga (hanya Bukit Samak disebut namanya), tiga buah bukit lain (Bukit/Gunung Rembau, Bukit Tiga, Tanjung Tuan [juga di atas bukit]), dan tiga tapak penunggu Gunung Rembau.

Dalam cerita ini banyak ayat pasif seperti “dijadikan pelabuhan kecil” dan “dibuat macam permatang”, “ditangkap oleh buaya” dan “dijumpai oleh orang kampung”. Ulangan ayat pasif ini menimbulkan rentak pertuturan yang menarik. Selain itu, rentak juga dijelmakan dengan penggunaan ungkapan di awal perenggan seperti “Dahulu adalah”, “Dan di dalam”, “Dan tidak berapa”, “Kemudian daripada itu” dan “Di atas kubur itu”.

Legenda ini menerangkan sebab sesuatu tempat memperoleh nama sekali gus menerangkan sebahagian kecil sejarah kampung itu. Legenda ini ada nilai sejarah kerana dikaitkan dengan pelabuhan di Sungai Linggi (pangkalan).

Buaya Tasik Pauh Janggi
Cerita ini termasuk dalam golongan legenda keramat. Kisah buaya itu pendek. Mungkin penutur yang sudah berusia 80 tahun tidak ingat kisah yang lengkap. Bahagian yang panjang ialah penjelasan tentang persiapan dan cara untuk mendapatkan pertolongan sang buaya.

Buaya itu bernama Muhammad Dermit Tua. Nama ini nama Islam. Dia ialah anak raja yang dibuang ke laut. Laut mungkin bermaksud sungai di hilir yang berhampiran dengan Pangkalan Kempas. Tempat tinggal buaya itu, pusat Tasik Pauh Janggi, bukan nama tempat sebenar tetapi lambang satu tempat yang jauh di hilir sungai atau di laut. Penjaga asal buaya itu ialah emak penutur. Namun ada kemungkinan emak penutur mewarisi buaya itu daripada keluarganya yang terdahulu.

Buaya itu boleh mengubati penyakit dalam kalangan keluarga penutur. Contohnya ialah Bang Seman, iaitu sepupu penutur. Pengubatan/persembahan mestilah melalui penutur. Bahan-bahan perubatan mesti bermutu dan disediakan dengan teliti. Bahan-bahan itu ialah bertih, telur, sirih, rokok, lilin dan minyak wangi. Bahan-bahan itu dijampi dan diletakkan di dalam “kapal” yang dibuat daripada daun pisang raja. Kapal itu dinamakan temiku. Temiku itu diturunkan di Sungai Linggi agar dibawa arus ke laut. Sedikit air sungai itu diambil sebagai penawar. Jikalau pesakit belum mampu menyediakan persembahan, penangguhan boleh dilakukan. Tanda penangguhan ialah benang tiga warna yang dinamakan semperona. Benang itu diikat pada tangan pesakit.

Legenda ini menggunakan sudut pandang orang pertama “aku” kerana penutur ialah penjaga buaya itu. Penutur mengambil alih penjagaan buaya itu dengan hati yang berat. Ketumbuhan di matanya “tegah dek dialah” (perbuatan sang buaya).

Terdapat beberapa istilah kepawangan seperti temiku, benang semperona dan tanda menghantar. Beberapa benda mungkin lambang. Bertih lambang makanan yang mengenyangkan. Minyak wangi lambang mutu persembahan. Lilin lambang cahaya yang menerangi alam buaya putih.

Bahagian tertentu cerita ini dapat ditulis seperti yang berikut:
Hendak dulang, dialas dulang
Hendak bertih, bertih (padi) hendak dibasuh
Telur yang elok
Pisang jangan pisang lain
Pertama pisang emas
Kedua pisang kelat
Ketiga pisang raja
Dua biji sebangsa
Dipilih yang elok-eloknya

Cerita ini berperanan mengesahkan kepawangan penutur. Penutur enggan menerima jabatan kepawangan itu sejak dahulu lagi dan sudah berusaha untuk membuang sang buaya. Sungguhpun terbukti buaya itu dapat “menolong” puaknya, namun dia juga sedar bahawa buaya itu boleh membawa petaka. Oleh sebab nama buaya itu nama Islam dan “assalamualaikum” diucapkan kepadanya, tidak syak lagi buaya itu ialah jin Islam. Sesungguhnya, jin mempunyai sifat binatang; jin yang terbaik sama dengan manusia yang paling jahat.

Keramat Kampung Luar

Dalam legenda ini Berahim dikatakan berketurunan Bugis. Dia datang ke Kampung Permatang Pasir dan meneroka (membuka belah) bahagian darat kampung itu. Dia pawang dan memiliki orang halus. Apabila dia meninggal, jenazahnya dikebumikan di Kampung Luar, iaitu nama asal bahagian darat Kampung Permatang Pasir.

Apabila Berahim meninggal dunia, orang halusnya tidak bertuan. Dua puluh tahun kemudian orang halus itu mengacau Abas. Dengan pertolongan seseorang dari Kuala Linggi, orang halus itu “masuk” ke dalam diri Abas. Maka Abas pun menjadi pawang.

Abas menetapkan peraturan berhuma. Padi orang Kampung Luar menjadi. Orang-orang alim mengkritik Abas. Abas merajuk. Namun kepawangan Abas tetap dimanfaatkan apabila ada sesuatu masalah. Apabila Abas meninggal dunia, orang halus itu turun kepada anaknya yang bernama Ambak. Ambak membubuh batu nisan di kubur Berahim. Ambak menggunakan orang halus itu untuk mengubati penyakit orang “dalam kariahnya”.

Legenda ini dalam kelompok keramat. Penutur adalah antara orang yang mendapat manfaat keramat itu. Dia menceritakan kisah itu dari sudut pandang dirinya, iaitu sudut pandang orang kedua. Peristiwa-peristiwa yang diceritakan berdasarkan urutan masa. Nyata cerita ini berplot. Penceritaan oleh penutur pula lancar. Kelancaran itu terjelma melalui binaan ayat yang secara umumnya kemas. Ada pula cakap ajuk yang menjadikan cerita ini lebih menarik.

Legenda ini mengesahkan kepawangan Abas dan anaknya, Ambak.

Penutup
Semua penutur menganggap cerita yang mereka tuturkan benar. Masyarakat juga membenarkan beberapa fakta dalam cerita ini. Sebagai kesimpulannya, ketiga-tiga cerita ini ada kaitan dengan sejarah dan mencerminkan pandangan sarwa masyarakat tradisional Melayu di Kampung Permatang Pasir.

Tiada ulasan: