12 November 2009

Sari Makalah: Slanga “Mat Gian”

1. Slanga ialah sejenis pertuturan yang beraneka ragam yang dicirikan oleh perbendaharaan kata yang baru dibentuk dan sentiasa berubah-ubah. Slanga khusus digunakan oleh sekumpulan manusia yang rendah kedudukan sosialnya. (Dictionary of Language and Linguistik)

11 November 2009

Label dalam Kamus

Label ialah kepingan kecil kertas atau kad yang ditampalkan pada sesuatu bekas seperti kotak, botol dan tin. Pada label, tercatat keterangan ringkas tentang benda dalam bekas itu seperti nama, jenis dan harganya. Inilah makna biasa bagi label yang sedia kita maklumi.

Kepercayaan terhadap Angka 786 Bermaksud Basmalah?

Artikel ini disiarkan di sini dengan izin penulisnya. Pautan asalnya di sini. Saya menggalakkan pengunjung agar membaca ulasan di bawah masukan "Angka 786 di Kedai Mamak".

10 November 2009

Yu Kia-kia

Bermula dengan lagha
megah melabur tegah
berani membina nahi
aman berteman mungkir,
mencabut benih damai
menangkis bicara mukhlis
memangkas renung makrifat
seperti muka dua sekelat
seperti yu kia-kia: kepala yu ekor pari.

Membawa lagha ke sana sini
membina jerat serupa jerami
menghunus keris menitir nahi,
menampik tawaran falah
menolak ayat titah
menepis kalam salam
seperti seludang menolak mayang
seperti yu kia-kia: kepala yu ekor pari.

Yu kia-kia: kepala yu ekor pari
apa-apa dikata, bena tak bena
apa-apa dimadah, endah tak endah
apatetiknya acuh tak acuh.

Yu kia-kia: kepala yu ekor pari
mencipta bahasa mati
memesan nisan mesan
untuk pemakaman tanpa acara
bahasa ibu pertiwi.

Yu kia-kia: kepala yu ekor pari
ke atas tidak berpucuk
ke bawah tidak berurat
di tengah-tengah digerek.

Mohd Isa bin Abd Razak
Port Dickson
16 Jun 2009

09 November 2009

Kesilapan Bahasa dalam Satu Program Televisyen

Lampiran 1 mengandungi 19 kesilapan bahasa serta pembetulannya. Kesilapan ini saya kutip daripada satu program televisyen pada malam 8 November 2009. Kesilapan ini terkandung dalam teks (lirik) yang dipaparkan di bahagian bawah skrin televisyen.

08 November 2009

Angka Roman Tidak Memerlukan Awalan Ke

Awalan ke tidak diperlukan untuk angka roman. Tuan Haji Muhammed Salehudin Aman menyatakan hal ini dalam ruangan “Cintai Bahasa Kita” dalam Dewan Siswa keluaran November 2009. Menurut beliau, jika angka itu angka roman, kata sendi ke dan tanda sempang tidak perlu ditulis.

Perkara ini tercatat juga dalam Koleksi Lembar Bahasa Bil 1. Cetakan pertama lembar ini adalah pada tahun 2002. Lembar ini dicetak ulang pada tahun 2006 dan 2009.

Ungkapan contoh yang salah dan yang betul adalah seperti yang di bawah:

*ke II → II
*ke-II → II
*ke III → III
*ke-III → III
*ke IV → IV
*ke-IV → IV
*ke V → V
*ke-V → V
*Kolokium Bahasa Melayu *ke VI → Kolokium Bahasa Melayu VI
*Kolokium Bahasa Melayu *ke-VI → Kolokium Bahasa Melayu VI
*Sukan SEA *ke XIV → Sukan SEA XIV
*Sukan SEA *ke-XIV → Sukan SEA XIV

05 November 2009

Celik Huruf: Semua Pihak Perlu Lebih Bersungguh-sungguh Menanganinya

Pada tahun 2009, sebanyak 67 peratus kanak-kanak di negara kita berpeluang mengikuti kelas prasekolah. Pada tahun 2012, kerajaan menyasarkan 87 peratus kanak-kanak mendapat peluang untuk mengikuti kelas prasekolah. Sasaran ini berupa peningkatan sebanyak 20 peratus.

Timbalan Perdana Menteri (TPM) merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyatakan perkara ini dalam sesi soal jawab di Parlimen. Berita Harian Online (BHO) melaporkan perkara ini pada 3 September 2009.

Menurut satu sumber, pada tahun 2009 murid prasekolah berjumlah 342,706 orang. Peningkatan sebanyak 20 peratus pada tahun 2012 menjadikan pelajar prasekolah di negara kita berjumlah 447,556 orang.

Pada 12 September 2009, BHO menyiarkan berita “35,000 Murid Tak Tahu Baca, Menulis”. Angka dalam tajuk berita itu silap. Dalam intro berita itu dinyatakan bahawa sebanyak 85,000 murid tahun satu masih belum mampu membaca dan menulis.

Dalam berita 12 September 2009 itu juga BHO melaporkan kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Fuad Zarkashi. Beliau berkata, kerajaan menyasarkan 85 peratus kanak-kanak mengikuti kelas prasekolah pada 2012 berbanding hanya 65 peratus pada tahun 2009.

Ada perbezaan dua peratus antara berita yang bersumber daripada Menteri Pelajaran dengan timbalannya. Mungkin ini hanya kesilapan laporan atau akibat sikap kurang serius mana-mana pihak. Namun, yang pasti, pada tahun 2009 antara 33 hingga 35 peratus kanak-kanak di negara kita tidak berpeluang untuk menjadi murid prasekolah. Berdasarkan angka tadi, pada tahun 2012 antara 13 hingga 15 peratus kanak-kanak di negara kita dijangka tidak berpeluang menjadi murid prasekolah.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPM), Datin Asariah binti Mior Shaharuddin berkata, KPM menetapkan agar semua kanak-kanak normal yang bersekolah boleh menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) ketika melangkah ke tahun empat sekolah rendah sebelum penghujung 2012. Beliau berkata demikian semasa merasmikan Seminar Penyelidikan Pendidikan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Zon Sabah di Kota Kinabalu pada awal Oktober 2009.

Sukatan pelajaran prasekolah, antara lain, bertujuan untuk mencelikhurufkan murid. Ada guru Bahasa Melayu beranggapan bahawa semua murid yang diterima masuk ke kelas tahun satu sudah celik huruf. Apabila anggapannya itu meleset, mereka mengeluh. Mereka berasa berat untuk mengajarkan a-b-c kepada beberapa orang murid yang tidak berpeluang mengikuti kelas prasekolah.

Ada juga murid yang sudah mengikuti prasekolah tetapi masih belum celik huruf. Murid-murid ini menokok jumlah murid yang perlu dicelikhurufkan oleh guru Bahasa Melayu tahun satu.

Dahulu, pada semester pertama, memang ada program khas. Mulai tahun 2006 KPM memperkenalkan pula program Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M). Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006 – 2010 menyatakan, KIA2M bertujuan untuk memastikan murid-murid tahun satu menguasai kemahiran 2M selepas enam bulan belajar di sekolah. Tujuan ini tidak tercapai apabila pada akhir Ogos 2006 hampir 100 ribu murid tahun satu belum celik huruf. Pada akhir September 2009 pula sebanyak 85,000 murid tahun satu belum menguasai 2M.

Berdasarkan sasaran yang diuar-uarkan oleh Menteri Pelajaran dan timbalannya dalam BHO, pada tahun hadapan dan tahun 2011 jumlah murid tahun satu yang belum celik huruf pada akhir tahun dijangka masih dalam lingkungan 50,000 orang. Malah, apabila kita mengambil kira jumlah kelahiran yang semakin meningkat, jumlah ini tidak banyak berubah pada akhir tahun 2012. Jadi, penetapan sasaran 85 hingga 87 peratus kanak-kanak berpeluang mengikuti prasekolah pada tahun 2012 itu rendah.

Penetapan sasaran yang rendah ini pasti menghampakan pendukung PIPP yang ingin melihat murid-murid tahun satu menguasai kemahiran 2M selepas enam bulan belajar di sekolah. Kenyataan bahawa semua kanak-kanak normal yang bersekolah boleh menguasai kemahiran 3M selepas melangkah ke tahun empat pula bagaikan mengesahkan kehampaan pendukung PIPP.

Apa-apa pun, pihak yang menggubal dan melaksanakan kurikulum mesti mengambil berat perkara ini. Hal yang terpenting ialah mengubah suai Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Tahun Satu. Semua pihak perlu mengambil kira situasi yang dinyatakan ini ketika merancang pendekatan modular. Guru Bahasa Melayu tahun satu memerlukan modul yang pelbagai dan luwes agar mereka dapat mencelikhurufkan murid tahun satu dengan lebih berkesan.

Baik juga jikalau pihak IPGM meninjau dan menyemak kurikulum pengkhususan Pengajian/Bahasa Melayu, Prasekolah, dan Pemulihan Khas. IPGM wajar mengetengahkan kandungan kursus dan strategi pelaksanaan yang lebih bersepadu.

Antara maksud bersepadu di sini ialah memungkinkan ketiga-tiga program itu menghasilkan guru yang berkemahiran untuk melaksanakan program celik huruf sama ada kepada murid prasekolah, tahun satu atau pemulihan. Tembok pemisah pengkhususan, sekiranya ada, mesti dipecahkan. Selain itu, aspek perkaedahan bacaan asas juga dimantapkan.

Masukan yang berkaitan: (1) Kemahiran 2M: Kita Memerlukan Gambaran yang Lebih Jelas (2) Pandangan tentang Pendekatan Modular Bahasa Melayu (3) Aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran Contoh KIA2M

Lampiran
Selasa, 2009 November 03
Guru Berkelulusan Ijazah Diambil Ajar Prasekolah
Oleh Sariha Mohd Ali, Syuhada Choo Abdullah dan Khairul Azran Hussin bhnews@bharian.com.my, Berita Harian Online, 3 September 2003

KERAJAAN akan mengambil guru berkelulusan ijazah untuk mengajar prasekolah pada masa depan dalam usaha menyediakan guru terlatih bagi pendidikan awal kanak-kanak, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, Kementerian Pelajaran turut mengambil langkah menyediakan guru berijazah untuk semua sekolah rendah bagi mendidik murid Tahun Satu hingga Tahun Enam.

Muhyiddin berkata, langkah menyediakan guru terlatih ini boleh mengurangkan masalah penguasaan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira di kalangan pelajar.

"Ini satu pendekatan yang kita percaya boleh mengubah situasi pendidikan dalam negara untuk meningkatkan kualiti pembelajaran prasekolah dan sekolah rendah," katanya ketika menjawab soalan tambahan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong).

Berikutan itu, Muhyiddin berkata, pengusaha prasekolah swasta juga perlu mematuhi kualiti guru yang disediakan di institusi masing-masing.

Katanya, pemantauan akan dibuat dari semasa ke semasa, termasuk mengadakan pemeriksaan mengejut terhadap prasekolah sektor swasta bagi memastikan ia mematuhi dasar serta menggunakan Kurikulum Prasekolah Kebangsaan yang dikuatkuasakan sejak 2003.

"Bagaimanapun, kerajaan tidak berhasrat menyekat sebarang usaha penambahbaikan dilakukan pengusaha prasekolah swasta selagi ia tidak bercanggah dengan dasar," katanya.

Menjawab kekeliruan Dr Tan mengenai perbezaan antara pendidikan prasekolah dan Permata Negara, Muhyiddin berkata, Permata Negara adalah program asuhan dan didikan awal kanak-kanak sebelum mereka memasuki prasekolah.

"Projek contoh sudah dijalankan di beberapa tempat di seluruh negara dan hasilnya memang baik, malah kementerian akan mengembangkannya secara berperingkat.

"Ini satu lagi cabaran besar kepada kementerian menyediakan tenaga pengajar terlatih bagi membimbing anak yang masih kecil, bukan saja untuk prasekolah tetapi juga pendidikan awal kerana mereka memerlukan bimbingan khusus," katanya.

Terdahulu ketika menjawab soalan asal Abd Rahman Bakri (BN-Sabak Bernam) mengenai langkah menjadikan pendidikan prasekolah sebahagian daripada sistem pendidikan negara, Muhyiddin berkata, kerajaan sudah menetapkan prasekolah antara bidang keberhasilan utama Kementerian Pelajaran.

Bagi mencapai sasaran itu, katanya, strategi komprehensif dirancang, termasuk menambah baik kurikulum prasekolah dan cadangan 50 peratus waktu interaksi dalam bahasa Inggeris.

Beliau berkata, sebanyak 4,194 kelas prasekolah baru akan dibina menjelang 2012.

Muhyiddin berkata, kerajaan menyasarkan meningkatkan 67 peratus penyertaan kanak-kanak berumur lima tahun dalam prasekolah kerajaan dan swasta tahun ini kepada 87 peratus menjelang 2012.

04 November 2009

Satu Jenis Sekolah, Satu Bahasa Pengantar

Pandangan Profesor Dr. Teo Kok Seong tentang bahasa kebangsaan dalam majalah Pelita Bahasa keluaran Oktober 2009 wajar menjadi renungan kita. Dalam makalah yang bertajuk “Kepentingan Satu Bahasa Kebangsaan” itu, beliau mengemukakan pemikiran yang cukup menarik.

Fokus pemikiran beliau ialah fungsi bahasa kebangsaan untuk menyatupadukan rakyat. Beliau menyatakan, “Fungsi tersebut selalunya direalisasikan dalam sistem pendidikan nasional, melalui sistem satu jenis sekolah sahaja, yang hanya menggunakan bahasa kebangsaan sebagai satu-satunya bahasa pengantar dan/atau bahasa ilmu.”

Menurutnya, Amerika Syarikat memperoleh kesan positif dengan sistem satu jenis sekolah dan hanya satu bahasa pengantar. Amerika Syarikat berjaya membentuk satu identiti nasional dalam kalangan semua rakyatnya, termasuklah kaum imigran.

Sehubungan dengan hal itu, beliau meminta rakyat Malaysia agar menggunakan bahasa kebangsaan, yakni bahasa Melayu, sebagai bahasa utama pada setiap masa. Penggunaan itu hendaklah meliputi komunikasi rasmi dan tidak rasmi.

Beliau menyatakan, “Bagi golongan bukan Melayu, identiti nasional yang sama, melalui bahasa kebangsaan, boleh bermula dengan penyebutan dan intonasi yang terlepas daripada pengaruh dan gangguan bahasa ibunda masing-masing, semasa bertutur dalam bahasa Melayu setiap masa.”

Pada Dr. Teo, bahasa kebangsaan Malaysia ialah maruah negara dan rakyat Malaysia. Oleh sebab itu beliau menegaskan, perbuatan meletakkan bahasa Melayu di bawah bahasa Inggeris dapat ditafsir sebagai menghina bahasa Melayu serta mengeji negara dan rakyat Malaysia.

03 November 2009

Angka 786 di Kedai Mamak

Pedoman Bahasa (JPEG) 069. Bismillah.

Nilai Huruf Arab/Jawi

Masukan yang berkaitan:
1. Abjad Jawi Bentuk Tunggal Terkini
2. Beberapa Perkara Tentang Huruf Jawi
3. Isu Huruf Arab dan Huruf Jawi
4. Carta Jawi Silap dan Tidak Kemas Kini

Jikalau tuan/puan mengetahui sumber yang membicarakan hal ini, mohon catatkan butiran sumber itu dalam ruangan ulasan. Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan atas kerjasama tuan/puan.

Pedoman Bahasa (JPEG) 068. Nilai Huruf Arab-Jawi.

01 November 2009

Jawapan/Jawaban dari Beberapa Sudut Pandangan

Perkataan “jawaban” terakam dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (KDEK) cetakan pertama, yang terbit pada tahun 2005. Saya hanya menyedari perkara ini pada bulan Januari tahun 2009. Pada ketika itu, beberapa banyak blog guru Bahasa Melayu sudah menggunakan kata “jawaban” sebagai menggantikan “jawapan”.

Keghairahan guru Bahasa Melayu menggunakan kata “jawaban” sebagai menggantikan “jawapan” menyebabkan saya berasa seperti orang ketinggalan komuter. Apatah lagi beberapa orang penulis blog menyatakan bahawa kata “jawaban” menepati proses pembentukan kata bahasa Melayu. Kata dasar “jawab” menjadi “jawaban” apabila mendapat imbuhan -an.

Kata “jawaban” tidak terakam sebagai terbitan bagi kata masukan “jawab” dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga, termasuk versi digital di Laman Karya.Net dan E-Kamus versi 1.0. Hasil carian di Laman Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) menunjukkan Kamus Pelajar Edisi Kedua masih menggunakan kata “jawapan”.

Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi (DKBM) ialah buku yang paling berwibawa dari segi pentahkikan ejaan. DKBM Edisi Kedua yang terbit pada tahun 2008, iaitu dua tahun selepas terbitnya KDEK, tidak menyenaraikan kata terbitan “jawaban”. Apabila saya merujuki Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (TDEK) yang terbit pada tahun 2008 juga, saya mendapati TDEK masih menggunakan kata “jawapan”.
Ayat contoh yang di bawah menunjukkan penggunaan kata “jawapan” dalam TDEK, Nahu Kemas Kini cetakan kedua tahun 2009 karangan Profesor Dr. Asmah Haji Omar, dan majalah Dewan Bahasa keluaran Julai 2009.

1. Kesemua ayat di atas, yang merupakan ayat tanya tanpa kata tanya, boleh dijawab dengan jawapan ya, tidak, atau bukan seperti yang terdapat dalam contoh berikut: …. (TDEK, halaman 444)
2. Selain cara penggolongan yang berdasarkan struktur, ayat tanya boleh juga dilihat dari segi jawapan yang dikehendaki, iaitu sama ada ayat tanya tertutup ataupun ayat tanya terbuka. (TDEK, halaman 447)
3. Ayat tanya tertutup ialah ayat yang memerlukan jawapan ya atau tidak/bukan, dan ayat tanya terbuka ialah ayat tanya yang jawapannya tidak terhad kepada perkataan ya atau tidak/bukan tetapi sebaliknya bergantung pada maksud yang terkandung dalam ayat tanya tersebut. (TDEK, halaman 447)
4. Jawapan bagi ayat (27) (ii) terdapat dalam bentuk frasa kerja. (NKK, halaman 208)
5. Dengan demikian, jika kata/frasa tanya berkenaan merupakan kata/frasa tanya adverba waktu, maka jawapannya juga menganggotai subsistem berkenaan. (NKK, halaman 209)
6. Oleh hal demikian, beliau mencabar khalayak untuk berfikir dan menjawab sesuatu soalan, yang jawapan tersebut memihak kepada pendirian individu. (Dewan Bahasa, Julai 2009, halaman 48)
Butiran yang saya nyatakan ini menyebabkan saya belum membiasakan diri untuk menggunakan kata “jawaban”. Kesukaran untuk melakukan perubahan itu bertambah apabila saya dapati pihak Khidmat Nasihat Bahasa (KNB) mencadangkan agar kita menggunakan “perkataan yang sudah selesa penggunaannya dengan kita”, iaitu “jawapan”.
Kesukaran saya untuk melakukan perubahan meningkat apabila saya meneliti dua masukan Blog Bahasa Melayuku. Kesimpulan masukan pertama, berdasarkan daftar ejaan, ejaan “jawaban” itu salah. Ejaan yang betul ialahjawapan”. Klik di sini untuk membaca penjelasannya. Kesimpulan masukan yang kedua, berlakunya penyahsuaraan menyebabkan [b] gugur dan digantikan dengan [p]. Hal ini menghasilkan sebutan [ja.wa.pan]. Klik di sini untuk membaca penjelasannya.

Majalah Pelita Bahasa keluaran Oktober 2009 menyiarkan pandangan Munsyi Dewan tentang perkara ini. Rumusannya, jawapan tepat, jawapan masih boleh digunakan. Munsyi Dewan menggalakkan pembaca Pelita Bahasa menggunakan perkataan yang tepat itu.

Saya mengambil keputusan untuk terus menggunakan perkataan “jawapan”. Pengguna bahasa Melayu boleh membuat pilihan sendiri. Namun, apabila pilihan itu ialah “jawaban”, sebutannya perlulah [ja.wa.ban]. Berdasarkan DKBM, sebutan [ja.wa.pan] adalah untuk perkataan “jawapan”.

--------------------------------------------------
Nota (29 Oktober 2009)

Isu ini dibincangkan dalam majalah Pelita Bahasa keluaran November 1993. Dalam ruangan “Tanya Jawab” majalah itu dinyatakan bahawa Radin Ginoh pernah menulis tentang isu ini dalam majalah Bahasa terbitan Dewan Bahasa Cawangan Sarawak. Dalam tulisan itu Radin Ginoh menyatakan bentuk “jawaban” betul.

Rumusan pihak majalah Pelita Bahasa adalah seperti yang berikut:

“Kalau mengikut prinsip pembentukan kata dalam bahasa Melayu, memanglah alasan dan hujah pihak pertama tadi yang betul; kata terbitan bagi ‘jawab’ sepatutnya ‘jawaban’. Tetapi oleh sebab bentuk ‘jawapan’ ini sudah dianggap mantap, maka diterima sebagai kekecualian.”

Penggunaan Istilah Bahasa Malaysia

Paparan ini ialah jawapan piawai Khidmat Nasihat Bahasa (KNB), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia tentang penggunaan istilah “bahasa Melayu” dan “bahasa Malaysia”. Butiran tentang perkara ini terdapat dalam blog ini. Sila rujuk masukan yang bertajuk “Bahasa Melayu, Bahasa Malaysia: Pandangan KNB”.

Kita boleh menyusun semula ayat tentang penggunaan istilah “bahasa Malaysia” dalam paparan ini. Kita boleh menulisnya semula begini: “Istilah ‘bahasa Malaysia’ boleh digunakan dalam komunikasi sosial yang tidak rasmi”. Tegasnya, dalam komunikasi rasmi, kita hendaklah menggunakan istilah “bahasa Melayu”.

Pedoman Bahasa (JPEG) 067. Istilah “Bahasa Malaysia”.